INHUMAN KINI BANGKIT DARI LENA YANG PANJANG MENGGENGGAM 'BARA BESI'.
Mengumumkan mereka bakal menghasilkan sebuah album pertama 'Bara Besi' secara rasminya dalam bulan ini di bawah Rock Stage Entertainment (RSE), pastinya mengejutkan ramai peminat peminat mereka. Kumpulan InHuman yang dianggotai Fen Malique (gitar/vokal) dan Ishan Yusof (gitar) yang merupakan anggota asal selain Shafie Ahmad (dram) dan Zamri Saleh (bass) iaitu gandingan terkini memberi semangat baharu untuk kumpulan ini yang kini boleh dikatakan dari Segamat, Johor.
Hampir tiga dekad ditubuhkan melalui pelbagai onak dan ranjau merintangi perjalanan mereka sehinggakan dilihat seakan sudah mati. InHuman yang wujud pada 1991 di Kuala Lumpur, kini boleh menarik nafas lega. Pada ketika dilihat sudah menemui jalan buntu, sinar baharu muncul dan satu kebangkitan berlaku. Tidak seperti kumpulan-kumpulan underground tempatan lain yang menghasilkan pita demo, mereka tidak sempat berbuat demikian walaupun sudah memiliki beberapa lagu sendiri sebelum ini.
Menurut Fen Malique atau lebih dikenali sabagai Fen, 'Bara Besi' sangat istimewa bagi mereka. "Album ini terhasil selepas 30 tahun band ini ditubuhkan dan sudah pasti segala pengalaman dan kemampuan kami curahkan sepenuhnya. Ada ketikanya kami rasa bagaikan tidak ada peluang lagi untuk kami tampil dengan karya-karya sendiri," ujarnya mengenang semula perjalanan panjang InHuman yang pernah terhenti satu ketika dahulu.
"Tapi siapa menduga, peluang itu datang pada hujung usia begini. Memang bukan mudah bagi kami tapi kami yakin ia bukanlah mustahil. Alhamdulillah," sambungnya sambil mengucap syukur kerana walaupun masing-masing sudah berkeluarga mereka tetap komited dengan muzik walaupun rata-ratanya sudah melepasi usia pertengahan 40-an.
Ditanya mengapa setelah sekian lama di persada muzik baru InHuman muncul dengan album sulung. Fen menjelaskan: "InHuman melalui beberapa fasa sejak awal penubuhannya yang mana proses peralihan ini menyebabkan kerja-kerja menghasilkan album terbantut. Pada 1990 hingga 1995 adalah fasa di mana kami belajar dan mendalami dunia muzik berat. Belajar bermain lagu-lagu daripada band idola seperti Slayer, Sepultura, Metallica, Kreator, Sodom, Death, Cancer, Pantera dan yang sewaktu dengannya.
Ceritanya lagi, sekitar 1993 mereka mula berjinak-jinak bermain dalam beberapa siri gig sekitar Kuala Lumpur, Ipoh, Perak dan Bandar Pusat Jengka, Pahang. "Tapi itu hanyalah sebahagian daripada lipatan sejarah penglibatan kami dalam muzik metal khususnya dunia underground dan ianya terhenti di situ. Fasa kedua iaitu 1995-2015 adalah fasa 'kematian' bagi kami di mana semua line up berpecah membawa haluan masing-masing selain terikat dengan kerja, berkahwin dan sebagainya. InHuman hilang daripada radar," jelasnya.
Menurut pemuzik yang berasal dan kini menetap di Felda Tenang, Labis itu, fasa yang ketiga dari 2015 hingga kini adalah fasa 'kebangkitan' yang mereka namakan 'InHuman Resurrection'. Rentetan itu menyaksikan kemunculan semula InHuman dengan rilisan album mini atau EP pertama yang berjudul 'Awakened At World's End'. "Banyak rintangan dan cabaran sebenarnya. Selain bergerak secara DIY dengan modal sendiri, pertukaran line up juga melambatkn progres kami."
Khabarnya sebelum RSE melamar untuk album ini, InHuman terlebih dahulu ditawarkan album oleh sebuah label, mengapa mereka tidak meneruskan perancangan dan apakah keistimewaan RSE sehingga InHuman berminat bernaung di bawahnya. "Sebenarnya ianya antara beberapa label yang kami rasa sesuai untuk kami bekerjasama, tapi biasalah dalam dunia underground ini bukan band sahaja yang bergerak secara DIY, malah pihak label, organizer, editor fanzine dan sebagainya juga dikekang permasalahan sendiri. Mungkin masanya tidak sesuai bagi pihak label untuk meriliskan album kami menyebabkan InHuman terpaksa menunggu lebih lama. Akhirnya kami membuat keputusan untuk beralih arah."
"RSE adalah label yang dilihat berpotensi tinggi dan ini telah terbukti melalui bberapa siri konsert jelajah Rockstage yang menampilkn band-band besar. Selain itu RSE juga telah membuktikan kewibawaan dengan meriliskan album F.T.G dan Braindead selain beberapa lagi band legend yang dalam perancangan. Sudah tentu ini juga adalah peluang bagi InHuman untuk maju bersama-sama di bawah naungan RSE. Terima kasih RSE."
Walaupun InHuman sudah wujud lama, mereka masih mengekalkan genre yang sama seperti dahulu malah semakin berat pada kali ini. Mengulas mengenai direksi muzik mereka, Fen memberitahu, InHuman mengekal dan mempertahankan konsep yang dipelopori sejak dahulu meskipun trend muzik ekstrem datang dan pergi. "Itulah tujuannya sejak hari pertama InHuman ditubuhkan. Thrash/death metal adalah akar umbinya. Setelah sekian lama album ini menzahirkan segala pengalaman, transformasi dan evolusi kami sepanjang perjalanan 30 tahun ini," ujarnya bersemangat.
Jelasanya lagi, "kami tidak bermuzik mengikut trend semata-mata. Ini adalah bancuhan muzik metal yang kami rasa masih mengekalkan elemen-elemen old school tapi masih juga releven untuk era masa kini. Itu yang kami cuba lakukan. Kepada peminat muzik metal berat khususnya ini adalah yang teristimewa untuk halwa telinga anda. Dengarkan," ungkapnya ringkas tetapi berharap pendengar akan berpuas hati dengan muzik mereka.
Album ini uniknya menampilkan tajuk dalam bahasa Melayu namun semua liriknya adalah dalam bahasa Inggeris. Kata Fen, mereka sepakat memilih tajuk dalam bahasa Melayu walaupun lirikya berbahasa Inggeris kerana pertamanya mahu dikenali sebagai band dari Malaysia walau ke mana pun album ini akan 'terbang' atau dipasarkan nanti. Kedua katanya, ianya melambangkan semangat yang kental walaupun apinya tidak kelihatan hangatnya tetap membara...bagai bara besi.
'Bara Besi' akan dilancarkan di My Studio Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor pada 21 Mac ini. Turut memeriahkan pelancaran album itu adalah band jemputan seperti Kobra, Puakerysm, Bloodbrothers, Secret Agenda dan Ironman yang tampil dengan muzik sendiri. Konsert berkenaan yang dianjurkan RSE akan bermula pukul 8 malam dengan tiket hanya berharga RM30. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi 012-2937976 (RSE).


