SOSIAL MEDIA

13 February, 2020

PENCARIAN HERO REMAJA 2020 KINI BERMULA

HERO REMAJA EDISI KESEPULUH RAI TIGA DEKAD PENGANJURAN.


Penganjuran program pencarian bakat, ‘Hero Remaja 2020’ merupakan sebuah lagi kerjasama strategik di antara pihak Astro menerusi saluran Astro Ria dan pihak Nu Ideaktiv Sdn. Bhd.

Musim ini juga merupakan penganjuran edisi kesepuluh sejak pertama kali diperkenalkan lebih tiga dekad yang lalu iaitu di sekitar tahun 1990. Sepanjang tempoh 30 tahun, pencarian ‘Hero Remaja’ berjaya melahirkan ramai nama besar yang kini sudahpun memiliki portfolio seni yang membanggakan merangkumi bidang lakonan, pengacaraan dan peragaan.



Seramai hampir 600 calon peserta telah hadir untuk mencuba nasib sewaktu sesi ujibakat yang berlangsung selama empat hari pada 21, 22, 28 dan 29 Disember 2019 di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam.

Daripada jumlah tersebut, seramai 12 finalis terbaik telah disenarai pendek menerusi sesi saringan yang ketat untuk diserap masuk. Kesemua mereka juga akan turut ditempatkan di bawah satu bumbung untuk dikuarantin bagi tempoh hampir 2 bulan untuk menjalani sesi penggambaran program ini.

Terdahulu, Alif Muhaimin yang kini semakin aktif berlakon telah dinobatkan sebagai ‘Hero Remaja’ untuk edisi yang kesembilan pada tahun 2017.

Antara nama-nama besar yang lahir daripada pencarian ‘Hero Remaja’ termasuklah Fattah Amin, Syafiq Kyle, Kamal Adli, Saharul Ridzwan, Ashraf Sinclair, Azhar Sulaiman, Badrul Muhayat, Esma Daniel, Norman Hakim, Eizlan Yusof, Zed Zaidi serta ramai lagi.

 

Fiezreen Ahmad, Editor Pengurusan Remaja “Bermula pada tahun 1990, lima tahun selepas Dewi Remaja membuka tirai. Hero Remaja menjadi satu pertandingan pencarian bakat baharu yang cukup sinonim dengan industri seni tanah air khusus buat remaja lelaki. Menyaksikan pelakon serba boleh, Esma Daniel sebagai pemenang pertama sehinggalah yang terkini Alif Muhaimin selaku Hero Remaja 2017. Pertandingan ini dilihat sebagai satu jendela khusus buat remaja-remaja di luar sana yang ingin menonjolkan kelebihan masing-masing di samping memperjuangkan nilai-nilai positif yang boleh memberi impak kepada umum.

Kesemua finalis Hero Remaja 2020 memiliki personaliti yang berbeza sekaligus memberikan satu warna kepada pertandingan yang bakal berlangsung selama lapan minggu ini. Setiap peserta masing-masing menampilkan karakter yang cukup menarik dilengkapi dengan skil komunikasi yang baik. Sama seperti konsep Dewi Remaja yang lalu, finalis Hero Remaja 2020 juga akan dikuarantin sepanjang berada di dalam pertandingan ini.”

    

Emarina Mohd Kamal, Pengurus Saluran Astro Ria “Sama seperti Dewi Remaja, pengaruh jenama Hero Remaja yang telah dibina selama lebih tiga dekad sebagai sebuah platform pencarian bakat komersial cukup signifikan dan diperakui berjaya memberi kepelbagaian dalam melahirkan generasi pelapis bagi menyemarakkan lagi lanskap industri seni tanah air.

Selaku penganjur bersama, Astro menyambut baik inisiatif penganjuran program seumpama ini kerana kita sememangnya memerlukan lebih ramai pelapis yang mempunyai pakej lengkap untuk sama-sama menggerakkan industri seni hiburan ke arah dan ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang.

Menerusi pengalaman luas kami dalam menerbitkan pelbagai program realiti dan pertandingan bakat sebelum ini, generasi sekarang disifatkan cukup bertuah kerana perkembangan pesat teknologi serta kemunculan pelbagai platform media sosial pada hari ini memberi akses menyeluruh yang memudahkan mereka mencipta nama dengan pantas. Namun, harus diingatkan mereka perlu bijak memanfaatkan teknologi tersebut kerana jika tersalah langkah, ia boleh memudaratkan. Semoga pencarian edisi kali ini mampu meneruskan legasi penganjuran tahun-tahun terdahulu.”

  


Selebriti popular, Scha Al Yahya yang pernah dimahkotakan sebagai Dewi Remaja 2005/06 dan Datuk Hans Isaac turut menjadi antara tarikan utama pencarian edisi kali ini kerana gandingan ini sekali lagi dilantik sebagai juri tetap yang bakal mengadili pencarian Hero Remaja 2020 serta turut bertindak sebagai mentor kepada para peserta.

Sementara itu, nantikan juga penampilan istimewa barisan personaliti popular yang diundang khas secara bergilir-gillir pada setiap minggu sebagai juri jemputan dan mentor kepada peserta yang bertanding sepanjang program ini berlangung.


Manakala pelakon dan pengacara yang semakin meningkat naik, Ain Edruce pula diberi mandat untuk mengendalikan pencarian kali ini sebagai hos program.

Pemilihan Ain sebagai hos untuk program bukan sahaja berdasarkan kepada bakatnya dalam bidang pengacaraan, malah beliau turut memiliki personaliti yang bersahaja dan menarik yang sememangnya menepati konsep dan penonton sasaran program ini.




 





Kesemua 12 finalis ‘Hero Remaja 2020’ juga bakal berdepan dengan pelbagai cabaran untuk mengasah kemampuan para finalis daripada aspek berbeza. Skil sebagai seorang model, pelakon, pengacara, duta produk dan semangat keakraban di antara mereka bakal diuji bagi mencari seorang juara yang paling layak untuk menyandang gelaran tersebut.

Rakaman program pencarian ‘Hero Remaja 2020’ akan bersiaran selama tujuh episod pada setiap hari Khamis, jam 9.00 malam bermula 27 Februari 2020 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123). Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ia turut boleh diakses menerusi perkhidmatan Astro Go dan on demand.

Manakala episod kemuncak pada minggu yang kelapan pula bakal disiarkan secara langsung pada 16 April kelak.

Di samping itu, perjalanan terkini para peserta juga akan mendapat liputan menyeluruh termasuklah paparan aktiviti di sebalik tabir menerusi laman digital serta media sosial Majalah Remaja.

Dalam pada itu, penganjuran ‘Hero Remaja 2020’ juga turut disokong oleh NIVEA Men yang hadir sebagai Penaja Utama untuk edisi terbaharu.