MAJLIS MENANTANDATANGANI PERJANJIAN PERSEFAHAMAN ANTARA NURFLIX.TV DENGAN UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA DAN IMS SERTA LAHIRKAN PROGRAM NURKIDS DAN TURATH DEMI PEMBANGUNAN DAN PERKEMBANGAN KANAK-KANAK DAN ILMU KITAB PENGAJIAN.
SHAH ALAM: Dalam usaha untuk membina platform yang dapat membangunkan kandungan-kandungan digital yang sopan tetapi pada waktu sama, masih menitik-beratkan kualiti yang setaraf antarabangsa, penstriman TV dalam talian, Nurflix.TV telah mengambil inisiatif untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM), Iskandar Malaysia Studios (IMS) dan Amazon Web Services (AWS).
Kerjasama yang termeterai di antara Nurflix.TV dengan UiTM adalah dari sudut tenaga dan kepakaran yang dimiliki pusat pengajian awam tersebut dalam pelbagai bidang penerbitan kandungan, manakala kerjasama dengan IMS adalah dari sudut penggunaan teknologi dan infrastruktur yang dimiliki studio tersebut yang telah pun diperakui bertaraf antarabangsa.
Sementara kerjasama bersama AWS pula lebih tertumpu kepada penyediaan teknologi platform Nurflix.TV sendiri agar ia mampu berfungsi pada tahap yang maksima.
Pengerusi Nurflix.TV, Dato’ Sri Syed Zainal Abidin berkata, pihaknya mengharapkan sokongan dan dokongan daripada pihak agensi kerajaan dan swasta untuk turut sama memastikan inisiatif ini akan dapat mencapai matlamatnya.
“Nurflix dibangunkan untuk generasi akan datang dengan usaha dan gabungan generasi hari ini. Secara tidak langsung, ia memberi banyak peluang pekerjaan dan penjanaan ekonomi industri media, pembelajaran dan lain-lain yang berkaitan.
“Inisiatif gabungan dengan ekosistem ini adalah yang pertama di dunia seumpamanya,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Skyforest, Acappella Suite Hotel, Shah Alam.
Majlis sidang media pada hari ini turut menyaksikan perjanjian memorandum persefahaman (MOU) di antara Nurflix.TV dengan UiTM, IMS dan AWS.
MOU ini ditandatangani Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Nurflix.TV, Syah Mohamed dengan wakil UiTM, Dato’ Professor Dr A. Razak Hj Mohaideen yang juga Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi di pusat pengajian tinggi awam tersebut disaksikan Pengerusi Nurflix.TV, Dato’ Sri Syed Zainal Abidin.
Mewakili IMS adalah Ketua Pegawai Eksekutifnya iaitu Rashid Karim, manakala AWS diwakili Suaid Ishak yang juga Pengurus Kanan Akaun syarikat tersebut.
Dalam majlis sidang media ini juga, Nurflix.TV turut melancarkan program Nurkids yang dapat membantu membentuk pembangunan dan perkembangan kanak-kanak dan remaja di bawah usia 15 tahun.
Memperkatakan lebih lanjut tentang program Nurkids pula, Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Nurflix.TV, Syah Mohamed berkata, nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan yang semakin rapuh dan menipis di kalangan generasi muda hari ini sangat membimbangkan.
“Kami berharap program-program yang ditawarkan di Nurkids akan mampu membina jati diri, mempelajari sifat kepimpinan diri, membentuk sahsiah terpuji serta membina ukhwah yang baik dan sejati,” katanya.
Nurkids menawarkan pelbagai variasi program menarik serta menghiburkan yang terdiri daripada sitkom berbentuk kekeluargaan serta akademik, drama superhero, masakan, bacaan dan hafazan Al-Quran, kreativiti sehinggalah kepada gameshow.
Program-program tersebut adalah Class + (sitkom akademik), Bayt Al Habib (sitkom kekeluargaan), Pendekar Cilik (drama), Kichen (masakan), My Friend, The Qari (bacaan dan hafazan Al-Quran), It’s A Fann Show (kreativiti) dan Bismillah, Go (gameshow).
Sementara itu pengarah kandungan Nurkids, Diana Amir pula berkata, setiap pemilihan kandungan program Nurkids ini merangkumi pelbagai aspek nilai yang mampu menghiburkan kanak-kanak dan remaja di bawah usia 15 tahun.
“Pada masa yang sama, kita tetap memastikan ia dapat memberikan manfaat kepada mereka untuk mereka memahami dan mempelajari tentang adab dan peraturan hidup yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, Syah Mohamed juga turut mengumumkan bahawa Nurflix.TV akan melancarkan program Turath yang memfokuskan kepada pengajian kitab tradisional.
Akan tetapi, pendekatan yang cuba diterapkan di dalam program ini agak berbeza kerana ia menggunakan modul ‘learn and understand by viewing’ dengan meneroka bahan-bahan serta kandungan yang segar.
“Apa yang boleh dijelaskan di sini, program Turath ini adalah suatu platform alternatif untuk generasi muda mendapat manfaat di samping meluangkan masa mereka begitu sahaja dengan peranti telefon bimbit mereka,” kata Syah lagi.
Sila layari laman web, www.nurflix.tv dan ikuti perkembangan Nurflix.TV di platform media sosial berikut:-
Instagram: @nurflix.tv FB: nurflix.tv.
Twitter: @nurflixtv







