Pelantun lagu Bertaut, Nadin Amizah melahirkan perasaan terujanya untuk beraksi di hadapan para peminatnya menerusi Konsert Selamat Ulang Tahun dan Kisah Lainnya oleh Nadin Amizah akan berlangsung pada 21 Januari 2023 di Zepp Kuala Lumpur.
“Saya sudah tidak sabar untuk mengadakan persembahan pada esok hari apatah lagi ini merupakan kali pertama saya berjumpa dengan semua peminat”, ujarnya “Selama ini saya hanya menyapa para peminat menerusi laman sosial Instagram, dan sudah pasti saya akan memberikan persembahan yang terbaik buat semua” “Saya akan bawakan sebahagian dari konsep ‘Selamat Ulang Tahun’ tapi istimewanya untuk teman-teman di Malaysia, saya juga akan mempersembahkan lagu-lagu saya yang lain, pada masa sama saya harap konsert pertama saya di Malaysia akan menjadikan satu memori indah buat semua yang hadir pada malam esok”, tambahnya.
Nadin Amizah, 23 ketika ditemui pada sidang media yang di adakan di Perdana Kuala Lumpur City Centre hari ini turut memberikan bayangan bahawa beliau akan tampil dengan pelbagai tema merujuk kepada lagu-lagu yang akan dia sampaikan.
![]() |
| foto : Azuddin Ahmad Zin |
Mendengar alunan muzik dan bait-bait lirik yang dinyanyikan oleh Nadin Amizah di corong radio mahupun platform penstriman sudah cukup untuk buat anda jatuh cinta apatah lagi sewaktu konsert, pastinya bakal meninggalkan memori buat khalayak.
Apa lagi jika dapat bertentang mata dan mendengar penyanyi yang popular dengan lagu Sorai menyanyikan lagu-lagu hitnya secara langsung, ia ibarat mimpi menjadi realiti. “Meskipun agak gementar kerana ini kali pertama saya akan tampil dengan 18 buah lagu, namun demi peminat pastinya saya akan memberikan yang terbaik. Saya juga telah melakukan senaman dan latihan agar saya tidak capek”, tambahnya.
“Seramai 32 orang telah saya bawa terus dari Indonesia demi memastikan konsert ini sukses. Mereka terdiri daripada musisi, krew dan juga penari yang akan menemani saya sepanjang konsert berlangsung”, ujarnya. Nadin Amizah akan menyampaikan 18 buah lagu antaranya ialah Menangis di Jalan Pulang, Hormat Kepada Angin, Paman Tua dan Sorak Sorai.
Mengambil sempena untaian hitnya, tiket berharga RM190 dijual di bawah judul Rumpang dan
Taruh, RM230 (Bertaut), Sorai (RM250) dan RM600 untuk Star yang akan memberi keistimewaan kepada penggemar beramah mesra dengan Nadin. Peminat boleh mendapatkan tiket di https://tapautix.tapau.asia/selamatulangtahundankisahlainnya/



