‘7 NASIHAT’ MERUPAKAN KESANTUNAN DATO’ SRI SITI NURHALIZA DALAM MEMBERIKAN KRITIKAN SOSIAL.
20 FEBRUARI 2020, Kuala Lumpur – Sudah hampir 25 tahun bergelumang dalam dunia seni, namun figura muzik tersohor Dato’ Sri Siti Nurhaliza masih kekal bertakhta di hati pencinta muzik di rantau ini. Kemampuan luarbiasa penyanyi ini dalam mendukung sesebuah lagu itu untuk pergi sejauh yang boleh tidak boleh dipersoalkan lagi. Lihat sahajalah kejayaan lagu ‘Anta Permana’ nyanyiannya yang memenangi tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu ke-34 yang lalu. Jika penyanyi seangkatannya sesekali muncul dengan karya terbaharu, tetapi tidak dengan penyanyi yang mesra disapa sebagai Datuk Siti.
“Sebagai artis senior, saya tidak mahu ketinggalan dengan peredaran muzik semasa. Peluang bergandingan dengan (nama penuh kmy & luca) merupakan salah satu cara untuk saya mendekati peminat muzik dan pendengar yang lebih muda”, kata beliau. Tambahnya lagi, lagu “7 Nasihat” merupakan sebuah karya istimewa kerana menggabungkan hip-hop, rap dan tradisional. Ini juga dapat menyuntik minat generasi muda menghayati gabungan irama yang digarap dengan begitu baik sekali.
Walaupun sudah berada di puncak kerjaya, saban tahun Datuk Siti masih komited berkarya dan terus aktif mewarnai industri muzik Malaysia. Tidak hairanlah jika setiap karya dendangan penyanyi kesayangan anak watan ini selalu mendapat tempat di hati pendengar. Datuk Siti yang baharu sahaja muncul dengan single ‘Terang’ pada November tahun lalu, kini bakal hadir pula dengan single terbaru berjudul “7 Nasihat”.
“7 Nasihat” merupakan ciptaan rapper, komposer dan penerbit yang semakin meningkat naik iaitu pasangan duo Kmy Kmo dan Luca Sickta yang turut membuat penampilan istimewa dalam lagu ini. Kmy Kmo dan Luca Sickta yang memperjuangkan genre Hip Hop berkonsepkan ritma atas puisi, cukup dikenali dengan karya ciptaan yang sarat dengan tradisi kemelayuan dari segi bunyi dan bahasanya. Bertunjangkan konsep yang sama, “7 Nasihat” bukan sahaja berpaksikan kepada elemen muzik kemelayuan malah bait-bait katanya turut melambangkan kesantunan orang Melayu dalam memberi kritikan sosial menggunakan bahasa kiasan. Menerusi “7 Nasihat”, kolaborasi Datuk Siti bersama dengan rapper duo ini dilihat sangat bertepatan dan berpadanan kerana masing-masing mempunyai jati diri kemelayuan yang sangat tinggi dalam berkarya. “7 Nasihat” merupakan kali kedua Datuk Siti berkolaborasi dengan penyanyi Hip Hop selepas kolaborasinya bersama kumpulan Too Phat pada tahun 2005 menerusi lagu hits ‘Dua Dunia’.
Single ini juga bertujuan untuk mengubat kerinduan para peminat Datuk Siti sebelum beliau muncul dengan album penuh pada bulan April nanti.
Single terbitan Siti Nurhaliza Productions dengan kerjasama Universal Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 20 FEBRUARI 2020.



