BSX BOX dengan kerjasama Kongres Muzika Malaysia merujuk kepada satu usaha penganjuran dan pelaksanaan Festival Konsert OAG 30 Tahun Generasiku yang kini membawa satu fenomena baru kepada dunia hiburan tanah air. Dengan penglibatan daripada pelbagai jenis penggiat seni tanah air sememangnya akan menggalakkan lagi sentuhan pembikinan festival ini. Pelaksanaan festival ini bakal menjadi satu medium yang mempunyai kekuatan tersendiri untuk bertindak sebagai pemangkin dalam memartabat, mengangkat dan menghargai industri seni muzik kreatif Malaysia. Selain itu, hal ini juga satu usaha untuk menyambut gagasan baik daripada pihak kerajaan bagi mewujudkan persekitaran budaya yang mengangkat kualiti persembahan dalam kalangan penggiat seni. Kewujudan festival ini juga bakal membina generasi belia yang bersatu padu dan bergerak maju dalam bidang sosial dan ekonomi serta membina masyarakat yang sihat, cergas dan berbudaya positif ke arah kelestarian pembangunan negara.
OAG ialah sebuah band muzik yang sudah menapak dalam industri ini selama 30 tahun, maka dengan itu kemasyhuran kumpulan ini sudah tidak perlu untuk diperkatakan lagi. Generasi bertukar generasi tahun bersilih ganti tetap tidak melunturkan minat dalam kalangan peminat tegar terhadap kumpulan tersebut malah konsep yang dibawakan kepada audien masih relevan dan boleh diterimapakai setiap peringkat umur. Hal ini kerana, album-album daripada pihak OAG sememangnya sering diputarkan dalam media-media massa dan juga platform yang lain atas permintaan daripada peminat. Transformasi yang berjaya dilakukan OAG sememangnya jadi ikutan dan juga contoh kearah pembangunan industri Indie di Malaysia. Ramai telah merasai sendiri pengalaman melalui penampilan secara langsung maupun secara tidak langsung. Hal ini telah mewujudkan satu gelombang peminat yang sangat luar biasa sehinggakan ada kalangan belia mengidolakan kumpulan ini sebagai satu kumpulan yang mempamerkan genre yang agak luar biasa dan nukilan lirik yang sangat terkesan dalam jiwa masyarakat Malaysia.
Perkembangan dunia muzik di malaysia tidak asing lagi daripada zaman kegemilangan P. Ramlee yang meletakkan seni tersebut sebagai satu aspek yang boleh mencerminkan budaya sesebuah masyarakat. Begitu juga dengan OAG yang mana telah berusaha untuk memberi seribu satu kenangan kepada para peminatnya bermula dari zaman awal penubuhannya sehinggalah generasi sekarang. Sehingga kini, pelbagai mekanisma dijalankan bagi meningkatkan kualiti produksi seni muzik di persada yang lebih tinggi dan melebarluas sekitar dunia. Hal ini sememangnya adalah satu sudut yang perlu diketengahkan bagi meneruskan kelangsungan penerimaan masyarakat terhadap seni-seni yang berkenaan. Kemajuan yang dibawa menerusi OAG sewaktu zaman kegemilangannya dahulu, banyak mengubah penerimaan dan spektrum kalangan masyarakat terhadap genre indie di Malaysia. OAG juga antara golongan awal pencetus kepada genre Indie di Malaysia ini. OAG banyak merangkul pelbagai anugerah yang membawa mereka terkenal bahkan bukan sahaja dalam Malaysia tetapi luar negara juga kenal akan OAG ini.
Sehubungan dengan itu, Ahad, 25 Disember 2022 merupakan tarikh keramat bagi sambutan Hari Ulang Tahun penubuhan OAG yang ke-30. Festival Konsert OAG 30 Tahun Generasiku bakal menjadi satu
fenomena yang melakar sejarah akan diadakan di Stadium Malawati Shah Alam. Festival akan bermula seawal 9 pagi sehinggalah 12 tengah malam. Festival ini bakal dibanjiri sejumlah masyarakat yang dianggarkan lebih daripada 6000 pengunjung yang akan memeriahkan lagi hari berkenaan. Pelbagai program bakal dijalankan di sekitar kawasan stadium termasuklah gerai-gerai jualan, pameran-pameran, pertandingan dan juga persembahan daripada beberapa kumpulan yang lain. Masyarakat Malaysia yang turut sama bakal ‘mengindie’ pada hari berkenaan bakal disajikan dengan pengalaman yang sangat menarik antaranya kawasan khemah untuk rehat, OAG 30 Tahun Gallery, Pemeran seni dari pelukis veteran tempatan Soffi Jikan, Pameran Vespa, persembahan artis undangan, Flea Market, demonstrasi papan selaju daripada Pak Din Musa dan juga Pertandingan Komuniti Papan Selaju akan berlangsung sejurus selesai demonstrasi tersebut. Persembahan Komuniti Papan Luncur juga bakal dijalankan dalam festival ini. Indie lokal F&B booths dan Jualan Barangan Seni bakal menjadi tarikan dalam program ini. Tidak lupa juga Official Collab Merchandise Booths. Kesemua sumber tarikan ini akan menjadikan festival ini tersangatlah unik dan luar biasa.
