KUALA LUMPUR: Peminat muzik metal tempatan perlu bertindak segera untuk mendapatkan tiket konsert kumpulan metal wanita Jepun, Lovebites, yang bakal membuat penampilan sulung di Malaysia pada 4 Oktober ini.
Dibawakan oleh Rockstage Entertainment, Lovebites: Outstanding Tour Live In Kuala Lumpur akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur dan kini menyaksikan jualan tiket mencecah 60 peratus.
Perkembangan itu membuktikan sambutan terhadap kumpulan berkenaan semakin hangat, sekali gus menjadikan konsert sulung mereka di Malaysia antara acara muzik yang dinantikan peminat metal tempatan tahun ini.
Konsert di Kuala Lumpur merupakan sebahagian daripada Outstanding Tour – SEA 2026, yang turut membawa Lovebites ke Singapura pada 2 Oktober dan Thailand pada 3 Oktober sebelum mereka tiba di Malaysia pada 4 Oktober.
Ditubuhkan pada 2016, Lovebites kini dianggotai Asami sebagai vokalis, Midori dan Miyako sebagai gitaris, Fami sebagai pemain bass serta Haruna di posisi dram.
Kumpulan berkenaan dikenali menerusi gabungan heavy metal, power metal dan speed metal yang diperkaya dengan melodi dramatik, riff gitar pantas serta permainan instrumental berintensiti tinggi.
Kehebatan Lovebites bukan sahaja terletak pada vokal bertenaga Asami, malah gandingan dua gitarisnya, Midori dan Miyako, turut menjadi antara tarikan utama persembahan mereka.
Permainan gitar yang teknikal, pantas dan agresif menjadi identiti penting kumpulan berkenaan, sementara bass Fami dan pukulan dram Haruna memberikan asas ritma yang lebih berat dan bertenaga.
Kredibiliti Lovebites dalam arena metal antarabangsa turut terserlah menerusi penampilan mereka di festival berprestij seperti Wacken Open Air. Kumpulan itu juga pernah menerima anugerah Best New Band pada Metal Hammer Golden Gods Awards 2018.
Tahun 2026 pula menyaksikan Lovebites terus mengukuhkan kedudukan mereka di pentas antarabangsa menerusi siri persembahan dan jelajah di beberapa negara, termasuk penampilan di Nippon Budokan, antara venue muzik paling ikonik di Jepun.
Selepas menjelajah Eropah, United Kingdom dan Jepun, mereka kini membawa Outstanding Tour ke Asia Tenggara, dengan Kuala Lumpur menjadi salah satu destinasi utama dalam siri jelajah berkenaan.
Pemilihan Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi persembahan turut memberikan kelebihan tersendiri kepada peminat. Dengan konsep venue yang lebih dekat dan intim, penonton berpeluang menikmati persembahan Lovebites dari jarak yang lebih dekat.
Bagi peminat gitar solo dan muzik metal berintensiti tinggi, persembahan secara langsung pastinya menawarkan pengalaman berbeza berbanding sekadar menyaksikan video persembahan mereka di YouTube.
Bayangkan aksi Midori dan Miyako saling bersahut menerusi riff serta solo gitar berkelajuan tinggi, diiringi dentuman bass Fami, pukulan dram Haruna dan vokal bertenaga Asami.
Gabungan itu dijangka menjadikan pentas Zepp KL lokasi yang cukup ‘panas’ apabila lima anggota Lovebites berdepan secara langsung dengan peminat Malaysia.
Lebih penting, peluang menyaksikan Lovebites secara langsung di Malaysia bukanlah sesuatu yang hadir setiap tahun. Justeru, peminat yang masih belum mendapatkan tiket disarankan supaya tidak menunggu sehingga saat akhir.
Dengan jualan tiket kini sudah mencapai 60 peratus, baki tiket dijangka semakin berkurangan menjelang hari persembahan.
Lovebites: Outstanding Tour Live In Kuala Lumpur dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober 2026 di Zepp Kuala Lumpur.
Tiket boleh didapati menerusi My Ticket Empire.

.jpeg)