Pada tahun 1996, nama kumpulan Spider barangkali hanya menjadi salah satu pemuzik yang masuk ke belantika muzik tempatan sebagai sebuah percubaan — untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Bukan karya yang Spider mahu persembahkan tidak berkualiti sementelah dipandu sang sifu Dato’ M Nasir tetapi realiti dunia hiburan yang selalu bersifat ‘kacap terlabik’ akan membunuh secara tidak sengaja antusias berapi-api yang dibawa pemuzik.
29 tahun berlalu. Spider bukan hanya sebuah kumpulan atau penjenamaan muzik rock berbaur ska yang telah menghasilkan banyak karya hebat seperti Nazraku, Aladdin, Relaku Pujuk, Kasih Latifah dan Cinta Dewa Dewi tetapi menjadi kugiran legenda yang selalu dirujuk sebagai ‘latihan pemula’ anak-anak band masa kini.
Spider telah membuktikan kumpulan rock boleh kembali gemilang setelah tahun 80-an. Spider pernah menerima banyak pengiktirafan menerusi lagu Aladin dan dijulang sebagai Juara Lagu 2004 melalui Relaku Pujuk serta Nazraku diangkat sebagai Album Pop Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2005.
Dan di fasa waktu turun naik, sepak terajang mereka, Spider kekal relevan. Kekal berbisa. Karya-karya baharu yang dihasilkan termasuk single Keluar Sarang yang dipasarkan tahun 2024 telah membuat peminat teruja menerima dan menonton persembahan energatik Spider.
Melihat kepada antusias peminat yang tidak pernah surut, cetakan demi cetakan baik yang ditinggalkan, penganjur Naga Legend Entertainment dengan bangga membawa SPIDER UNPLUGGED CONCERT kepada peminat.
SPIDER UNPLUGGED CONCERT bakal menggegarkan Megastar Arena Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2025. Konsert ini disifatkan sebagai keraian muzik yang cukup dekat dan melambangkan Spider sebagai sebuah kugiran yang unik, tersendiri dan hebat tanah air.
“Menyebut sahaja nama Spider sudah membuatkan kami di Naga Legend Entertainment rasa teruja apa lagi apabila lamaran kami untuk mengadakan SPIDER UNPLUGGED CONCERT disambut baik oleh kumpulan legenda ini.
“Dan konsep unplugged yang dibawakan ini adalah yang pertama kali kami tampilkan bersama Spider. Tentu sahaja hasilnya akan ‘mewah’, tersendiri serta akan menjadi momen terbaik yang pernah disaksikan oleh peminat Spider,” ujar Fandy Alias wakil dari Naga Legend Entertainment.
Buat Spider yang terdiri daripada Tam (vokal), Aie (drum), Iss (bass) dan Pown (gitar), bersetuju dengan Naga Legend Entertainment untuk SPIDER UNPLUGGED CONCERT di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 25 Oktober ini adalah sebuah kesepakatan dengan visi dan misi yang sama.
“Pertama tentu sahaja Spider tidak mahu mengadakan konsert yang ‘asal konsert’ kerana mahu terjun dalam keramaian dan semarak penganjuran konsert. Sama seperti penghasilan karya, maka begitu juga Spider selektif dalam penganjuran konsert terutama konsert solo.
“Jadi hal utama yang diberi penekanan adalah konsep yang mahu dipersembahkan kepada peminat. Spider tidak mahu naik ke pentas, ‘goreng muzik’, menyanyi ala kadar dan pulang. Apa yang peminat dapatkan dengan persembahan seperti itu?
“Sebaliknya Spider akan mendahulukan konsep, kualiti terutama daripada segi sistem audio dan teknikal lainnya serta kadar kesiapan kami yang berada pada tahap maksimum. Selepas itu barulah Spider boleh berikan yang terbaik dan ‘kasi pecah panggung’,” ujar Tam mewakili Spider.
Justeru SPIDER UNPLUGGED CONCERT disifatkan Tam sebagai sebuah konsert yang belum pernah dipersembahkan dan sudah tiba waktu kugiran tersebut tampil dengan sesuatu yang unik dan bakal menjadi sejarah penganjuran di negara.
Untuk menyaksikan bagaimana konsep SPIDER UNPLUGGED CONCERT di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2025 berlangsung, jangan sampai terlepas peluang merebut beberapa kategori tiket yang disediakan.
Dapatkan kategori dengan tiket berharga RM198 (ALADDIN ; FREE SEATING), RM238 (CINTA DEWA DEWI ; NUMBERED SEAT), RM298 (KASIH LATIFAH ; NUMBERED SEATING) RM388 (RELAKU PUJUK ; NUMBERED SEATING) menerusi pembelian di www.ilassotickets.com/spiderunplugged bermula 25 April 2025, jam 3 petang.