SOSIAL MEDIA

04 September, 2026

DISAGREE KEMBALI KE PENTAS SELEPAS LEBIH SEDEKAD MENERUSI LIVE SHOWCASE “BLACK & WHITE IN COLOUR”

Kuala Lumpur, Malaysia – Selepas lebih sedekad tidak beraksi di pentas, kumpulan rock alternatif Malaysia, Disagree, bakal kembali menemui peminat menerusi live showcase “Black & White in Colour” yang akan berlangsung pada Sabtu, 24 Oktober 2026 di REXKL. 

Showcase yang dinanti-nantikan ini turut menjadi pentas pelancaran rasmi album “Black & White in Colour” yang memuatkan 21 buah lagu. Album tersebut akan ditawarkan secara eksklusif di lokasi showcase buat julung kalinya, sekali gus memberi peluang kepada para peminat untuk memilikinya lebih awal sebelum dilancarkan secara rasmi kepada umum. 

Lebih daripada sekadar sebuah konsert kemunculan semula, showcase ini menjadi ruang buat Disagree kembali mendekati peminat yang terus menyokong perjalanan muzik mereka selama ini, di samping memperkenalkan muzik, kisah dan emosi di sebalik lembaran baharu kumpulan tersebut kepada generasi pendengar yang seterusnya. 

Dikenali menerusi bunyi rock alternatif dan indie progresif yang tersendiri, Disagree mula mencipta nama serta mempunyai kelompok peminat yang kukuh sekitar awal 2000-an hingga awal 2010-an menerusi lagu-lagu seperti “Crumbs”, “Suicide Note”, “Scarecrow Adams”, “Osaka” dan “Haley”. 

 

Kumpulan ini kemudiannya menjadi antara nama yang cukup dikenali dalam persada muzik alternatif Malaysia, termasuk membuat persembahan di festival ikonik Rock The World, selain diberi peluang menjadi artis pembuka kepada kumpulan antarabangsa seperti Hoobstank dan The All-American Rejects. Disagree turut menerima beberapa pengiktirafan industri, termasuk tiga kemenangan di anugerah Industri Muzik (AIM). 

Selepas beberapa tahun menyepi daripada persada muzik apabila komitmen terhadap kehidupan, keluarga dan kerjaya membawa setiap anggota kumpulan ke haluan masingmasing, kepulangan Disagree kali ini bukan sekadar didorong oleh nostalgia. 

Langkah kemunculan semula mereka bermula dengan pelancaran “Let’s Do It All Again” pada Mei 2026, sebuah lagu yang mengimbas kembali perjalanan kumpulan selepas menghilang daripada radar, hubungan mereka dengan para peminat serta keinginan untuk kembali mendekati mereka setelah meninggalkan sebuah lembaran yang belum selesai. 

 

Album “Black & White in Colour” yang mengandungi 21 buah lagu bukan sahaja menjadi refleksi terhadap perjalanan lalu Disagree, malah mencerminkan kedudukan dan identiti kumpulan itu pada hari ini. 

Album ini mengangkat pelbagai tema seperti kekecewaan, trauma, pergolakan emosi, hubungan yang terjalin semula, kepercayaan serta turun naik kehidupan. Setiap lagu menggambarkan fasa berbeza dalam evolusi Disagree, daripada siapa mereka dahulu, apa yang telah mereka kehilangan sehinggalah kepada diri mereka pada hari ini. 

Karya terbaharu Disagree turut memperlihatkan gabungan identiti rock alternatif yang sekian lama menjadi trademark mereka dengan pendekatan penceritaan dan penghayatan emosi yang lebih matang. Album “Black & White in Colour” diterbitkan dan menjalani proses mixing oleh penerbit muzik yang telah memenangi pelbagai anugerah, Greg Henderson, manakala proses mastering dikendalikan oleh jurutera audio pemenang Grammy, Leon Zervos, di Studios 301, Australia. 

 

Namun, album ini pada akhirnya membawa makna yang lebih besar daripada sekadar kepulangan Disagree ke dunia muzik. Ia adalah tentang kembali menghubungkan diri dengan muzik dan peminat serta perjalanan yang pernah mereka tinggalkan.