Ulangtahun 30 tahun 'Forever In Time' CROMOK yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14hb Oktober 2023 lalu bagaikan membawa kembali kenangan lama. Rata rata kehadiran memenuhi ruangan dalaman dipenuhi dengan otai otai lama yangn masih 'keras' dihati.
Lagu “Memories” di pilih sebagai pembuka tirai panggung tepat jam 8.30 malam, rejaman keasyikan petikan gitar Karl dibelasut deraman geram suara Sam, membelai buai penonton yang rata – ratanya peminat tegar Cromok yakni digelar “Cromers” yang telah memenuhi dewan panggung sejak awal lagi.
Ungkapan yang mungkin masih miskin maksud, dhaif dalam menjudul pengalaman menjadi saksi aksi malam persembahan yang sarat dengan energi, namun, itulah realiti luarbiasa yang ditampilkan oleh Cromok dalam meraikan ulangtahun ke 30 album “Forever In Time” yang diangkat sebagai “Masterpiece” mereka.
Kesaktian malam persembahan diteruskan dengan lagu – lagu dari album – album mereka seperti “Castaway”, “Colour of Truth”, “Stranger”, “Somewhere Anywhere”, “Unicorn” dan “Suffer”, dan seterusnya penonton disajikan dengan tayangan video yang menceritakan perjalanan 30 tahun album teragung tersebut.
Nuansa sistem bunyi yang seakan sang pawana pawaka, berhembus deras ke muka setiap jiwa yang hadir, dimandikan pula oleh olahan sistem lampu yang bergemerlapan seakan seluruh dewan tersebut berada dalam setiap lagu yang dipersembahkan dari album – album mereka seperti “Image of Purity”, “Forever In Time”, “Yours Truly”, “Mean, Meaner, Meanest” dan banyak lagi.
Hatta, tidak hairanlah konsert anjuran Digent Media ini mendapat sambutan di luar jangkaan, tiket – tiket habis terjual dan mencapai tahap “Sold Out”. Kejayaan pihak penganjur mengumpulkan lebih dari 2300 peminat tegar Cromok dalam satu acara disamping memastikan segala – galanya berjalan dengan lancar haruslah diberi pujian dan semoga kekal cemerlang untuk acara – acara yang akan datang.
Bukan mudah untuk kekal sebagai sebuah kumpulan dalam tempoh lebih 30 tahun dan untuk terus relevan perlu ada persefahaman yang kukuh di antara setiap anggota Cromok. Itulah ringkasan yang dapat diceritakan pada tayangan video yang dipaparkan kepada penonton setiap kali selesai setiap set persembahan mereka.
Set seterusnya menghidangkan lagu – lagu seperti “Little One”, “Punishment Hour”, “IC”, “The Other”, “Seedling”, “Final Ticking” dan “Obsessed”. Pemilihan dan susunan lagu juga dilihat memainkan peranan dalam memantapkan lagi penjelajahan kisah keraian ke 30 tahun album yang merangkul anugerah platinum berganda ini.
Rakaman video “Wall of Fame” yang belum pernah ditayangkan dimana media menyajikan detik – detik penting Cromok dan beberapa pengalaman pahit manis mereka mengimbau nostalgia para peminatnya pada era kebangkitan kumpulan yang bergenre “Thrash Metal” atau lebih tepat lagi “Thrashitional” ini.
Di hujung persembahan mereka, satu berita penting dan sedih buat peminat Cromok diumumkan, dimana Miji selaku pemain drum terpaksa mengundurkan diri dari Cromok. Pengunduran diri ini dibuat atas sebab faktor kesihatan dan spiritual, Miji juga sangat berharap para Cromers memahami keputusan beliau itu.
Sebagai tanda ucapan selamat tinggal buat Miji, Cromok telah menyampaikan lagu “Farewell” dengan penuh emosi sebelum melabuhkan tirai konsert dengan lagu “Journey”.
Cromok- Forever In Time – 30th Anniversary, suatu persembahan penuh nostalgia yang akan dikenang oleh setiap mata jiwa yang hadir pada malam itu. Mata – mata yang menjadi saksi bahawa Cromok akan terus ada, terus teguh dan terus relevan.









