Menjelang 21 tahun terlibat dengan pelbagai pengalaman serta rencah dalam industri muzik Indonesia, Kotak tidak ‘Sendiri’. Mereka ditemani ‘Kerabat Kotak’ yang setia pada saat anggota kumpulan ini silih berganti, melewati konflik dan fasa kegemilangan yang berjaya dipertahankan selama dua dekad ini.
Setelah lebih dua dekad perjuangan tanpa lelah Tantri Syalindri Ichlasari, Swasti Sabdastantri dan Mario Marcella, mencipta pelbagai kejayaan dalam industri muzik Indonesia, kumpulan rock tersohor KOTAK bakal meraikan ulang tahun ke-21 mereka dengan konsert istimewa Road to 21st Anniversary KOTAK x Arda Hatna di Zepp Kuala Lumpur pada 21 September 2025.
Konsert ini dibawa khas oleh GemaWave, satu platform muzik rentas genre yang meraikan getaran suara Asia Tenggara, dan dianjurkan oleh syarikat pengurusan acara, Boomset Planning yang membawa peminat ‘Pelan-Pelan Saja’ mengimbau kembali masa pada saat awal penubuhan band ini di tahun 2004 silam sehingga kini kerana ‘Masih Cinta’.
“Ini bukan sekadar konsert, ia adalah penghormatan kepada era muzik yang membentuk ramai dari kita. Kami mahu bawa semangat itu kembali hidup dalam suasana intim dan penuh bermakna.”
“GemaWave merupakan satu platform entertainment dan konsert KOTAK x Arda Hatna menjadi pilhan pertama kami untuk menganjurkannya,” ujar Syira Yusof dari Boomset Planning.
Boomset Planning juga memberi bonus kepada peminat kerana tidak mahu menampilkan sebuah lagi persembahan Kotak yang ‘begitu-begitu sahaja’.
Kotak akan ditemani sang legenda, Arda Hatna yang merupakan suami kepada vokalis KOTAK dan merupakan vokalis Naff yang telah menemani peminat dengan banyak lagu hitnya seperti Terendap Laraku, Kau Masih Kekasihku dan Akhirnya Ku Menemukanmu.
Suami vokalis Kotak ini juga punya karya peribadi yang dirilis tahun lalu iaitu Orang Tak Enakkan dan Pelabuhan Terakhir yang tidak kurang mendapat perhatian pada tahun ini.
“Dengan kolaborasi Kotak dan Arda Hatna, keraian Road To 21st Anniversary KOTAK x Arda Hatna akan menjadi sebuah momen luar biasa yang tidak akan dilupakan peminat,” tambah Syira lagi.
Sementara itu, Tantri mewakili Kotak melahirkan keterujaan untuk bertentang mata dan membuat persembahan di hadapan peminatnya di Zepp Kuala Lumpur pada 21 September 2025.
Bagi Tantri, Road to 21st Anniversary Kotak x Arda Hatna akan menjadi momen peribadi yang cukup manis buat band mereka dan Arda.
“Kalian hanya perlu tahu bahawa Kotak dan Arda tidak sabar menjayakan Road to21st Anniversary Kotak x Arda Hatna di Zepp Kuala Lumpur pada 21 September ini.
“Persembahan ini berbeda dari konsert sebelum ini kerana ia bukan sahaja menyambut ulangtahun Kotak tetapi ia juga menjadi momen yang sungguh bermakna apabila saya akan digandingkan bersama suami yang tercinta dalam satu pentas yang sama bersama-sama peminat kami dan juga yang tersayang.”
“Ingatan kami kepada kalian tidak pernah ‘Hilang’. Semoga kita saling ‘Selalu Cinta’ dan sampai jumpa di Kuala Lumpur. Long Live Kotak,” ujar Tantri.
Untuk itu jangan sampai terlepas peluang memiliki tiket kategori dengan harga bermula RM198 (standing), RM218 (gold), RM248 (Platinum) serta RM3,888 (Box) untuk menjadi salah seorang saksi persembahan bertenaga Road to 21st Anniversary Kotak x Arda Hatna. Tiket boleh dibeli menerusi www.ticket2u.com.my.
Kerabat Kotak, tandakan kalendar anda — 21 September 2025 dengan Road to 21st Anniversary Kotak x Arda Hatna di Zepp Kuala Lumpur. Ia akan menjadi momen terbaik anda di tahun ini.