SOSIAL MEDIA

14 February, 2024

DUA GENRE BERBEZA THRASH METAL CROMOK DAN OI A.C.A.B DISATUKAN DALAM ‘CLASH OF THE TITANS’


2024 bakal menyaksikan dua legenda muzik underground bertembung di Kuala Lumpur! Clash of the Titans akan mengambil tempat di Zepp Kuala Lumpur mempertaruhkan Godfathers of Oi!, A.C.A.B dengan game changer Thrash Metal, Cromok menyatukan dua aliran muzik berbeza dalam satu show yang pasti diingati semua penggemar irama underground tempatan.

Bakal berdurasi selama dua jam setengah dan membawakan sebanyak lebih kurang 22 buah lagu termasuk gabungan keduanya pasti akan memberikan satu impak yang hebat bagi peminat mereka.


Clash of the Titans anjuran A.C.A.B Productions ini bakal berlangsung 9 Mac 2024, Sabtu di Zepp Kuala Lumpur mulai jam 8 malam. Konsert yang meraikan kedua-dua ikon muzik underground tempatan ini akan menjadi sejarah penting scene muzik tempatan kerana A.C.A.B dan Cromok masing-masing memainkan seleksi lagu-lagu terbaik daripada diskografi mereka sepanjang bergerak aktif.


Max Mohammad, vokalis/gitaris A.C.A.B dan juga pencetus idea Clash of the Titans (bersama Karl Cromok) berkata, “Masa showcase Bangun, aku nampak bukan setakat skinheads dan punks hadir, tapi juga peminat muzik lain dan surprisingly, metalheads ada sekali! Jadi kenapa tak gabungkan sekali dua aliran ni dalam show akan datang, kan? 

Aku ada terjumpa Karl Cromok di Timeless Studio kemudian kongsikan idea ni dekat dia dan lahirlah idea Clash of the Titans. Tapi ni jugak adalah satu simbolik yang walaupun muzik berbeza, kita tetap boleh enjoy bersama. Aku harap konsert ni kita sama-sama pegi dan headbang di Zepp sepuasnya!”

Karl, gitaris Cromok turut berkongsi keterujaan beliau, “Pertama kali Cromok akan collab dengan different music genre Thrash Metal + Street Punk. sesuatu yang menarik yang tak pernah lagi diadakan. 

Cromok akan main lagu A.C.A.B. Semestinya A.C.A.B akan main lagu Cromok. Nak tau macam mana agaknya bunyi bila band-band ni trade lagu? Kena datang tengok sendiri! 

Satu lagi, Cromok akan main lagu yang tak pernah lagi dimainkan secara LIVE. So kalau nak tau lagu apa - ha datanglah ke Clash of the Titans!”


Tiket ROCK ZONE RM230, FREE STANDING RM180 & NORMAL SEATS RM250 dan merchandise rasmi Clash of the Titans seperti t-shirt, lanyard & card dan guitar pick boleh dibeli di www.acabproductions.com. Tiket PREMIUM SEATS dan VIP BOX telah pun habis.

A.C.A.B

Sejarah unit Oi!/Street Rock Kuala Lumpur bertaraf legenda ini bermula pada 1994 oleh Max Mohammad dan Edy J. Herwan. Bermula daripada demo ‘95 yang keluar melalui Bovver Brigade Records pada 1995, A.C.A.B tidak menoleh ke belakang lagi dengan keluaran-keluaran seperti Eastern Oi! dan Skinhead 4 Life yang mengubah landskap muzik Oi!/Punk tempatan selain mempengaruhi selera muzik ribuan anak-anak muda.


Muzik A.C.A.B bermula dengan Oi!/Street Rock/Ska kemudian menyelitkan pengaruh Heavy Metal menjelang era Orang Timur dan Bangun serta menerima pengaruh Indie Rock pada album terakhir mereka (dikenali sebagai The A.C.A.B).

Barisan A.C.A.B terdiri daripada Vokal/Gitar: Max Mohammad | Gitar: Edy J. Herwan | Dram: Zeezul Fitri | Bass (jemputan): Andy

Cromok

Antara kumpulan Thrash Metal tempatan terawal menempa nama di luar negara, Cromok ditubuhkan oleh 3 kawan universiti; Sam (bass/vokal), Karl (gitar), Din (gitar) dan Miji (dram) sewaktu di Australia sekitar pertengahan 1980-an.


Cromok dikenali melalui sound Thrash Metal mereka yang garang tetapi bermelodik diadun dengan elemen tradisional Melayu yang mereka panggil Thrashditional. Melalui album-album mereka seperti Image of Purity, Forever in Time, Yours Truly dan banyak lagi, Cromok sepanjang hampir 4 dekad telah membentuk stail Thrash Metal yang unik dalam mempengaruhi band-band dari dalam dan luar negara dan terus menjadi ikon kepada anak-anak Metal tempatan.

Barisan anggota Cromok adalah Vokal/Bass: Sam | Gitar: Karl | Gitar: Shah | Dram: Apis.