KUALA LUMPUR, 18 Ogos 2026 – KamiSempoi Golden Award 2025 kembali buat tahun keempat berturut-turut sebagai platform bagi mengiktiraf, menghargai dan meraikan pencapaian pencipta kandungan digital serta hos TikTok LIVE dari Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Acara kemuncak anjuran KamiSempoi International Agency (KSIA) itu dijadualkan berlangsung pada 28 Ogos 2026 di Glitz Gala Ballroom, Pusat Perdagangan Mines 2, Mines Wellness City, Seri Kembangan.
Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan M Route 19 selaku penaja utama dan MK Media Studios sebagai penaja bersama.
Sebagai antara agensi utama TikTok LIVE di Malaysia, KSIA terus memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, pengukuhan komuniti live streaming serta pembukaan peluang baharu dalam ekonomi digital, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat serantau.
Menurut CEO KamiSempoi International Agency (KSIA) dan Live Host TikTok, Pakcik Chin Swee, KamiSempoi Golden Award bukan sekadar acara penghargaan, sebaliknya menjadi platform untuk meraikan sumbangan semua pihak yang bersama-sama membangunkan ekosistem KSIA.
“KamiSempoi Golden Award kita adakan untuk menghargai semua pihak dalam platform kami. Bukan sahaja live host, tetapi juga sub-agency, gifter dan rakan penaja yang memainkan peranan masing-masing.
“Kami mahu mereka tahu bahawa kerja keras dan pencapaian mereka dihargai. Pada masa sama, anugerah ini juga menjadi motivasi kepada lebih ramai live host untuk meningkatkan prestasi mereka.”
Selain mengiktiraf pencapaian komuniti KSIA, edisi tahun ini turut menyaksikan pelancaran KamiSempoi Premier Academy, sebuah inisiatif baharu yang memberi fokus kepada latihan dan pembangunan generasi baharu profesional live streamer.
Penubuhan akademi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha KSIA untuk menjadikan pembangunan bakat live streaming lebih tersusun, sistematik dan profesional.
Antara aspek yang diberi penekanan termasuk kemahiran komunikasi, pembangunan kandungan, penampilan, persembahan, interaksi bersama penonton, kualiti produksi serta aspek teknikal LIVE.
Akademi tersebut akan beroperasi di pejabat KamiSempoi di Quill City Mall, Kuala Lumpur, dan berfungsi sebagai pusat latihan serta pembangunan kepada individu yang serius untuk menjadikan live streaming sebagai satu kerjaya.
Pengambilan peserta akan dibuat menerusi proses temuduga dan saringan. Calon akan dinilai berdasarkan minat, komitmen, kebolehan berkomunikasi serta potensi untuk dibangunkan sebagai live streamer profesional.
Pakcik Chin Swee berkata, latar belakang calon bukan menjadi ukuran utama dalam pemilihan peserta.
“Kami tidak kisah mereka datang daripada background apa. Penyanyi, pengacara, pelajar, suri rumah atau orang biasa sekalipun.
“Yang penting mereka mahu belajar, mahu bekerja dan betul-betul serius untuk jadikan live streaming sebagai kerjaya.
“Kalau dia pandai bercakap, pandai berkomunikasi dan boleh menghiburkan orang, itu yang kami cari.”
KamiSempoi Golden Award 2025 menyediakan sebanyak 20 kategori pengiktirafan, merangkumi pelbagai peranan dalam ekosistem KSIA.
Daripada jumlah tersebut, 13 kategori dikhususkan kepada Live Host, tiga kategori kepada Sub Agency dan Talent Manager, satu kategori kepada Gifter, manakala tiga lagi merupakan pengiktirafan utama berdasarkan pasaran iaitu Top Host Malaysia, Top Host Singapore dan Top Host Indonesia.
Pengiktirafan khas turut diberikan kepada penaja utama sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka terhadap penganjuran acara.
Pengenalan kategori mengikut negara turut mencerminkan perkembangan KSIA di peringkat serantau.
Ketika ini, komuniti KSIA merangkumi kira-kira 4,300 live host di Malaysia, 1,500 di Indonesia dan 200 di Singapura.
Menurut Pakcik Chin Swee, perkembangan tersebut menunjukkan potensi besar industri live streaming sebagai sebahagian daripada ekonomi digital, selain membuka ruang kepada pencipta kandungan untuk membina komuniti dan mengembangkan kerjaya menerusi platform digital.
Bagi edisi tahun ini, KSIA mengambil pendekatan lebih teliti dalam pemilihan Live Host dan Sub Agency yang bakal menerima pengiktirafan.
