Demi memberi kepuasan maksimum kepada peminat dan memastikan kualiti terbaik sebelum ‘membuka panggung’ dengan konsert sulung yang cukup bermakna sepanjang lebih tiga dekad dalam industri, Nourul mengumumkan penukaran tarikh konsert For You Nourul.
Konsert yang sebelum ini sepatutnya berlangsung pada 17 April 2026 kini dijadualkan semula ke 30 Mei 2026.
Justeru, Nourul akan bertemu dan berpesta bersama para peminatnya pada tarikh baharu yang disifatkan paling tepat oleh pihak penganjur, ND Entertainment.
Penyanyi yang popular dengan lagu Kerana Terluka itu tetap optimis bahawa konsert solo ini akan mendapat sambutan hangat dan menjadi momen terindah yang telah dirancang rapi sejak sekian lama.
Menurut wakil ND Entertainment: “Pihak penganjur dan Nourul telah berbincang dan bersetuju untuk menjadualkan semula tarikh For You Nourul kepada 30 Mei 2026.
Pertimbangan ini dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk menghormati dan memberi laluan kepada dua perayaan penting umat Islam iaitu Aidilfitri serta Aidiladha. Selain itu, kami percaya pemilihan tarikh 30 Mei 2026 sangat sesuai bagi memberi ruang kepada peminat menyusun semula bajet selepas musim perayaan. Kami mahu For You Nourul menjadi hari keraian khas untuk Nourul dan peminat dalam suasana yang lebih selesa dan meriah.”
Sementara itu, Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Binti Ab. Wahab, 49, berkata penukaran tarikh ini juga memberi kelebihan dari segi perancangan produksi dan barisan artis jemputan.
“Antara sebab tarikh For You Nourul ditukar kepada 30 Mei 2026 adalah kerana melalui proses perbincangan bagi mencapai kata sepakat untuk penyusunan semula jadual perjalanan konsert susulan penukaran penganjur lama kepada syarikat saya sendiri,” jelas Nourul.
Walaupun tarikh telah dikemas kini, peminat masih boleh mendapatkan tiket mengikut kategori harga yang telah ditetapkan:
RM198 – Sehati Sejiwa
RM298 – Cinta Azali
RM328 – Keliru
RM388 – Kerana Terluka
RM6,000 – VIP Box
Kesemua kategori tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang rasmi:
👉 https://www.ticket2u.com.my/
.jpeg)
