SOSIAL MEDIA

27 August, 2026

PANGGUNG SANDIWARA : FUGO & MIDNOGHT FUSIC SATUKAN DUA KUGIRAN SATU PENTAS

Kuala Lumpur, 26 Ogos — Dua kugiran kontemporari Malaysia yang mempunyai identiti tersendiri, FUGŌ dan Midnight Fusic, bakal berkongsi pentas buat kali pertama menerusi Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic yang akan berlangsung pada:

Tarikh: Sabtu, 17 Oktober 2026 Masa: 8:00 malam Tempat: Odeon KL, Kuala Lumpur Penganjur: Rockstation

Konsert double-bill yang dinanti-nantikan ini bakal menghimpunkan dua kumpulan yang dikenali dengan identiti muzik serta kelompok peminat masing-masing, untuk sebuah pengalaman persembahan langsung yang istimewa.

Konsert ini menandakan kali pertama FUGŌ dan Midnight Fusic membuat persembahan berskala konsert bersama, selepas kedua-dua kumpulan mula berbincang mengenai kemungkinan bekerjasama pada 2024 ketika terlibat dalam sebuah acara persembahan di Pantai Timur.

"Rockstation Event & Entertainment sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan selera generasi baharu pendengar muzik. Pada pandangan kami, kedua-dua kumpulan ini mempunyai identiti muzik yang kuat dan unik, mengakibatkan mereka mempunyai kelompok peminat yang sangat kukuh. Menggabungkan mereka di atas satu pentas sememangnya satu keputusan yang tepat. Para penonton harus berasa teruja dengan konsert double-bill ini."

— Mozylir Mokhtaruddin, Pengarah Urusan, Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd.

Bagi kedua-dua kugiran, konsert ini merupakan realisasi kepada idea yang telah mula dibincangkan lebih dua tahun lalu.

"Kami pernah berbincang mengenai kemungkinan untuk melakukan sesuatu bersama pada tahun 2024 ketika kami membuat persembahan di acara yang sama. Nama konsert ini juga diilhamkan dari tajuk lagu kedua kumpulan kami yang berkongsi perkataan yang sama, iaitu 'Sandiwara'. Dari segi muzik untuk konsert ini, kami akan mainkan lagu-lagu yang peminat kami gemari tetapi jarang dapat dimainkan di mana-mana persembahan akibat kekangan masa."

"Selain aspek muzik, khusus buat konsert ini kami berusaha keras untuk menghasilkan konsep visual yang sangat memberi impak untuk dipersembahkan kepada penonton — bermula daripada pra-pengumuman, pengumuman konsert, bahan promosi, sehinggalah ke konsert itu sendiri — bagi memastikan ia menjadi sebuah konsert double-bill yang akan dikenang untuk tempoh yang sangat lama. Kami sangat berterima kasih atas peluang yang diberikan oleh Rockstation untuk merealisasikan perkara ini."

Dengan kedua-dua kumpulan membawa karakter muzik, tenaga persembahan dan bahasa visual tersendiri, Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic bukan sekadar sebuah persembahan yang menghimpunkan dua nama dalam satu pentas. Konsert ini dirangka sebagai sebuah pengalaman langsung yang menyeluruh, meraikan identiti unik kedua-dua kumpulan sambil memberikan peluang kepada penonton untuk menyaksikan gandingan muzik yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Tentang FUGŌ

Ditubuhkan pada 2019 di Kuala Lumpur, FUGŌ terdiri daripada:

Hakim Kamal — Vokal utama, gitar, flugelhorn

Kayrol Ami — Bass, vokal latar

Fai — Kibod, synthesizer, sequence playback, vokal latar

Kumpulan ini mula menambat hati peminat muzik indie tempatan apabila lagu mereka Lagu Balad Kala Hujan berjaya meletakkan mereka di dalam jenama muzik "Nu-Vintage" mereka yang tersendiri.

Tentang Midnight Fusic

Bertapak dalam industri muzik tempatan sejak 2013 ketika masih remaja, Midnight Fusic terdiri daripada:

Arif Kamarudin — Vokal utama, gitar

Adrian Daniel — Vokal utama, gitar

Firdaus Azmi — Bass

Dengan usia kumpulan yang sudah melampaui 10 tahun, mereka telah melahirkan lagu-lagu hit seperti Caramel Cream, Time Machine, Under The Weather, Cahayaku Lovesick, Heart of May dan banyak lagi. Gaya muzik mereka yang pelbagai — dari bossa nova ke indie rock serta garage rock — diserlahkan lagi dengan melodi yang memukau dan permainan muzik yang mengasyikkan, membuatkan semakin ramai menjadi peminat baharu muzik mereka.

Tiket konsert “Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic” terdiri dari dua kategori iaitu kategori PENTAS (free standing) dengan harga RM89 untuk fasa jualan awal dan RM139 untuk fasa jualan umum, kategori SANDIWARA (premium seating) dengan harga RM129 ujtuk pasa jualan awal dan RM189 untuk fasa jualan umum. Terdapat juga tiket nilai tambahan EXCLUSIVE SESSION yang berharga RM150 dimana para peminat boleh menyertai sesi Meet & Greet serta beberapa pengalaman dan akses eksklusif sebelum konsert bermula.


Jualan tiket “Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic” akan bermula pada 27 Ogos 2026 jam 10 pagi di laman web panggungsandiwara.com.