16 MEI 2025 – Jakarta, Indonesia – Siapa sahaja yang ingin terluka kerana cinta? Jika diberi pilihan, mungkin tiada siapa pun mahu merasai sakit hati, terutamanya apabila melibatkan soal cinta. Namun begitu, kita tetap perlu melalui fasa “move on” yang bukan mudah untuk dilalui.
Inilah yang ingin disampaikan oleh Yovie Widianto dalam single terbaharunya bersama Tiara Andini bertajuk “Tanpa Cinta”. Lagu ini sebenarnya merupakan lagu popular yang pernah dilancarkan sebelum ini. Namun kali ini, ia diterbitkan semula di bawah label rakaman Universal Music Indonesia.
“Lagu ‘Tanpa Cinta’ ini mengisahkan tentang seseorang yang terluka kerana cintanya tidak berbalas, dan orang yang dicintainya telah berpaling kepada orang lain. Lagu ini menggambarkan perjuangan untuk teruskan kehidupan dan menerima hakikat bahawa cinta itu sudah tidak dapat dimiliki, jadi lebih baik teruskan hidup tanpa cinta,” ujar Yovie Widianto.
Penglibatan Tiara Andini menandakan kembalinya kolaborasi antara mereka berdua sejak tahun lalu.
“Saya memang sudah rancang sejak awal bahawa untuk versi terbaharu lagu ini, saya mahukan Tiara yang menyanyikannya. Dan ternyata, Tiara menyambut baik ajakan ini,” kata Yovie.
“Saya memang sangat sukakan lagu ini. Jadi apabila ada pelawaan untuk kolaborasi, saya tidak berfikir panjang untuk menerimanya. Tambahan pula ini karya daripada papa Yovie. Walaupun ada cabaran tersendiri, saya amat berpuas hati dengan hasilnya,” ujar Tiara Andini.
Dari segi susunan muzik, Yovie Widianto tidak banyak mengubah coraknya secara drastik. Namun muziknya dibuat lebih manis dengan susunan melodi yang lebih segar didengar.
Untuk video muzik pula, ia diolah dengan sentuhan visual yang artistik dan menampilkan konsep teaterikal. Elemen ini memberikan kesan yang lebih terancang dan menyatu dengan mesej lagu. Video muzik ini diarahkan oleh Prialangga.
“Konsepnya sebenarnya ringkas, tetapi penyampaiannya sangat cantik dan penuh makna. Apatah lagi ada unsur tarian juga. Memang puas hati,” ujar Yovie.
Melalui single ini, Yovie Widianto berharap lagu tersebut dapat dinikmati oleh generasi masa kini, bukan hanya sekadar nostalgia, tetapi juga sesuatu yang boleh dikaitkan dengan perasaan dan situasi cinta hari ini.
“Harapan saya tentunya agar lebih ramai yang mendengarkan lagu ini. Versi asal pun sudah mendapat jumlah penstriman yang tinggi, apatah lagi sekarang dibawakan semula oleh Tiara Andini,” tambah Yovie.