SOSIAL MEDIA

31 July, 2025

GABUNGAN ROCK DAN ORKESTRA, 10 VOKALIS LAGENDA BAKAL GEGARKAN KONSERT JELAJAH NOSTALGIA ROCKESTRA 90'AN


Sebuah malam penuh emosi, nostalgia dan kuasa vokal bakal menggamatkan Shah Alam apabila Konsert Jelajah Nostalgia Rockestra 90’an membuka tirai pada 27 September 2025, bertempat di RCDbig Studio, Plaza Alam Sentral, jam 9 malam.


Konsert istimewa ini bakal menghimpunkan 10 vokalis legenda era 1990-an yang pernah mendominasi persada muzik rock tanah air. Mereka ialah Blank (Gamma), Aan (Ways), Burn (Meditasi), Renggo (Arrow), Isa (Gravity), Azan (Scan), Shafie (Rio), Afee (Utopia), Wom (UG14) dan Aju (Success).


Lebih menarik, kesemua penyanyi ini akan diiringi oleh Orkestra Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam format persembahan “rockestra”, sebuah gabungan kreatif antara rock dan muzik simfoni yang menjanjikan kelainan dan pengalaman mendalam buat para penonton.



Menurut wakil penganjur, Cik Intan Madura dari syarikat 211 Event Empire, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi merupakan platform menyatukan kembali barisan penyanyi yang pernah menguasai carta radio serta pentas-pentas hiburan tanah air pada satu ketika dahulu.


“Impian kami ialah untuk mengangkat semula kegemilangan era rock 90-an, dan menghidangkannya semula dalam bentuk lebih eksklusif dan berkelas. Iringan orkestra memberi nuansa segar kepada lagu-lagu popular ini, sekali gus menambat hati peminat pelbagai lapisan,” jelasnya.



Beliau turut memaklumkan bahawa Shah Alam hanya lokasi permulaan kepada siri jelajah yang bakal dibawa ke Johor, Sabah, Sarawak, dan tidak menolak kemungkinan ke Aceh, Indonesia sekiranya sambutan memberangsangkan.



Konsert ini dijangka menarik perhatian bukan sahaja peminat lama tetapi juga generasi baharu yang kini gemar menyanyikan lagu-lagu klasik rock Malaysia di platform karaoke mahupun media sosial. Penonton turut berpeluang menyaksikan persembahan vokalis asal, menyampaikan lagu-lagu ikonik seperti "Maya Percintaan", "Kembang Terhalang", "Layu Di Hujung Mekar", dan banyak lagi.


Bagi mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal, konsert ini turut ditawarkan dalam bentuk penstriman langsung pada harga serendah RM20, manakala tiket fizikal dijual pada harga antara RM188 hingga RM1,888, bergantung kepada pakej dan lokasi tempat duduk.





Konsert Jelajah Nostalgia Rockestra 90’an bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi adalah satu perjalanan kembali ke zaman kegemilangan rock tanah air, diraikan dalam bentuk terindah – dengan iringan orkestra, semangat nostalgia dan cinta terhadap muzik tempatan.


Tiket boleh didapati menerusi laman rasmi penganjur di www.211eventempire.com.