KUALA LUMPUR, 21 JANUARI 2026: Kedatangan tahun baharu ini menandakan permulaan yang signifikan buat BLUNTSHEEP apabila kumpulan muzik berteraskan pop rock alternative ini bakal merilis single baharu berjudul PEDIH terbitan Sony Music Entertainment Malaysia.
PEDIH adalah sebuah karya nyanyian Sarah Suhairi, ciptaan Hadi Rumnan dengan lirik Iman Imran tetapi diolah semula BLUNTSHEEP. Versi remake ini hadir dengan sentuhan dan susunan muzik baharu yang lebih segar, matang serta menonjolkan identiti muzik BLUNTSHEEP sendiri.
BLUNTSHEEP dianggotai Attana Qawiuddin Rumnan atau Atta Rumnan, 18, selaku vokalis dan pemain gitar utama, Umar Naufal, 18 (pemain gitar elektrik dan vokal latar). Moses Dass, 19, (pemain dram), serta ahli tambahan Ariff Azmi (pemain bass).
Mereka dikenali sebagai kumpulan muzik yang berani bereksperimen dengan bunyi dan emosi, menjadikan setiap karya mereka sarat dengan nuansa jujur serta penceritaan yang dekat dengan pendengar.
Pendekatan muzik mereka yang unik menjadikan Pedih sebuah interpretasi baharu yang lebih mendalam dan relevan dengan landskap muzik semasa.
Kisah Di Sebalik Pedih
Namun, ada sebab lain yang membuatkan BLUNTSHEEP memilih untuk menghasilkan remake lagu PEDIH ini. Selain memperkasakan semula karya lagu tersebut melalui ekspresi seni mereka, PEDIH juga mempunyai hubungan emosi dan peribadi buat Atta Rumnan kerana lagu itu adalah ciptaan bapanya sendiri, Hadi Rumnan.
Hadi Rumnan bukanlah seorang penggiat seni dan komposer yang asing di dalam industri rakaman muzik tanah air. Beliau aktif menggubah lagu untuk segelintir penyanyi terkemuka tanah air.
“Bagi saya, sesebuah lagu tidak mempunyai batas usia atau tempoh tertentu. Karya lama boleh dihidupkan semula melalui interpretasi dan jiwa yang berbeza mengikut zaman.
“Artis-artis hebat antarabangsa seperti Elvis Presley, Nirvana dan Guns N’ Roses juga pernah remake lagu lama.
“Pada waktu yang sama, saya juga dapat meneruskan legasi ayah saya yang selama ini bergiat aktif sebagai pencipta lagu,” katanya membuka cerita.
Atta juga mengakui selain terus merakamkan karya lagu baharu, dia dan BLUNTSHEEP akan terus melakukan remake lagu-lagu ciptaan ayahnya yang pernah dinyanyikan barisan artis lain seperti Encik Mimpi, Ezad Lazim, Santesh dan Syafiq Farhain.
“Bersama BLUNTSHEEP, saya akan terus bereksperimen dalam muzik rock. Namun, untuk projek solo, saya ingin terus bereksperimen, berevolusi dan mencari identiti terbaik saya sehingga mencapai kejayaan yang diimpikan.
“Pada masa yang sama, saya juga sedang dalam perbincangan untuk menghasilkan sebuah single solo baharu bersama penerbit dari Indonesia yang kini popular dengan fenomena hipdut,” luahnya lagi.
Artis Pembuka Tirai Konsert Malam Simfoni Luka
Selain pelancaran single ini, BLUNTSHEEP turut diumumkan sebagai artis jemputan bagi konsert Malam Simfoni Luka yang bakal berlangsung pada 24 Januari 2026 di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert ini akan menampilkan barisan artis tanah air dan serantau seperti Midnight Fusic, Insomniacks dan For Revenge, menjanjikan sebuah malam persembahan penuh emosi dan pengalaman muzik yang intim buat para peminat.
Berkongsi tentang penglibatan mereka dalam konsert tersebut, Atta mengakui, ia satu pengalaman yang sukar dibayangkan buat mereka.
“Bayangkan, kami baru sahaja dalam proses melancarkan terbaharu, PEDIH, tiba-tiba menyusul pula undangan sebagai band pembuka tirai untuk Konsert Malam Simfoni Luka.
“Sejujurnya, semua ini berlaku dengan begitu pantas dan kami sendiri masih cuba menghadam segalanya. Peluang ini hadir hasil kepercayaan dan sokongan rakan ayah saya, pemilik Icon Entertainment, yang membuka laluan buat kami.
Apa pun, kami akan berusaha memberikan yang terbaik di atas pentas, dengan harapan BLUNTSHEEP mampu meninggalkan kesan yang baik dan tidak mengecewakan semua pihak biarpun hanya membuat persembahan dengan tiga lagu,” jelasnya lagi.
