Setelah selepas sekian lama tidak muncul dengan lagu 'makanan' seperti kebanyakan single terdahulu ketika di awal kemunculan, terbaharu Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah kini melancarkan lagu ‘Sabar’.
Penyanyi terkenal, Black Hanifah menjadi antara penyanyi lelaki yang memiliki keunikan dan kualiti vokal tersendiri. Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi Black selepas menjuarai pertandingan Mentor musim ketiga termasuk dalam beberapa siri Anugerah Juara Lagu meletakkan dia di kelas tersendiri. Bagilah apa saja jenis lagu, Black tidak pernah gagal mencuri perhatian peminat muzik. Malah, pujian wajar diberikan atas setiap usaha dan peningkatan ditunjukkan dalam kerjaya nyanyian beliau.
" SABAR " adalah sebuah lagu berentak balada Melayu ini yang merupakan ciptaan sepenuhnya Black mengembalikan beliau kepada identiti muzik asal.
Menariknya, lagu itu sudah disimpan sejak empat tahun lalu dan baru kali ini Black mempunyai keyakinan untuk melancarkan lagu itu sekali gus mengembalikan identiti muzik dan kegemilangan kerjaya nyanyiannya.
"Lagu ini 100 peratus hasil ciptaan saya. Sepanjang 12 tahun dalam industri, saya curahkan semua perasaan dalam lagu ini yang mana sudah disimpan selama empat tahun. "Alasannya, ketika itu saya tidak yakin dengan diri untuk menghasilkan lagu sendiri. Namun, sepanjang tempoh itu saya ada memperdengarkan lagu ini kepada rakan penyanyi lain. Maklumbalas diberikan, mereka cakap kenapa saya tidak rakamkan lagu ini. "Apabila lagu ini siap sepenuhnya dan dengar semula, mereka siap boleh hafal lagi. Itu menambahkan lagi keyakinan saya untuk mengeluarkan lagu ini. Malah, rakan bukan dalam industri pun suka dan jatuh cinta dengan lagu ini," katanya.
"Apa yang boleh saya katakan ialah lagu Sabar ini sangat lain dari lagu-lagu yang dihasilkan beberapa tahun sebelum ini. Ia lagu balada yang memang kena dengan jiwa saya. Kalau nyanyi pun memang 'feel' sepenuhnya.
"Dalam erti kata lain, lagu ini sebenarnya mengembalikan zaman saya mula-mula dulu. Kiranya kalau orang dengar lagu ini, orang sudah tahu ini adalah muzik dan identiti saya. Sewaktu proses rakaman pun semuanya mudah dan cepat saja sebab saya sudah faham melodi, lenggok dan lirik. Empat tahun lalu lagu ini sangat 'raw'. Apabila ada keyakinan, saya terus siapkan. Malah, gubahan lagu ini juga sama seperti apa yang saya bayangkan masa di awal dulu," katanya.
Lagu ‘Sabar’ mengisahkan bagaimana seseorang bersabar dengan kehidupan dilalui samada kesabaran itu beroleh kegembiraan atau sebaliknya. "Sewaktu menulis lagu ini diakui saya dalam keadaan tertekan dengan kehidupan sendiri. Jadi, mesej yang ingin disampaikan adalah sabar.
"Boleh jadi, sabar itu satu penantian dan permulaan dalam kehidupan. Mungkin ada yang bersabar hingga hujungnya peroleh kebaikan. Begitu juga sebaliknya.
"Sabar ini juga boleh dikaitkan dalam perhubungan percintaan, persahabatan, kekeluargaan dan apa saja. Kiranya, siapa yang mendengar lagu ini boleh dikaitkan dengan diri masing-masing," katanya.