Prestasi dan pencapaian menjadi antara faktor utama yang dinilai bagi memastikan penerima anugerah benar-benar mempunyai rekod pencapaian yang membanggakan.
Bagi kategori Live Host, antara ukuran yang digunakan ialah pencapaian diamond, prestasi LIVE, komitmen serta perkembangan sepanjang berada dalam ekosistem KSIA.
“Tahun ini kita betul-betul pilih host yang akan menyertai acara ini. Kita mahu mereka yang berada di pentas itu mempunyai pencapaian yang boleh dibanggakan.
“Antara perkara yang kita lihat ialah diamond achievement dan live achievement. Jadi ia bukan semata-mata kerana seseorang itu popular, tetapi kerana mereka benar-benar menunjukkan prestasi dan usaha.”
Dalam masa sama, rangkaian Rakan Niaga KSIA di Malaysia, Singapura dan Indonesia telah menghasilkan lebih 150 juta diamond, sekali gus mencerminkan peranan mereka dalam membina dan mengembangkan komuniti Live Host di bawah KSIA.
Antara pencapaian yang turut mendapat perhatian ialah BossKlan, penerima Sub Agency of the Year 2024 yang menjadi Rakan Kongsi pertama KSIA membuka pejabat sendiri di Singapura.
Pencapaian itu membuktikan bahawa peluang dalam industri live streaming tidak terhad kepada kerjaya sebagai Live Host sahaja.
Menerusi laluan Sub Agency dan Rakan Niaga, individu dalam ekosistem ini turut berpeluang membina pasukan, melatih serta membangunkan Live Host dan seterusnya mengembangkan operasi mereka ke peringkat lebih besar.
Di sebalik penganjuran KamiSempoi Golden Award, KSIA turut membawa aspirasi lebih besar untuk meningkatkan tahap profesionalisme industri live streaming di Malaysia.
Pakcik Chin Swee mengambil perkembangan live streaming di China menerusi platform Douyin sebagai antara contoh bagaimana industri tersebut boleh berkembang apabila aspek kandungan, teknologi dan produksi diberi perhatian serius.
“Kalau kita lihat Douyin di China, mereka sudah jauh ke hadapan. Saya boleh katakan mereka mungkin sudah 10 hingga 12 tahun lebih advance daripada kita.
“Di sana, orang buat LIVE sudah macam sebuah rancangan televisyen. Malah ada live yang mempunyai produksi sangat besar, termasuk konsert dan pelbagai bentuk persembahan.
“Kita di Malaysia masih mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan. Kalau kita mahu bersaing, kita perlu mula bergerak ke arah live streaming yang lebih profesional.
Menurut beliau, profesionalisme dalam live streaming merangkumi pelbagai aspek, termasuk susunan studio, kamera, komputer, sistem audio, pencahayaan, grooming, penampilan, kandungan, komunikasi dan cara hos berinteraksi dengan penonton.
“Kualiti bukan hanya pada cara mereka bercakap. Kita tengok keseluruhan live itu.
“Bagaimana setup mereka, bagaimana kamera mereka, bagaimana mereka tampil, bagaimana mereka communicate dan bagaimana mereka menghiburkan penonton.
“Kalau pandai bercakap, pandai berkomunikasi dan pandai menghiburkan orang, itu asas yang sangat bagus. Tetapi kita mahu membentuk mereka menjadi lebih profesional.”
KamiSempoi Premier Academy akan menggunakan kurikulum khusus dengan tempoh pembangunan selama satu tahun.
Salah satu penanda aras yang ditetapkan ialah pencapaian 1 juta diamond dalam tempoh satu tahun sebagai antara syarat untuk menamatkan program.
Bagaimanapun, peserta yang menunjukkan perkembangan dan prestasi memberangsangkan berpotensi mencapai sasaran tersebut lebih awal, dengan tempoh sekitar enam bulan dianggap sebagai antara perkembangan terpantas.
Kurikulum akademi merangkumi:
Latihan teknikal
Pembangunan kandungan
Look & feel seorang hos
Ketrampilan diri dan penampilan
Persembahan dan penyampaian
Komunikasi
Live setup
Interaksi dan hiburan bersama penonton
Pembangunan prestasi LIVE
Pakcik Chin Swee berkata, peserta bukan sekadar mengikuti kelas, sebaliknya perlu membuktikan kemampuan menerusi prestasi sebenar.
“Kami ada kurikulum. Mereka perlu belajar dan bekerja pada masa yang sama.