Tambahan pula, aturcara program bakal bermula seawal 9 pagi dengan persediaan booths-booths dan juga persiapan kawasan khemah dan rehat. Pada pukul 10 pagi akan diadakan acara Pertandingan Komuniti Papan Selaju dan Papan Luncur. Jam 11 pagi bakal menampilkan persembahan kumpulan pertama diikuti dengan Pembukaan Majlis Pelancaran OAG 30 Tahun Gallery. Dalam masa yang sama, juga berlangsung Pameran Seni daripada Artis Indie dan juga Artis Veteran Soffi Jikan Art Gallery. Seterusnya pada pukul 2 petang akan kelihatan Pameran Motosikal Klasik seperti Vespa dan sebagainya. Persembahan kumpulan bakal diteruskan pada jam 3 petang sehinggalah jam 7 petang. Penutup kepada festival ini bakal disempurnakan dengan satu acara utama iaitu Konsert OAG 30 Tahun Generasiku yang bakal dibarisi oleh Radhi, Qi Razali, Ammal Bellamy, dan Yin serta beberapa line up OAG yang lama. Dalam masa yang sama, konsert ini juga bakal menjadi sebagai pelengkap kepada track lagu baharu bagi sebuah album berjudul Ori yang bakal dilancarkan di konsert berkenaan. Sebelum konsert melabuhkan tirai, satu slot khas yang bakal menjadi tumpuan ialah persembahan daripada pemenang contest yang masih lagi berlangsung di pelbagai platform media sosial. Usaha penilaian penganjuran contest ini berdasarkan kepada barisan juri daripada OAG sendiri melalui beberapa aspek, termasuklah kualiti permainan dan persembahan dalam menggayakan cover lagu-lagu OAG dengan hanya menggunakan gitar sahaja. Penggunaan gitar ialah satu-satunya syarat dalam pengendalian instrument yang diwajibkan selain menggunakan lagu OAG untuk menyertai contest ini. Penyertaan amat menggalakkan daripada kalangan peminat. Justeru itu, sesuatu perkara hebat yang ditunggu-tunggu dan akan menjadi rebutan semua ialah hadiah sebuah gitar elektrik, ditaja khas daripada The Guitar Store. Contest ini sememangnya ialah satu galakan dan peluang kepada peminat setia OAG yang ingin merasai sendiri pengalaman berjumpa dengan idola mereka dalam sesi ‘meet and greet’ nanti.
Percayalah, kejutan demi kejutan bakal dirasai sendiri oleh pengunjung yang datang ke festival kerana kelainan yang berjaya ditonjolkan pihak penganjur ini akan memberi satu pengalaman yang sangat berharga dalam setiap diri masing-masing. Promosi demi promosi dilancarkan bagi memberi peluang kepada setiap peringkat umur untuk mengenali dan menghayati perjalanan lagenda kumpulan muzik yang bernama OAG ini. Penganjur amat optimis bagi menyediakan peluang dan ruang kepada golongan-golongan yang memerlukan dengan memperkenalkan polisi sepanjang festival ini berlangsung. Penyedian tempat yang lebih selamat dan selesa ini sebahagian daripada dasar konsert ini. Women Policy diperkenalkan pihak penganjur dalam memastikan persekitaran yang selamat merangkumi pergerakan masuk ke festival sehinggalah meninggalkannya bagi kaum wanita. Polisi yang mengetengahkan kaum wanita ini merangkumi keistimewaan parkir kereta wanita, lorong masuk khusus untuk wanita, S.O.S buddy hotline dan juga menempatkan beberapa orang krew berdekatan dengan kawasan khusus untuk wanita tersebut.
Selain itu, pihak penganjur memandang akan keperluan sesebuah keluarga yang akan turut ‘megindie’ ini supaya dapat menghela nafas lega kerana OAG Pusat Penjagaan Kanak-Kanak diperkenalkan. Langkah yang dilakukan ini sememangnya dapat membantu meringankan beban ibu bapa sewaktu konsert ini berlangsung. Penyediaan lokasi penjagaan anak-anak di kawasan stadium secara percuma ini ialah satu usaha bersama pihak penganjur dan juga penaja strategik iaitu Kiddocare untuk memberi kemudahan dan menyahut seruan ibu bapa yang ingin turut serta dalam festival ini tetapi mempunyai kekangan daripada segi keluarga dan anak kecil. Pihak penganjur yakni BSX BOX dengan kerjasama Kongres Muzika Malaysia sangat cakna akan kepentingan ini seterusnya mewujudkan kelainan yang tidak pernah diadakan oleh mana-mana penganjur sebelum ini. Matlamat asas untuk festival ini ialah mewujudkan pengalaman yang istimewa dan berbeza kepada semua peringkat umur dan keluarga supaya konsep Mesra Keluarga dalam festival ini berjaya dicapai. Oleh sebab itu, polisi daripada segi keselamatan dan juga aliran trafik yang mesra keluarga ini berjaya diwujudkan.
Sehubungan dengan itu, secara rangkumannya pihak penganjur mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia turut bersama-sama menjadi sebahagian daripada perjalanan festival yang bersejarah ini. Penglibatan secara langsung maupun tidak langsung daripada pelbagai pihak dapat memberi impak yang sangat positif dan menyokong aspirasi dunia baharu dalam gagasan pihak kerajaan demi melestarikan sektor kesenian, kebudayaan, dan pelancongan. Penganjuran ini akan menentukan tanda aras yang baharu bagi mana-mana program yang bakal diadakan kelak berorientasikan karnival dan juga konsert seperti ini. BSX BOX dengan kerjasama Kongres Muzika Malaysia dengan rendah hatinya menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk turun sama-sama ‘mengindie’ di hari kejadian kelak.


