SOSIAL MEDIA

04 August, 2026

KIDD SANTHE MEMANG "AKU LEVEL LAIN"

KUALA LUMPUR, 31 JULAI 2026 – Selepas mencipta impak di pentas antarabangsa menerusi "Naa Vera Level", Kidd Santhe kini membuka lembaran baharu dengan mempersembahkan "Aku Level Lain", sebuah karya yang diolah semula dengan identiti Malaysia menerusi bahasa, budaya dan warna muzik tempatan.

Kemunculan "Aku Level Lain" hadir susulan kejayaan "Naa Vera Level", single kedua daripada album yang bakal dilancarkan, "Mr. Crorepati". Diterbitkan di bawah Kidd Next Door Productions dan Sony Music Entertainment Malaysia, karya tersebut turut menerima sokongan pengedaran antarabangsa daripada Sony Music Entertainment India South, sekali gus menjadikan Kidd Santhe antara segelintir artis Malaysia yang menerima sokongan pengedaran di peringkat global.

Lebih membanggakan, kolaborasi bersama artis Chennai, Raavanaa Ram itu menerima sambutan luar jangkaan apabila berjaya meraih lebih satu juta tontonan di YouTube dalam tempoh hanya empat hari selepas dilancarkan. Lagu tersebut turut mendapat liputan meluas daripada media di India, selain membawa Kidd Santhe ke Chennai bagi menghadiri sesi sidang media dan promosi khas bersama media tempatan.

Bagi Kidd Santhe, kejayaan itu bukanlah noktah, sebaliknya menjadi inspirasi untuk membawa semula semangat "Naa Vera Level" kepada pendengar Malaysia menerusi sebuah interpretasi baharu yang meraikan identiti tempatan.

Lebih daripada sekadar versi berbahasa Melayu, "Aku Level Lain" adalah interpretasi Malaysia yang membawa identitinya sendiri. Mengekalkan semangat keyakinan, keberanian dan cita-cita daripada "Naa Vera Level", lagu ini diolah dengan lirik yang lebih dekat dengan jiwa rakyat Malaysia serta disuntik pengaruh hip-hop Pantai Timur yang memberi warna baharu kepada karya ini.

Jika "Naa Vera Level" mempertemukan Malaysia dan Chennai dalam kolaborasi rentas sempadan, "Aku Level Lain" pula meraikan kepelbagaian budaya dalam negara sendiri, membuktikan bahawa identiti tempatan juga mampu dipersembahkan dengan kualiti dan keyakinan bertaraf antarabangsa.

Bagi menghidupkan identiti Malaysia yang ingin diketengahkan, Kidd Santhe bergandingan bersama Rxf Rhaled, antara nama yang semakin menyerlah dalam arena hip-hop Pantai Timur. Sebagai anggota kolektif hip-hop WRGA yang popular di TikTok, Rxf Rhaled dikenali dengan gaya penyampaian berpengaruh dialek Kelantan dan budaya muzik Pantai Timur.

Kehadirannya bukan sekadar sebagai artis undangan, malah menjadi elemen penting yang membentuk identiti "Aku Level Lain". Dengan penggunaan dialek Kelantan dan karakter hip-hop Pantai Timur yang tersendiri, lagu ini meraikan kepelbagaian budaya Malaysia sambil membuktikan bahawa dialek tempatan juga mampu menjadi kekuatan dalam muzik moden.

Menerusi "Aku Level Lain", Kidd Santhe terus mengangkat tema keyakinan diri, ketabahan dan keberanian untuk melangkah lebih jauh tanpa melupakan asal-usul. Lagu ini menggambarkan perjalanan seorang anak seni yang berani bermimpi besar sambil membawa nama Malaysia ke pentas dunia.

Pada masa yang sama, lagu ini meraikan kepelbagaian budaya negara melalui gabungan bahasa Melayu, elemen budaya India Malaysia serta dialek Kelantan, menghasilkan sebuah karya yang mencerminkan wajah sebenar Malaysia yang pelbagai, unik dan bersatu dalam muzik.

Menurut Kidd Santhe, kejayaan yang diterima menerusi "Naa Vera Level" menjadi inspirasi utama kepada penghasilan "Aku Level Lain".

“'Naa Vera Level' membuka banyak peluang yang tidak disangka. Sambutan di India sangat luar biasa, daripada tontonan di YouTube sehingga liputan media dan pertemuan dengan peminat di Chennai. Pengalaman itu membuat saya sedar muzik boleh merentasi sempadan tanpa kehilangan identiti. Sebab itu saya hasilkan 'Aku Level Lain' untuk meraikan Malaysia, bahasa kita dan budaya kita. Rxf Rhaled pula melengkapkan lagu ini dengan warna Pantai Timur yang sangat asli."

Mengukuhkan lagi identiti tempatan yang dibawakan, video muzik (MV) rasmi "Aku Level Lain" diarahkan oleh Veshaan Raj dan Kripxen, dengan keseluruhan penggambaran dijalankan sepenuhnya di Kelantan.

Pemilihan Kelantan bukan sekadar sebagai lokasi penggambaran, malah menjadi sebahagian daripada penceritaan visual lagu ini. Keindahan landskap, budaya masyarakat serta karakter Pantai Timur diterjemahkan menerusi pendekatan visual moden yang melengkapkan semangat lagu, sekali gus menjadikan MV ini sebuah penghormatan kepada kepelbagaian budaya di Malaysia.

Menerusi "Aku Level Lain", Kidd Santhe membuktikan bahawa kejayaan di pentas antarabangsa bukanlah destinasi terakhir, sebaliknya menjadi pemangkin untuk terus menghasilkan karya yang lebih dekat dengan masyarakat sendiri. Daripada sambutan luar biasa di India kepada kolaborasi bersama bakat Pantai Timur, perjalanan ini mencerminkan evolusi seorang artis yang sentiasa berani meneroka sempadan baharu tanpa pernah melupakan akar budayanya.