“Kalau ada yang boleh berkembang dalam enam bulan dan capai sasaran, itu sangat bagus. Tetapi program ini secara keseluruhannya adalah untuk tempoh satu tahun.
“Kalau mereka tidak mencapai sasaran, mereka perlu melalui penilaian dan latihan seterusnya. Kami mahu mereka benar-benar layak dan bersedia sebelum graduate.”
Menurut Pakcik Chin Swee, antara cabaran yang mahu ditangani menerusi KamiSempoi Premier Academy ialah persepsi bahawa kerjaya sebagai live streamer mudah kerana boleh dilakukan dari rumah.
Sebaliknya, KSIA mahu membentuk generasi live streamer yang mempunyai disiplin, sasaran, daya saing dan semangat untuk terus berkembang.
“Ramai orang mahu jadi live streamer tetapi tidak ada direction.
“Kita mahu ubah mindset bahawa sebab kerja dari rumah, kita tidak perlu ada disiplin. Kalau mahu jadikan ini pekerjaan tetap, kita kena bekerja dan belajar.
“Kena ada drive, kena ada fighting spirit dan kena ada performance. Sebab itu kami wujudkan akademi ini.”
Selain latihan, KSIA turut mengambil kira cabaran kos yang dihadapi individu yang mahu memulakan kerjaya sebagai live streamer profesional.
Penyediaan studio LIVE yang lengkap memerlukan pelaburan besar, terutama bagi kamera, komputer berprestasi tinggi, sound card, sistem audio dan peralatan teknikal lain.
Bagi membantu mereka yang belum mempunyai kemampuan menyediakan studio sendiri, KSIA merancang menyediakan kemudahan studio secara sewaan.
“Untuk set up sebuah live studio yang betul-betul profesional, kosnya besar.
“Kalau mereka sudah menyimpan dan ada bajet, mereka boleh set up studio sendiri. Tetapi kalau belum ada bajet, kami mahu sediakan studio untuk mereka.
“Ada PC, dua kamera, sound system dan keperluan asas untuk LIVE. Jadi mereka boleh datang dan gunakan kemudahan yang kami sediakan.”
Kemudahan tersebut bakal melengkapkan peranan KSIA sebagai pusat sehenti yang menyediakan bukan sahaja latihan dan pembangunan bakat, tetapi turut membantu dari aspek infrastruktur teknikal.
Penubuhan KamiSempoi Premier Academy turut membuka peluang kepada individu daripada pelbagai latar belakang untuk meneroka live streaming sebagai kerjaya dalam ekonomi digital.
KSIA percaya bidang ini tidak semestinya memerlukan pengalaman dalam industri hiburan, sebaliknya kesungguhan, kebolehan berkomunikasi dan keinginan untuk belajar merupakan antara ciri penting yang boleh dibangunkan.
“Kami mahu jadikan KSIA sebagai satu pusat sehenti untuk mereka belajar, bekerja dan membina kerjaya sebagai profesional live streamer.”
Penganjuran KamiSempoi Golden Award 2025 buat tahun keempat berturut-turut bukan sekadar meraikan pencapaian komuniti KSIA, malah menjadi titik penting kepada hala tuju baharu agensi berkenaan dalam membangunkan bakat dan meningkatkan standard industri live streaming.
Dengan komuniti kira-kira 4,300 live host di Malaysia, 1,500 di Indonesia dan 200 di Singapura, KSIA melihat masih terdapat ruang besar untuk industri tersebut berkembang, khususnya dari aspek profesionalisme, kandungan dan kualiti produksi.
Pakcik Chin Swee berkata, sasaran akhirnya adalah untuk melahirkan live streamer Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kami mahu orang melihat live streaming sebagai satu kerjaya profesional.
“Kami mahu lahirkan generasi baharu yang bukan sahaja boleh mendapatkan tontonan, tetapi boleh menghasilkan sebuah live show yang berkualiti dan mempunyai standard produksi yang tinggi.
“Ini bukan sesuatu yang boleh berlaku dalam satu malam. Tetapi kita perlu mula bergerak sekarang. Kami percaya masa depan live streaming Malaysia sangat besar.”
Melalui KamiSempoi Golden Award 2025, KSIA meraikan pencapaian komuniti yang telah dibina, manakala menerusi KamiSempoi Premier Academy, agensi itu kini memberi tumpuan kepada pembentukan generasi baharu live streamer yang lebih profesional, berkemahiran dan bersedia untuk bersaing dalam landskap live streaming global.







