KUALA LUMPUR, 28 April 2026 – Suasana penuh eksklusif di Restoran Rebung Chef Ismail hari ini menjadi saksi kepada pelancaran rasmi konsert solo berskala besar yang dinanti-nantikan, “Aishah 40 Chapters of Love”, yang bakal berlangsung pada 4 Julai 2026, jam 8.00 malam di Megastar Arena.
Dianjurkan oleh Vox Nation Live, konsert ini menandakan sebuah detik penting dalam perjalanan seni Dato’ Aishah dalam meraikan empat dekad legasi muzik yang telah mengukir nama beliau sebagai antara ikon paling berpengaruh dalam industri hiburan tanah air.
Lebih daripada sekadar persembahan, konsert ini dirangka sebagai sebuah pengalaman penuh emosi yang menggabungkan cinta, kenangan dan evolusi seni, membawa penonton menelusuri setiap “bab” dalam perjalanan muzik beliau yang panjang dan bermakna.
Mengangkat konsep penceritaan melalui muzik, setiap segmen konsert akan mewakili fasa berbeza dalam kehidupan dan kerjaya seni Dato’ Aishah. Penonton bakal disajikan dengan rangkaian lagu malar segar yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut menjadi cerminan memori kolektif generasi peminat.
Antara lagu wajib yang dijangka mengisi malam istimewa ini termasuk “Janji Manismu”, “Camar Yang Pulang” dan “Kemaafan Dendam Yang Terindah”, di samping pilihan karya lain yang telah lama menjadi “soundtrack” kehidupan rakyat Malaysia.
Menambah elemen kejutan dan keterujaan, pihak penganjur turut mengumumkan kemunculan istimewa penyanyi berbakat, Ara Johari, sebagai artis undangan pada malam konsert tersebut.
Gabungan dua generasi suara wanita ini dijangka mencipta momen pentas yang unik, mempertemukan legasi dan suara kontemporari dalam satu persembahan yang segar dan bermakna.
Sebagai penghargaan kepada peminat setia dan pengumpul karya muzik, sebuah “vinyl” eksklusif edisi terhad akan dilancarkan bersempena konsert ini. Dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad, keluaran khas ini dijangka menjadi koleksi bernilai tinggi yang meraikan perjalanan seni Dato’ Aishah dalam bentuk fizikal yang klasik dan abadi.
Menjelang konsert ini, Dato’ Aishah kini giat menjalani persiapan dari segi vokal, mental dan fizikal bagi memastikan setiap persembahan mencapai tahap terbaik.
“Konsert ini adalah hadiah saya buat semua peminat yang telah bersama saya sepanjang perjalanan ini. Saya mahu malam itu menjadi satu pengalaman yang benar-benar bermakna, bukan sahaja untuk saya, tetapi untuk semua yang hadir dan berkongsi kenangan bersama.”
Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, En. Shawn Chang menyifatkan konsert ini sebagai satu penghormatan kepada perjalanan seni yang luar biasa.
“Ini bukan sekadar konsert, tetapi sebuah naratif yang hidup di atas pentas. Kami mahu setiap penonton merasai emosi di sebalik setiap lagu, dan pulang dengan pengalaman yang benar-benar meninggalkan kesan.”
Pihak penganjur turut mengumumkan bahawa jualan tiket kini boleh didapati secara rasmi melalui platform baharu, Ticketmelon, menggantikan platform terdahulu.
www.ticketmelon.com/voxnationlive/aishah40
Kategori tiket adalah seperti berikut:
• RM788 – VVIP
• RM488 – VIP
• RM488 – Janji Manismu (Ladies Zone)
• RM388 – Sensation
• RM288 – Paradise
• RM238 – Kasih Kita
• RM198 – Pulanglah
• RM168 – Taman Keabadian





