SOSIAL MEDIA

04 August, 2026

SYAFIQ FARHAIN KINI BANGKIT SEMULA PERTARUHKAN " CINTA LUKA " SETELAH DUA TAHUN MENYEPI

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Selepas hampir dua tahun tidak mempertaruhkan karya baharu, penyanyi Syafiq Farhain akhirnya kembali mewarnai industri muzik tempatan menerusi single terbaharu berjudul Cerita Luka, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya.

Single terbitan MVM Music Sdn. Bhd. itu dilancarkan secara rasmi hari ini dalam satu majlis yang turut dihadiri Pengarah Pemasaran syarikat berkenaan, Ariel Pua.

Menariknya, Cerita Luka memperlihatkan perubahan arah muzik Syafiq apabila dia meninggalkan sedikit identiti balada klasik yang sering dikaitkan dengannya sebelum ini, sebaliknya mempertaruhkan sentuhan moden berteraskan slow rock balada.

Lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh itu dipilih daripada 10 buah lagu yang dipersembahkan kepadanya, dengan Syafiq mengakui karya tersebut paling dekat dengan jiwanya.

"Sebaik sahaja mendengar demo lagu ini, saya terus merasakan ia mempunyai sesuatu yang berbeza. Ia masih mengekalkan elemen balada, tetapi dengan susunan muzik yang lebih moden dan sesuai dengan arah yang saya ingin bawa selepas berehat agak lama.

"Daripada 10 lagu yang dipilih, Cerita Luka paling kuat menyentuh hati saya. Saya rasa inilah lagu yang paling tepat untuk menandakan kemunculan semula saya," katanya.

Lebih istimewa, lagu itu turut menjadi titik permulaan kerjasama pertama antara Syafiq dengan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh.

Menurut penyanyi berusia 31 tahun itu, pengalaman bekerja bersama dua komposer berkenaan memberikan perspektif baharu terhadap proses rakaman dan cara menghayati sesebuah lagu.

"Mereka mempunyai pendekatan tersendiri ketika berada di studio. Banyak perkara yang saya pelajari sepanjang proses rakaman, terutama dalam menyampaikan emosi agar mesej lagu dapat dirasai pendengar.

"Saya berharap Cerita Luka bukan sahaja diterima oleh penyokong yang sentiasa mengikuti perjalanan kerjaya saya, malah mampu menarik perhatian pendengar baharu," ujarnya.

Naib juara Big Stage 2018 itu berkata, pelancaran Cerita Luka hanyalah permulaan kepada beberapa perancangan yang telah disusun untuk mengembangkan lagi kerjayanya.

Jika segala-galanya berjalan seperti dirancang, Syafiq menyasarkan untuk melancarkan sebuah mini album sebelum menutup tahun ini dengan sebuah mini showcase sebagai hadiah kepada para peminat.

"Cerita Luka menjadi pembuka kepada fasa baharu dalam kerjaya saya. Saya berharap segala perancangan ini dapat direalisasikan dan peminat akan terus memberikan sokongan," katanya.

Sementara itu, Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh mengakui mereka pada awalnya berasa sedikit gementar kerana belum pernah bekerjasama dengan Syafiq.

Bagaimanapun, kebimbangan itu hilang apabila penyanyi tersebut menunjukkan komitmen tinggi sepanjang sesi rakaman sehingga keseluruhan proses berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira dua jam.

"Setiap penyanyi mempunyai karakter dan pendekatan yang berbeza. Namun, Syafiq sangat mudah menerima pandangan dan cepat memahami apa yang kami inginkan ketika proses rakaman.

"Kami berharap Cerita Luka dapat menyentuh hati pendengar dan menjadi antara lagu yang memberi impak kepada industri muzik tempatan," kata mereka.