Kuala Lumpur, 4 Ogos 2025 – Nama Dato’ Aishah sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Selepas hampir empat dekad mewarnai dunia seni suara Malaysia dan antarabangsa, penyanyi legenda yang terkenal dengan lagu-lagu balada yang malar segar kini hadir menghadiahkan peminat dengan buah tangan terbaharunya berjudul “Taman Keabadian”, sebuah karya penuh penghayatan dan sarat dengan emosi ciptaan komposer berbakat besar, Senna.
Lagu yang menggamit jiwa ini bukan sahaja menjadi hadiah buat peminat setianya, tetapi juga satu simbol keutuhan Dato’ Aishah dalam dunia seni – seorang artis yang terus relevan, terus berkarya dan terus menyentuh hati generasi demi generasi.
Lagu Taman Keabadian menyentuh tema perpisahan dengan insan-insan yang tersayang – sama ada ibu bapa, keluarga, sahabat mahupun teman seperjuangan yang telah pergi meninggalkan kita. Dalam bait-bait liriknya terselit rasa kerinduan yang amat mendalam, namun disulami harapan bahawa pertemuan semula akan berlaku… di Taman Keabadian.
“Hanya keyakinan kita akan bertemu semula di negara abadi kelak dapat sedikit sebanyak mengubat kerinduan dan luka di hati. Berdoalah dan yakinlah kerana kita juga pasti menyusul dan bertemu semula di sana… di sebuah tempat dinamakan Taman Keabadian,” ujar Dato’ Aishah dengan nada penuh ketulusan.
Menurut Senna, proses menghasilkan lagu ini sangat peribadi dan istimewa bagi dirinya. Dia memilih Dato’ Aishah sebagai penyanyi kerana yakin hanya suara dan jiwa penyanyi ikonik ini mampu menyampaikan makna lagu tersebut dengan sempurna.
“Lagu ini begitu peribadi buat saya. Ia menuntut penyampaian yang bukan sekadar teknikal, tetapi penuh penghayatan dan spiritual. Saya yakin hanya Dato’ Aishah sahaja yang dapat membawa roh lagu ini dengan begitu mendalam. Beliau menyanyi bukan hanya dengan suara, tetapi dengan seluruh jiwa,” ujar Senna.
Buat semua peminat dan pencinta muzik tanah air, Dato’ Aishah menitipkan harapan agar lagu ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi kekuatan dan ketenangan kepada mereka yang sedang melalui kehilangan.
“Saya tujukan lagu ini kepada semua yang merindui insan-insan tercinta yang telah pun pergi ke negara abadi. Semoga lagu ini juga dapat menjadi teman dalam setiap doa dan pengubat jiwa buat mereka yang memerlukan semangat. Ini adalah hadiah saya buat anda semua,” katanya.
Dato’ Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah binti Wan Ariffin memulakan kerjaya muziknya di peringkat antarabangsa sebagai vokalis kumpulan Aishah & The Fan Club yang berpangkalan di New Zealand pada era 1980-an. Lagu-lagu seperti “Don’t Let Me Fall Alone” dan album “Sensation” bukan sahaja mencetuskan fenomena, malah menjadikan beliau sebagai artis Malaysia pertama yang menembusi pasaran muzik global serta menduduki carta Billboard.
Sekembalinya ke tanah air, Dato’ Aishah meneruskan kejayaan sebagai penyanyi solo dengan balada ikonik, diantaranya “Janji Manismu”, “Cinta Beralih Arah” ,“Bahtera Merdeka”, & “Kemaafan Dendam Yang Terindah” yang kini kekal relevan dan terus dinyanyikan oleh generasi baharu.
Dengan pengiktirafan di pentas AJL (Anugerah Juara Lagu), Anugerah Industri Muzik (AIM) dan penganugerahan gelaran “Dato’” sebagai tanda jasa dalam seni suara, Dato’ Aishah kini berdiri sebagai ikon budaya dan khazanah negara.
“Saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus menyanyi dan berkarya. Setiap lagu yang saya nyanyikan adalah sebahagian daripada hidup saya, dan saya harap ia juga menjadi sebahagian daripada hidup orang lain,” ujar beliau.
Dalam usaha menyegarkan semula legasi muziknya, Dato’ Aishah turut aktif di laman Instagram aishahjmm dan TikTok aishahjmm, di mana peminat kini boleh menikmati semula versi baharu dan remastered lagu-lagu malar segar seperti “Janji Manismu”, “Sensation”, “Fatwa Pujangga”, “Don’t Let Me Fall Alone” dan “Syurga Di Telapak Kaki Ibu”.
Single baharu “Taman Keabadian” boleh dilayari di semua digital streaming platform pada 8 Ogos 2025.