SOSIAL MEDIA

04 August, 2025

SKALUT PARTY TIPE-X MENGOTAKAN JANJI GEGAR JIOSPACE DEMI PEMINAT

TIPE-X

Kumpulan legenda ska dari Indonesia, Tipe-X, mencetuskan fenomena tersendiri apabila tampil menghiburkan ribuan peminat Malaysia menerusi konsert SkaLut Party yang berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya, 2 Ogos lalu. Konsert itu dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-30 perjalanan seni kumpulan berkenaan.


Dibawakan oleh Rockstage Entertainment, konsert tersebut bukan sekadar pertunjukan muzik, tetapi turut menjadi medan pertemuan generasi peminat lama dan baharu yang sama-sama membesar dengan irama ska, punk dan reggae ciptaan Tipe-X sejak tahun 1995.





Konsert dibuka dengan lagu “Pesta” yang serta-merta mencetuskan gelombang sorakan dan tarian daripada penonton. Atmosfera terus memuncak apabila lagu-lagu ikonik seperti “Mawar Hitam”, “Genit”, “Melati” dan “Karena Cemburu” dimainkan tanpa henti, menyemarakkan ruang konsert menjadi pesta ska yang penuh warna.


Tipe-X membawa peminat mereka menelusuri perjalanan emosi menerusi deretan lagu ikonik seperti “Mawar Hitam”, “Genit”, dan “Melati”, yang mendapat sambutan luar biasa daripada para peminat yang tidak henti-henti menyanyi bersama. Setiap lagu menjadi pengikat kenangan lama dan pencetus semangat baru.


Ketika “X-Friends” dipersembahkan, suasana menjadi sedikit emosional. Lagu yang menyentuh soal pengkhianatan persahabatan itu disampaikan dalam nada sinis namun tetap rancak – membuktikan bagaimana ska berfungsi sebagai terapi emosi yang membebaskan, bukan menenggelamkan.




Kekuatan Tipe-X bukan hanya terletak pada muzik dan persembahan bertenaga, tetapi juga pada lirik yang jujur dan dekat dengan realiti kehidupan anak muda. Lagu seperti “Tanda-Tanda Patah Hati” dan “Selamat Jalan” memperlihatkan sisi mereka yang lebih puitis dan melankolik, tetapi tetap disampaikan dalam gaya ska yang tidak mengendurkan semangat penonton.




Salah satu momen paling mengesankan malam itu hadir ketika lagu “Selamat Jalan” didendangkan. Keseluruhan ruang konsert senyap dalam hening yang menyentuh, hanya suara ribuan peminat yang menyanyi bersama mengisi ruang. Ia bukan sekadar persembahan lagu, tetapi seolah-olah satu detik penghormatan kepada kenangan, kehilangan, dan harapan.




Namun seperti yang dijanjikan, Tipe-X tidak membiarkan malam itu suram terlalu lama. “Kisah Cinta Kamu dan Aku”, “Saat-Saat Menyebalkan” dan “Kamu Nggak Sendirian” kembali menyuntik tenaga ke dalam arena. Lagu “Boyband” pula menjadi pencuci mulut yang mencuit hati dengan sindiran manis mereka terhadap budaya pop, yang disambut gelak dan sorakan.


Sebagai penutup, “Pacar Yang Baik” menjadi pilihan sempurna, menjadi simbolik kepada penutup malam yang hangat dan penuh makna. Penonton pulang bukan hanya dengan baju basah dek peluh, tetapi hati yang hangat dek kenangan, dan kaki yang masih gatal untuk menari.




Konsert turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan oleh Banyak Bunyi Republic dan Ampunk Syndicate, dua nama yang sedang mewarnai landskap ska dan punk tanah air. Mereka membuka pentas dengan semangat tinggi dan memberi gambaran bahawa masa depan ska tempatan juga tidak kurang hebatnya.