Aina Abdul dipilih sebagai artis jemputan khas bagi konsert “The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun”, sekali gus menjadi antara tarikan utama yang dijangka membawa elemen kejutan dalam persembahan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Pihak penganjur menjelaskan pemilihan Aina dibuat bagi memberikan kelainan kepada penonton, termasuk kemungkinan beliau membawakan lagu Zapin Usik Mengusik dalam susunan baharu yang lebih segar serta belum pernah dipersembahkan secara langsung sebelum ini.
Dalam pada itu, penganjur turut menjelaskan keputusan tidak menawarkan penyertaan penyanyi asal lagu tersebut, Heyda Hafeey, adalah bagi mengelakkan pengulangan konsep persembahan yang pernah dilakukan sebelum ini.
Heyda sebelum ini pernah merakamkan semula lagu berkenaan bersama Lan Solo tanpa penglibatan kumpulan Senario, namun pernah tampil membuat persembahan secara busking bersama Senario ketika sesi promosi konsert.
“Pihak penganjur memilih untuk tidak mengulang konsep yang sama bagi memberi kelainan kepada penonton,” kata wakil penganjur.
Dari sudut produksi, elemen komedi spontan yang menjadi identiti Senario tetap dikekalkan, namun akan dikawal menggunakan sistem masa (timer) bagi memastikan konsert berakhir sekitar jam 11.30 malam.
“Kita tidak mahu isu kelewatan seperti konsert sebelum ini yang menyebabkan pihak venue menutup sistem audio dan lampu kerana melepasi waktu ditetapkan,” jelas wakil produksi.
Setakat ini, persiapan konsert dilaporkan berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar, dengan 85 peratus tiket telah terjual. Penganjur bagaimanapun masih mengharapkan pembelian saat akhir memandangkan trend penonton tempatan.
Azlee berkata sesi latihan awal tertumpu kepada pemanasan dan mencari keserasian ahli sebelum menunjukkan perkembangan lebih baik pada hari-hari berikutnya. Susunan lagu turut diolah dengan pendekatan berbeza tanpa menjejaskan identiti asal karya.
Konsert ini dijangka menampilkan sekitar 22 segmen persembahan termasuk medley, melibatkan lebih 30 buah lagu secara keseluruhan.
Menurut Azlee, konsert ini turut menyelitkan elemen emosi apabila akan mengenang pemergian anggota Senario, Allahyarham Hamdan, selain kejutan khas yang dijangka menjadi momen menyentuh hati penonton.
Ahli Senario yang terdiri daripada Azlee Jaafar, Wahid Mohd, Mazlan Ahmad, Ilya Buang, Saiful Apek dan Yassin Yahya turut menyatakan keterujaan untuk bergandingan dengan Aina Abdul, yang disifatkan sebagai antara nama besar industri muzik tanah air.
Secara keseluruhan, penganjur menegaskan fokus utama adalah menghasilkan sebuah persembahan terbaik bersempena 30 tahun perjalanan Senario dalam industri hiburan, tanpa terlalu memikirkan kesinambungan konsert pada masa hadapan.
Konsert “The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun” akan berlangsung pada 25 April 2026 di Idea Live Arena, anjuran Dreamscape Events dengan kerjasama Kapla Entertainment. Tiket ditawarkan dalam beberapa kategori termasuk Motor Kapchai (RM138) hingga Cepat Kaya (RM488).
Konsert ini dijangka menjadi detik bersejarah buat Senario dalam meraikan tiga dekad perjalanan seni mereka sebagai ikon komedi tanah air.





