Pelakon tersohor tanah air, Dato’ Aaron Aziz, kali ini tampil bukan sebagai hero di layar perak, tetapi sebagai pencetus perubahan dalam dunia seni bela diri tempatan. Melalui peluncuran ULA SUPER 8 MMA CHAMPIONSHIP 2025, beliau bukan sekadar menganjurkan kejohanan tetapi memberikan peluang kedua, dan membuka jalan untuk mereka yang menginginkan masa depan yang lebih baik.
Berpegang pada minat mendalam terhadap seni mempertahankan diri dan rasa tanggungjawab kepada komuniti, Dato’ Aaron memperkenalkan sebuah platform yang menyatukan aksi bertaraf dunia dengan misi yang besar. Kejohanan yang akan bermula pada 3 Ogos 2025 di Star Avenue Lifestyle Mall, Shah Alam ini bakal menyaksikan lapan peserta MMA terbaik dari Malaysia, serta negara seperti Dagestan, Afghanistan, UK, Brunei dan Thailand.
Bagi Dato’ Aaron, ini bukan sekadar pertarungan fizikal tetapi perjuangan untuk mengangkat atlet tempatan, membanteras budaya buli, memperjuangkan kesihatan mental dan membuka peluang kerjaya dalam bidang hiburan.
“Ramai dari kalangan kita yang terpaksa keluar negara untuk dikenali. Saya nak ubah perkara itu. Kita bawa negara luar datang ke sini, dan dalam masa yang sama, beri peluang untuk mereka dilihat bukan hanya sebagai atlet, tetapi juga pelakon aksi dan individu berbakat,” ujar Dato’ Aaron.
Beliau juga menekankan sokongan terhadap golongan yang ingin berubah termasuk bekas banduan dan belia yang pernah tersasar, yang kini menemui arah hidup melalui seni tempur.
Format kejohanan ini merangkumi tiga pusingan iaitu suku akhir (Ogos), separuh akhir (September), dan final (Oktober 2025). Selain perlawanan utama, setiap acara turut menampilkan 5 pertarungan MMA, 5 perlawanan tinju amatur, dan 8 pertarungan Muay Thai, menonjolkan bakat baharu dan profesional tempatan.
Juara keseluruhan akan membawa pulang RM20,000, tali pinggang kejohanan eksklusif, dan dilantik sebagai duta rasmi kejohanan. Naib juara dan finalis turut menerima ganjaran tunai. Penaja rasmi motosikal elektrik, GGR, akan menghadiahkan sebuah motosikal kepada pemenang terbaik, dan satu lagi unit akan diberi kepada penonton yang bertuah menerusi cabutan bertuah. Pemenang perlawanan undercard pula akan menerima RM200 setiap seorang.
Kejohanan ini turut menyokong kempen sosial “Bully Proof”, kerjasama antara United Lair of Arts (ULA) dan Persatuan Kesedaran & Sokongan Penyakit Mental (MIASA). Menerusi slogan “Silence Is Not Weakness. We Hear Your Silence,” kempen ini membawa mesej penting tentang kesedaran buli dan kesihatan mental, khususnya dalam kalangan belia yang sedang bergelut dengan masalah ini.
Life Telco sebagai rakan digital rasmi akan menstrim acara kejohanan dari rakaman penuh pertarungan, vlog belakang tabir, hingga ke media sosial di YouTube, TikTok dan Instagram, bagi memastikan lebih ramai dapat mengikuti perjuangan setiap peserta.
ULA SUPER 8 MMA CHAMPIONSHIP 2025 bukan sekadar acara sukan. Ia adalah gerakan untuk memberi harapan dan membuka ruang dan peluang.
“Ini bukan tentang menang saja. Ini tentang peluang kedua, untuk buktikan yang kekuatan boleh digunakan untuk membuat kebaikan. Sama ada mereka jadi juara, pelakon aksi atau mentor. Yang penting, mereka diberi ruang untuk buktikan diri mereka sendiri,” jelas Dato’ Aaron menutup kenyataan.