SOSIAL MEDIA

24 January, 2026

KRITIKAN BERMADAH KMY KMO & LUCA SICKTA DALAM “KERTAS WANGI”

KERTAS WANGI KMY KMO LUCA SICKTA

KUALA LUMPUR, 24 JANUARI 2026 – Terus konsisten memartabatkan adat dan warisan budaya dalam karya mereka, duo rap berpengaruh negara, Kmy Kmo dan Luca Sickta, kembali menggugah pemikiran peminat menerusi single terbaharu berjudul, Kertas Wangi.

Bersesuaian dengan apa yang diperjuangkan mereka, majlis Pelancaran Single dan Sidang Media Kertas Wangi yang berlangsung pada hari ini telah diadakan bangunan warisan ikonik, Pasar Seni (Central Market) yang selama ini menjadi simbol kepada mercu tanda seni dan budaya di Malaysia. 

Majlis ini juga turut menyaksikan penyerahan plak single Kertas Wangi oleh Pengarah Urusan Sony Music Entertaiment Malaysia, Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong kepada Kmy Kmo dan Luca Sikcta. 


Lebih menarik, majlis ini juga diadakan bersamaan dengan Hari Kantin by Pasar Seni anjuran Pesta Kita yang diadakan selama tiga hari berturut-turut dari 23 Januari hingga 25 Januari 2026. 

Tentang Kertas Wangi Mengangkat metafora wang sebagai simbol dunia material, lagu ini menjadi refleksi jujur tentang bagaimana manusia sering terperangkap dengan tekanan hidup, gaya luaran dan godaan dunia yang bersifat sementara. Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, lagu ini muncul sebagai karya rap moden yang sarat dengan makna, namun tetap mudah dihayati melalui susunan muzik kontemporari yang digarap dengan teliti. 

Inspirasi Di Sebalik Kertas Wangi Lagu ini membawa mesej yang jelas — tentang dunia yang sering mengaburi mata manusia dengan janji manis material. Menurut Kmy Kmo, metafora Kertas Wangi melambangkan bagaimana nilai wang boleh menutup nilai sebenar manusia. 

“Inspirasi lagu ini lahir daripada pemerhatian saya terhadap kehidupan kita seharian. Kita semua diuji dengan pelbagai cabaran dan godaan dunia. Kadang-kadang kita sendiri tidak sedar bahawa berlumba gaya, tekanan hidup dan mengejar perkara material boleh mengaburi hati dan nilai budi. Kertas Wangi adalah cerminan diri bagi saya dan sesiapa yang mendengarnya.” 

Luca Sickta menambah, “Lagu ini bukan sekadar pengalaman peribadi. Ia lebih kepada refleksi umum tentang perjalanan hidup yang penuh ujian. Mesej paling penting adalah — jangan biarkan dunia material menguasai hati dan jiwa kita. 

Itu mesej yang saya mahu pendengar bawa pulang.” Dua Jiwa Seni, Satu Hala Tuju Kertas Wangi menjadi bukti kematangan dan keserasian kreatif dua seniman muda ini. Proses penciptaan mereka penuh hormat, keterbukaan dan saling melengkapi antara satu sama lain. 

Kmy Kmo berkongsi, “Cabaran terbesar adalah menyatukan dua ‘kepala’ kreatif yang penuh idea. Kadang-kadang pandangan kami berbeza, tetapi perbezaan itu membuat karya ini lebih kaya. 

Saya fokus pada lirik dan makna, manakala Luca memberi nyawa melalui muzik dan susunan. Gabungan ini menghasilkan sesuatu yang lebih besar daripada apa yang saya bayangkan.” Jelas Luca Sickta pula, “Kerjasama dengan Kmy sangat natural. Dia membawa kedalaman kata, saya membawa bentuk pada bunyi dan susunan. 

Setiap lapisan muzik dan lirik saling melengkapi, dan itu yang membuatkan Kertas Wangi terasa sangat organik dan kedengaran jujur.

” Paduan Rap Moden & Warisan Pantai Timur Kertas Wangi mengetengahkan rap moden sebagai medium penyampaian mesej sosial dan refleksi kerohanian, diperkaya dengan elemen tradisi dari Pantai Timur seperti Dikir Barat yang digarap secara kreatif dalam ritma, susunan vokal latar dan harmoni. 

Luca Sickta berkata, “Saya mahu lagu ini kedengaran segar, tetapi masih ada jiwa Melayu. Beat tegas dipadankan dengan harmoni moden dan sedikit rasa Dikir Barat, semuanya dirancang supaya pendengar dapat merasai kedalaman emosi. Manakala, rap memberi ruang supaya mesej berat tentang tekanan hidup, material dan nilai diri sampai dengan jelas dan jujur.” 

Kmy Kmo menambah, “Rap adalah medium paling jujur untuk menyampaikan mesej sosial. Ia dekat dengan anak muda dan terus terang, tetapi boleh juga puitis. Dengan cara ini, mesej spiritual dan nilai budi tetap relevan walaupun dalam muzik kontemporari.” Harapan & Langkah Seterusnya Bagi duo ini, Kertas Wangi bukan hanya sebuah lagu, tetapi peringatan untuk kembali menilai diri, memahami nilai sejati dan tidak hanya terperangkap dalam dunia material semata. 


Kmy Kmo menutup dengan harapan, “Saya berharap lagu ini membuka ruang untuk pendengar berhenti sejenak, tarik nafas dan fikir semula tentang apa yang benar-benar penting dalam hidup. Walaupun hanya seorang sahaja yang tersentuh dan terinspirasi untuk menilai dirinya kembali, itu sudah cukup besar bagi kami.” Kongsi Luca, “Selepas ini kami mempunyai beberapa projek baharu, selain single kami juga dalam perancangan menghasilkan album penuh. Kertas Wangi hanyalah permulaan bagi fasa seterusnya dalam perjalanan muzik kami.”