SOSIAL MEDIA

12 April, 2026

ANSARA MEMPERKASA EKOSISTEM ALUMNI MRSM SEBAGAI PENGGERAK PEMBANGUNAN NEGARA

ANSARA

Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA Malaysia) dengan bangganya menganjurkan Mega Raya ANSARA 2026 (MR2026), salah satu acara Perdana tahunan yang menyatukan ribuan alumni Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) daripada pelbagai generasi di seluruh negara.

Bertemakan *Busana Klasik Melayu*, penganjuran tahun ini bukan sekadar sebuah majlis keraian Aidilfitri, malah berfungsi sebagai platform strategik untuk memperkukuh ekosistem alumni melalui empat tonggak utama: Silaturahim, Penghargaan, Jaringan Strategik, dan Inovasi.

Majlis ini turut mendapat sokongan padu daripada sektor korporat melalui ANSARA Business Community serta rakan penaja daripada sektor perbankan, telekomunikasi, F&B, dan automotif.

Kemuncak majlis akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara ANSARA Malaysia dengan entiti korporat dan akademik, termasuk rakan strategik Islamic Relief Malaysia, Premier Integrated Labs, Sunway Medical Centre, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd dan Authenteqa Sdn Bhd.

Kerjasama ini akan memfokuskan kepada:

• Pembangunan Kerjaya: Program latihan industri bagi graduan muda MRSM.

• Sosioekonomi: Inisiatif pembiayaan perniagaan khas untuk ahli.

• Pendidikan: Penyelidikan dan biasiswa untuk anak-anak ahli ANSARA.

Selain sesi rangkaian profesional, para tetamu akan menyaksikan pentaksiran Takwim ANSARA 26/27 yang akan dibentangkan oleh Presiden ANSARA Malaysia sebagai hala tuju organisasi bagi sesi akan datang dan persembahan istimewa oleh artis tersohor, Imran Ajmain, bagi menyemarakkan suasana nostalgia Aidilfitri.

Presiden ANSARA Malaysia menegaskan kepentingan penganjuran ini dalam konteks pembangunan komuniti:

“Mega Raya ANSARA 2026 bukan sekadar jamuan makan, ia adalah manifestasi kekuatan jaringan alumni MRSM dalam menyumbang kembali kepada pembangunan negara dan kelestarian institusi MARA.”

Majlis yang dihadiri oleh seramai 1,000 hingga 1,500 tetamu, termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN) sebagai Tetamu Kehormat, Ketua Pengarah MARA dan barisan pengurusan tertinggi MARA dan juga tokoh ikonik alumni yang memegang jawatan utama dalam kerajaan, GLC, dan sektor korporat. Turut serta ialah bekas guru dan pesara MRSM yang diraikan secara khas.

ANSARA Malaysia telah diitubuhkan sebagai wadah penyatuan bekas pelajar MRSM, ANSARA kini berkembang menjadi organisasi alumni yang dinamik dengan keahlian mencecah puluhan ribu orang di seluruh Malaysia. ANSARA komited menjadi jambatan antara alumni dan MARA, penggerak modal insan, serta peneraju dalam aktiviti kesukarelawanan dan pembangunan ekonomi Bumiputera.