Penyanyi, penerbit dan komposer lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun muncul dengan sentuhan terbaharu, single berjudul “Inni Tawakkaltu”. Single tersebut bakal keluar secara serentak di semua platform penstriman termasuk video muzik.
Untuk single Inni Tawakkaltu, Hafiz menggunakan khidmat penulis lirik lagu-lagu nasyid terkenal iaitu ITO Lara. Sebelum ini ITO Lara dikenali dengan lirik-lirik nasyid yang puitis seperti Kasih Kekasih dan Nur Kasih nyanyian Inteam, Tangis Sebatang Tamar nyanyian Dakmie, Ainul Mardhiah nyanyian UNIC dan ratusan lirik malar segar ciptaan beliau.
“Saya mengenali ITO Lara bukan hanya sebagai penulis lirik, malahan kami seperti keluarga rapat kerana saya membesar dengan lirik-lirik nasyid ciptaan beliau. Semasa saya bersama kumpulan UNIC satu masa dulu, ITO Lara banyak menyumbangkan karya untuk UNIC. Lebih 20 tahun kami sudah kenal dan bekerjasama. Kali ini, saya mempelawa ITO Lara untuk menulis satu lagi karya yang sesuai untuk saya,” ujar Hafiz.
Di dalam penghasilan Inni Tawakkaltu, Hafiz juga telah menggunakan khidmat para pemuzik tempatan dan antarabangsa di dalam garapan gubahan muzik termasuk iringan orkestra dari Istanbul, Turkiye. Proses adunan dan mastering single ini juga mendapat sentuhan jurutera muzik antarabangsa iaitu Greg Henderson dan Don Bartley dari Australia.
Menurut Hafiz, “Inilah kepuasan saya apabila berkarya. Saya berbelanja untuk dapatkan hasil yang terbaik. Bukan hanya menggunakan para pemuzik professional dari luar negara, saya juga tetap yakin dan percaya dengan bakat para pemuzik tempatan.”
Di samping menggunakan khidmat para pemuzik dan jurutera terbaik dari dalam dan luar negara, Hafiz juga bekerjasama bersama ‘kawan lama’ beliau untuk penghasilan video muzik Inni Tawakkaltu.
“Setelah siap proses mastering lagu ini, saya kembali menghubungi kawan saya, Rifaiee untuk menjadi pengarah kepada video muzik Inni Tawakkaltu. Walaupun terdapat faktor kekangan masa, pengambaran video muzik ini telah berjalan lancar. Sebenarnya 12 tahun lalu, Rifaiee dan krew dari RIO Production jugalah yang merakamkan video zikir dari album Zikir Terapi Diri saya. Semenjak itu, kami telah bekerjasama untuk banyak produksi, baik di Malaysia mahupun di luar negara. Kini saya bangga dengan pencapaian Rifaiee dan RIO Production kerana sering menjadi pilihan syarikat rakaman untuk merakamkan video muzik artis-artis tempatan seperti Haqiem Rusli, Wany Hasrita, IamNeeta dan ramai lagi” komen Hafiz lagi.
Menurut Hafiz, Inni Tawakkaltu dihasilkan bukan hanya untuk dirinya, tetapi untuk semua. “Saya pernah jatuh, merangkak dan bangun kembali. Saya rasa, semua orang pernah alami situasi ini. Kesedihan dan kesusahan yang kita alami tidak selalunya difahami oleh semua orang. Jadi, saya harap Inni Tawakkaltu boleh menjadi penguat semangat untuk semua, supaya terus berusaha dan akhirnya berserah dan tawakkal kepada Allah.”


