SOSIAL MEDIA

27 July, 2020

KEKUATAN DAN KETABAHAN ERNIE DALAM "BONEKA"


KUALA LUMPUR, 24 Julai 2020 – Penyanyi wanita popular tanah air bersuara emas dan serba boleh yang berasal dari Kuala Lumpur, Nur Ernie Shahirah Zakri atau lebih dikenali dengan nama Ernie Zakri kembali menggegarkan industri muzik Malaysia sekali lagi dengan single terbaharu yang berjudul ‘Boneka’. Tampil berbeza dengan imej serba baharu, lagu ‘Boneka’ dicipta dan dihasilkan oleh komposer hebat Omar K bersama dua komposer muda yang berbakat besar iaitu Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh.


“Sebenarnya lagu ‘Boneka’ ini telah pun dirakamkan sebelum wabak COVID-19 melanda negara lagi. Terdahulu single Gundah telah dilancarkan pada bulan Disember tahun lepas dan rasanya sesuai buat saya untuk tampil dengan single baharu,” jelas Ernie.

Bercerita mengenai lagu ‘Boneka’,“Ia berkisar tentang seorang wanita yang ditinggalkan kekasihnya tetapi dia sangat kuat dan tabah dalam menghadapi perpisahan tersebut kerana dia bukanlah ‘boneka’ yang boleh diperlakukan sesuka hati oleh mana-mana lelaki.

Sebenarnya melalui lagu ini, saya mewakili mana-mana pihak yang ditinggilakan oleh kekasih mereka sama ada wanita mahupun lelaki.”

Mengulas lanjut tentang single ini, Ernie menerangkan, “Saya gemar mempersembahkan karya-karya yang mempunyai cerita dan mesej yang mendalam agar dapat dijadikan sebagai pemangkin buat mereka yang tindas sebagai contoh.


Muzik mempunyai elemen yang dapat membantu dalam menaikkan semangat seseorang, dan melalui lagu yang saya sampaikan, saya harap ia dapat membantu pendengar tatkala berada dalam keadaan yang gundah.”

Proses rakaman lagu ‘Boneka’ telah dilakukan di Enormus Studio milik komposer Omar K, Ernie memberitahu, “Saya hanya mengambil masa selama satu hingga dua jam sahaja bagi merakamkan single ini kerana saya sudah beberapa kali bekerjasama dengan Omar K dan saya faham apa yang dikehendaki oleh beliau.

Ini juga merupakan pengalaman pertama berkolaborasi dengan Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh kerana kedua-duanya masih baharu dalam bidang penciptaan lagu, namun begitu banyak idea segar yang ditampilkan dan saya rasa seronok kerana banyak yang dipelajari dan dikongsikan bersama. Saya berharap agar single ‘Boneka’ ini diterima baik oleh peminat saya terutamanya, dan penggemar muzik secara amnya, dan dengan imej baharu yang ditonjolkan dan konsep berbeza yang ditampilkan memberi kelainan terhadap karya-karya saya yang terdahulu.”