SETELAH DUA (2) DEKAD PERJALANAN KRISTAL, KINI LAN KEMBALI BERGABUNG MELAHIRKAN KRISTAL X.
Kumpulan Kristal yang bermula daripada umur mereka belasan tahun kini sudah berusia 20 tahun, Perjalanan seni kumpulan Kristal yang begitu panjang, mencipta nama dalam pesada seni tahan air dan mereka turut mempunyai kelompok peminat tersendiri.
Seragam Hitam lagu hasil ciptaan Datuk M Nasir dan liriknya pula oleh Allahyarham Loloq, Kristal meletakkan mereka di kelas tersendiri. Siapa sangka, lagu keramat itu sudah berusia 20 tahun selepas dilancarkan pada tahun 2000 menerusi album sulung mereka Semut & Lebah.
Bagi meraikan dua dekad lagu itu dan penjenamaan baru Kristal yang kini dikenali sebagai Kristal X, mereka kini membuat kemunculan dengan lagu Seragam Hitam Versi 2020.
Menurut Lan, 35, atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, Seragam Hitam Versi 2020 adalah projek khas Kristal X selain merealisasikan impian peminat yang banyak memberi sokongan kepada Kristal selama ini.
Idea menghasilkan lagu Seragam Hitam Versi 2020 ini tercetus apabila saya bersama dua lagi anggota asal Kristal bergabung dengan nama Kristal X. Dalam masa sama peminat turut mencadangkan agar kami membuat sesuatu sebagai simbolik kemunculan semula. Jadi, kami fikir sesuatu yang baharu untuk ditonjolkan iaitu lagu baharu atau projek lagu.
Apabila bersembang, kami fikirkan biarlah ia mengimbau nostalgia kami bermula. Jadi, kami putuskan untuk merakamkan lagu pertama yang orang kenal kami iaitu Seragam Hitam,” katanya.
Ditanya mengenai keutamaan kerjaya nyanyiannya selepas ini, Lan berkata dia akan kembali bergerak secara solo dan berkumpulan.
“Lan Solo tetap solo sebab sudah bergerak secara solo. Cuma, lagu ini adalah projek khas pertama yang kami cuba buat. Kalau mendapat maklum balas baik, kami akan teruskan bergerak bersama juga. Maksudnya, saya boleh solo dan berkumpulan. Tapi segalanya bergantung pada perancangan pasukan Lan Solo dan Kristal X.
Memandangkan Seragam Hitam kini telah genap 20 tahun dilancarkan, jadi kami pun nak meraikan lagu ini. Kiranya, kami ‘on’ projek ini bersempena kemunculan semula Kristal yang kini dikenali sebagai Kristal X. Penjenamaan Kristal X ini pula tercetus apabila mereka terbabit dalam ‘showcase’ Lan Solo Next Level tahun lalu. Kami terus berbincang secara serius. Ketika itu ahli terbabit hanya Ainul, Ezal, Ejan dan Joe. “Cuma, untuk projek ini Ejan dan Joe tidak dapat turut serta. Walaupun hanya bertiga, kami cuba buat projek ini,” katanya.
Mengenai muzik yang diketengahkan bagi versi baharu ini, Lan berkata ia berbeza daripada lagu asal. Lagu versi baharu ini sangat berbeza dengan bunyi asal. Muzik kali ini lebih segar. Malah, kalau nak tahu sebenarnya, muzik dan bunyi inilah yang kami mahukan dahulu.
Sebelum ini Kristal hanya mengikut segala yang penerbit dan pihak pemasaran mahu. Tapi untuk kali ini versi terbaru memberikan kepuasan maksimum berdasarkan apa yang diinginkan dan memenuhi cita rasa peminat yang ternantikan muzik sebegini daripada kami,” katanya. Selain muzik dan bunyi baharu, sesuatu yang mengujakan Lan dan anggota Kristal X adalah lagu ini buat pertama kali mempunyai video muzik.
Projek akan datang akan tetap diteruskan iaitu ’showcase’ Kristal X, akan tetapi untuk masa terdekat ini ianya masih rahsia dan tak boleh dedahkan apatah lagi dengan keadaan sekarang isu wabak Covid-19. Insya-Allah kalau semuanya kembali pulih, kami akan umumkan tarikh,” katanya.
Projek khas ini adalah di bawah syarikat Lan iaitu LS Projects & Managment dan syarikat rakaman 17Eleven Music Sdn Bhd bertindak selaku pengedar lagu ini.

