SOSIAL MEDIA

20 January, 2023

'BUKIT BINTANG' BOB SENTUHAN DARI BUSKERS KINI MENJADI ARTIS RAKAMAN


KUALA LUMPUR, Januari 18, 2023 - Bob Sentuhan mungkin baru dalam dunia rakaman tetapi merupakan satu nama yang tidak asing di kalangan pemuzik dan peminat muzik jalanan. Setelah hampir 20 tahun menghiburkan orangramai di sekitar bandaraya Kuala Lumpur terutamanya Bukit Bintang dan SOGO, Bob akhirnya muncul dengan single berjudul “Bukit Bintang”.

“Bukit Bintang” adalah lagu yang sangat istimewa untuk saya kerana Bukit Bintang pernah dan akan terus menjadi pentas untuk saya beraksi. Matlamat saya adalah menjadi seorang penghibur yang menghiburkan. Saya bersyukur dipilih oleh komposer Maman Teacher’s Pet untuk merakamkan lagu Bukit Bintang.

Bergelar artis rakaman tidak akan mengubah matlamat saya sebagai artis jalanan kerana nadi perjuangan seni saya adalah untuk menghiburkan, tanpa mengira bangsa, warna kulit, agama atau kedudukan,” kata Bob pada sidang media memperkenalkan “Bukit Bintang”.


Menurut Syahrul Nizar Yahya selaku Pengarah Urusan Meta Music Xtreme berkata " pemilihan Bob Sentuhan untuk diletakkan di bawah naugan syarikat adalah kerana kelebihan dan kekuatan dari segala segi baik nyanyian dan musik. Kehebatan dan keuinikan Bob ketika menjadi pemusik jalanan dan keberkesanan berinteraksi dengan segenap lapisan masyarakat ketika membuat persembahan secara live. Bukan hanya masyarakat Malaysia malah pengunjung dari luar negara juga terpegun dengan persembahan beliau." 

Single ini mengisahkan tentang cinta yang berputik dan mekar di Bukit Bintang, sebuah kota yang berwarna-warni yang penuh dengan kisah kehidupan.


Bob Sentuhan yang berasal dari Pulau Pinang memulakan kerjayanya sebagai seorang penghibur jalanan, dan telah menjelajah negara dan mendendangkan lagu untuk pengunjung kaki lima. Bob turut memperjuangkan bakat dan nasib pemuzik jalanan agar dihormati oleh orangramai.

Single sulung Bob turut menampilkan Maman Teacher's Pet yang juga penggubah dan penerbit lagu berkenaan. Maman yang telah berdiam diri selama 2 dekad kembali ke dunia muzik untuk bekerja dengan Bob, kerana dia percaya dengan bakat dan keazaman Bob untuk menjadi penghibur yang berjaya.


“Bukit Bintang adalah lagu yang dibuat khas untuk Bob kerana di sinilah dia mula menyanyi dan di sinilah dia mencurahkan semua semangat dan dedikasinya untuk menghiburkan orang ramai dengan nyanyiannya. Bob mempunyai bakat yang besar dan saya yakin, dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang baik, dia mampu pergi jauh. Saya juga kagum kerana Bob bukan sahaja popular di Bukit Bintang malah terkenal di Singapura, Brunei dan Indonesia juga,” kata Maman.

Menurut Maman, "Bukit Bintang" juga merupakan lagu yang dihasilkan khas sebagai penghormatan kepada mereka yang membangunkan Bukit Bintang sehingga seperti sekarang.

“Bukit Bintang suatu masa dahulu adalah salah satu sisi gelap Kuala Lumpur. Tetapi hari ini, Bukit Bintang adalah sebuah kawasan yang sibuk dengan pelbagai kehidupan, perniagaan dan peluang. Orang yang paling sedih berjalan di Bukit Bintang, tidak akan kekal bersedih kerana suasana di Bukit Bintang mampu merubah kesedihan dan memberikan kegembiraan. Pelancong dari pelbagai negara dan rakyat tempatan berkumpul di Bukit Bintang untuk bergembira dan bersuka ria,” tambah Maman mengenai sebab mengapa Bukit Bintang ditulis.