DOLLA merupakan sebuah Kumpulan gadis baru yang akan datang dari Kuala Lumpur, Malaysia. Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2019 ini terdiri daripada empat gadis dikenali sebagai Sabronzo, Tabby, Syasya, dan Angel. Bakat menyanyi dan menari mereka berjaya mencuri perhatian. Single pertama DOLLA, ‘Make You Wanna’ diterbitkan oleh Bryan B, penerbit terkenal berasal daripada Australia.
Sejak melancarkan single debut mereka ‘Dolla Make You Wanna’ pada Mac lalu, kumpulan wanita baharu DOLLA berjaya mencuri perhatian peminat muzik Malaysia dengan konsep lagu, penampilan, nyanyian dan tarian mereka. Malah video rasmi ‘Dolla Make You Wanna’ yang dimuatnaik di laman YouTube Universal Music Malaysia sejak 19 Mac lalu, sudah mencapai lebih 1 juta tontonan. Suatu pencapaian yang sangat memberangsangkan dan boleh dibanggakan untuk bakat baharu seperti mereka. Malah video rasmi ‘Dolla Make You Wanna’ turut menjadi tumpuan YouTuber dari dalam dan luar negara. Ada yang mula membuat video ‘dance cover’ mengikut gerak tari DOLLA dalam video muzik tersebut, malah ada juga yang membuat video ulasan dengan makluman positif berkenaan bakat tarian DOLLA yang dipuji sebagai mempesonakan.
Demi mencabar diri dan menonjolkan lagi bakat mereka, DOLLA mengumumkan melalui Instagram rasmi mereka @dolla.official bahawa mereka menyertai pertandingan “How You Like That” Dance Cover Contest yang dianjurkan oleh kumpulan wanita terkenal antarabangsa, BLACKPINK. Pertandingan yang dijangka akan disertai oleh peminat kumpulan K-Pop tersebut dari serata dunia ini, menawarkan hadiah utama sejumlah KRW 10 juta bersamaan dengan RM 35,000.00. Pertandingan ini hanya memerlukan peserta merakam video tarian mereka mengikut koreografi penuh seperti yang dipaparkan dalam video muzik terbaharu BLACKPINK, ‘How You Like That’. Pertandingan ini akan berlangsung daripada 6 hingga 20 Julai 2020 dan pemenang akan diumumkan pada 28 Julai 2020.
Mengulas tentang penyertaan mereka ini, Sabronzo bagi pihak DOLLA berkata, “Kami berharap video penyertaan kami menari mengikut koreografi lagu terbaharu BLACKPINK ini, berjaya mencuri perhatian peminat muzik di Malaysia dan di luar negara. Sekiranya video ini dapat pergi jauh dan dinikmati oleh ramai orang pun sudah memadai. Semoga peminat muzik di Malaysia sudi menyokong usaha kami ini dengan menonton dan berkongsi video ini dengan rakan-rakan mereka.”