SOSIAL MEDIA

25 February, 2026

“EH AH! RAYA” FARAHDHIYA KEMERIAHAN AIDILFITRI UNTUK SEMUA

 

FARAHDIYA EH AH! RAYA

Penyanyi dan pelakon versatil, Farahdhiya kembali menyemarakkan sambutan Syawal tahun ini dengan pelancaran single raya terbaharu berjudul “Eh Ah! Raya”, sebuah lagu ceria dan rancak yang menjanjikan kemeriahan suasana lebaran bersama keluarga dan insan tersayang.

 

Menampilkan gabungan elemen tradisional dan moden, “Eh Ah! Raya” hadir dengan susunan muzik segar yang mengangkat bunyi-bunyian klasik seperti rebana disulami dengan sentuhan pop kontemporari yang dekat dengan citarasa pendengar masa kini. Lagu ini adalah hasil kolaborasi kreatif antara Farahdhiya dan komposer prolifik, Pown Hasril.

 

“Eh Ah! Raya” digubah oleh Farahdhiya bersama Pown Hasril manakala liriknya ditulis sepenuhnya oleh Farahdhiya sendiri. Lagu ini diterbit dan disusun oleh Pown Hasril dengan sentuhan istimewa rebana oleh Ajay Amai dan petikan gitar oleh Pown Hasril. 



Vokal latar disumbangkan oleh Glowrush dan Ajay Amai manakala kemeriahan suasana raya turut diserikan dengan suara kanak-kanak daripada Nawal Zayani dan Nawal Ariana. Proses adunan dan mastering pula disempurnakan oleh Jack Jafni bagi memastikan kualiti audio terbaik buat para pendengar.

 

Menurut Farahdhiya, “Eh Ah! Raya” lahir daripada rasa rindu terhadap kemeriahan Aidilfitri yang penuh warna-warni dan gelak tawa.

 

“Saya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk menghasilkan lagu raya sendiri yang benar-benar mencerminkan personaliti saya iaitu ceria, sedikit 'playful' dan penuh semangat kekeluargaan. Lagu ini adalah gambaran suasana ketika semua orang sibuk membuat persiapan, anak-anak berlari riang dan keluarga berkumpul tanpa mengira usia," ujar Farahdhiya.

 

Tambahnya lagi, beliau mahu lagu ini menjadi runut bunyi wajib setiap kali menjelang Syawal.

 

“Saya harap bila orang dengar “Eh Ah! Raya”, mereka terus rasa nak balik kampung, terbayang juadah atas meja dan rasa teruja untuk menyambut raya bersama insan tersayang. Raya bukan sekadar tentang pakaian atau kuih-muih, tetapi tentang kebersamaan dan kemaafan. Itu yang saya cuba sampaikan melalui lagu ini,” katanya.

 

Dengan tempo yang rancak serta korus yang mudah diingati, “Eh Ah! Raya” diyakini mampu menjadi antara lagu raya pilihan tahun ini, bukan sahaja untuk diputarkan di radio dan platform digital, malah sesuai mengiringi pelbagai kempen, acara dan kandungan media sosial sepanjang musim perayaan.

 


Single “Eh Ah! Raya” edaran Seventeen Eleven Muzik kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama pada 25 Februari 2026. Muzik video rasmi lagu tersebut yang menampilkan konsep penuh warna dan elemen tradisi raya juga kini boleh ditonton di saluran YouTube ‘Seventeen Eleven Music’ di pautan ini <https://youtu.be/jQ1oFrFbL34?si=Ml7mAATL0RAvgyFu> bagi melengkapkan lagi pengalaman visual dan audio buat peminat.

 

Dengan pelancaran single terbaharu ini, Farahdhiya sekali lagi membuktikan keupayaannya untuk terus relevan dan kreatif dalam industri muzik tempatan sambil menghadiahkan karya yang mampu menyatukan generasi dalam satu irama, Eh Ah! Raya!