SOSIAL MEDIA

20 May, 2025

Ratu Riff & Runs, Ziva Magnolya, Akhirnya Lancar Album Pop RnB Bertajuk “Merangkai”

Ziva Magnolya

Setelah dua tahun menanti, Ziva Magnolya akhirnya melancarkan album keduanya yang diberi judul Merangkai. Album ini mengetengahkan genre Pop RnB,  sebuah impian yang telah lama diidamkan oleh Ziva untuk memiliki sebuah album dengan nuansa muzik yang sangat dekat di hatinya. Album ini diterbitkan di bawah label Universal Music Indonesia.

“Album ini benar-benar mencerminkan diri saya. Sejak dahulu lagi saya sangat ingin menghasilkan album Pop RnB kerana saya amat menyukai muzik genre ini. Jadi boleh dikatakan, album ini benar-benar saya,”ujar Ziva Magnolya.


Dari segi tema, Ziva tetap membawa kisah cinta, namun dipersembahkan dari pelbagai perspektif,  menjadikan setiap lagu dalam album ini saling berkait dan menyampaikan kisah yang mendalam.


Album Merangkai mengandungi sembilan buah lagu, di mana tiga daripadanya telah pun dilancarkan sebagai single sebelum ini: “Abadi”“Wanita Biasa”, dan “Cukup”. Ketiga-tiganya menerima sambutan hangat dari peminat muzik di Indonesia.



Menariknya, Ziva turut berkolaborasi dengan barisan produser tempatan terbaik.“Intro” bersama Dony Manurung, “Tertarik Atau Baik” bersama BIANCADIMAS, “Sesuka Hati” bersama Trakast, Yafi Aria, dan Stefanus LJ, “200K” bersama Ranbe, “Against All The Odds” bersama Belanegara Abe, “Wanita  Biasa” dan “Cukup” bersama S/EEK, “Kata Kata” bersama Laleilmanino


Salah satu kolaborasi yang paling dinanti adalah bersama Kaleb J, dalam lagu “Against All The Odds”,  sesuatu yang para peminat Ziva dambakan sejak tahun 2021.


“Bekerjasama dengan produser hebat tanah air adalah satu penghormatan besar buat saya. Saya belajar banyak daripada mereka, dari aspek teknikal muzik hinggalah kepada selok-belok industri muzik,” jelas Ziva.


Dari segi visual, Ziva turut menampilkan artwork eksklusif untuk album ini hasil kolaborasi dengan artis visual terkenal, Diela Maharanie, yang dikenali dengan hasil seni berwarna-warni dan penuh karakter.



Untuk pelengkap pengalaman album ini, Ziva turut menghasilkan video muzik untuk lagu “Kata Kata” dan video lirik untuk lagu-lagu baharu. Menariknya, elemen ‘seram manja’ turut diterapkan dalam set video ini, termasuk penampilan ‘hantu’ dengan pendekatan yang tetap menghiburkan. Semua visual ini diterbitkan oleh Athea Visual dan diarahkan oleh Ivan Saputra Alam.


“Ceritanya ringkas tapi menarik. Tentang cinta yang belum kesampaian  dari perspektif orang yang ‘ghosting’ orang lain,” ujar Ziva yang turut digelar Queen of Riff and Runs.

“Harapan saya, semoga album ini dapat diterima oleh ramai pendengar dan memberi semangat kepada sesiapa yang mendengarnya. Jadikan ia teman harian anda,” tambahnya.