SOSIAL MEDIA

25 April, 2025

MIRI BAKAL BERGEGAR DENGAN " KONSERT MELETOP TVS & KONSERT BERKAT GAWAI-KEAMATAN " MEI INI


KUCHING, 24 APRIL 2025 – Bandaraya Miri bakal menjadi pentas utama dua konsert mega yang dijangka menggamatkan Bumi Kenyalang pada bulan Mei ini. Lebih menarik, kedua-dua konsert ini boleh dinikmati secara percuma oleh semua.


Disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak dan dibawakan oleh TVS dengan kerjasama Astro, konsert ini bukan sahaja memaparkan gabungan hebat antara dua jenama hiburan terbesar negara, tetapi juga menandakan satu lagi kejayaan dalam memperluas jangkauan industri kreatif ke utara Sarawak.


Bertempat di Stadium Tertutup Miri, “Konsert MeleTOP TVS” yang dibawakan oleh U Mobile bakal berlangsung pada 17 Mei 2025 turut disusuli oleh rakaman khas MeleTOP keesokan harinya, 18 Mei 2025. Ini adalah kali pertama program hiburan popular tersebut dibawa keluar dari Lembah Klang, menjadikan Miri sebagai tuan rumah bersejarah untuk edisi luar biasa ini.


Barisan artis yang bakal menghiasi pentas termasuk Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Stacy, Dolla, Floor 88, Namie dan ramai lagi, satu gabungan mantap antara budaya tradisional Borneo dan muzik pop kontemporari yang pasti memukau penonton. Konsert ini juga akan disiarkan secara langsung menerusi TVS (Saluran 122 di Astro, MYTV Unifi TV), Astro ONE dan Sooka.


Menurut YB Dato’ Sri Hj. Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, serta Menteri Belia, Sukan & Pembangunan Usahawan Sarawak, “Ini merupakan satu pencapaian besar buat industri kreatif kita. Kami bangga menyokong penganjuran berskala besar seperti ini di Miri. Tahniah kepada TVS dan Astro atas kerjasama luar biasa ini.”


Sambutan diteruskan pada 21 Mei 2025 dengan “Konsert Berkat Gawai-Kaamatan”, menampilkan Ratu Rock Negara, Ella sebagai peneraju utama. Turut serta memeriahkan malam istimewa ini adalah Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX serta artis jemputan dari Kalimantan, Marina Jara.


Konsert ini akan bermula pada 7:30 malam, dan akan disiarkan pada 31 Mei 2025 jam 9 malam di TVS bagi mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal. Ini merupakan satu penghargaan kepada warisan dan budaya masyarakat Sarawak, Sabah dan Kalimantan, di samping meraikan perpaduan melalui muzik.


Pemilihan Miri sebagai lokasi bukanlah secara kebetulan. Menurut Mohamad Sardon Zainal, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, “Miri adalah pintu masuk ke utara Sarawak, berdekatan dengan Brunei, Sabah dan Kalimantan. Dengan ulang tahun ke-20 Miri sebagai bandaraya bakal disambut, ini adalah masa terbaik untuk meraikan bersama rakyat.”


Elyna Rahmat, Penolong Naib Presiden, Kurasi & Penciptaan Kandungan Tidak Berskrip GenNext Astro turut berkongsi keterujaannya: “Hampir setahun kami merancang kolaborasi ini. Muzik menyatukan semua, dan konsert ini adalah bukti perpaduan tersebut.”


Kedua-dua konsert ini bukan sahaja menawarkan persembahan hebat dari artis-artis ternama, tetapi turut membuka peluang besar kepada bakat tempatan dari Sabah dan Sarawak untuk berkongsi pentas dengan bintang-bintang terkenal.


Dengan kemasukan percuma, acara ini dijangka menarik pelancong dari dalam dan luar negara, termasuk dari Brunei dan Kalimantan.


Dapatkan tiket-tiket anad di tvsarawak.my/kejutan-tvs – tetapi cepat, tiket adalah terhad!

Sertai kami dalam meraikan muzik, budaya dan keharmonian Mei ini!