SHAH ALAM, 5 MAC 2026: Selama tiga tahun menceburkan diri dalam industri muzik rakaman tanah air, tidak pernah terlintas sekalipun di fikiran penyanyi-komposer muda, Najmi Niery untuk menghasilkan sebuah single raya.
Namun, ilham datang secara tiba-tiba dan akhirnya tercetuslah sebuah lagu raya berjudul BEST PART OF RAYA iaitu hasil gubahan melodi dan lirik yang ditulis bersama Brendan Lim Seng Meng serta Amanda Gnai Song Hui daripada MFMF.
Majlis berbuka puasa dan sidang media single raya, BEST PART OF RAYA ini diadakan di AEON Mall Shah Alam dan seramai 30 anak-anak yatim dari Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia dan Pusat Jagaan Budi Bestari turut diraikan sama.
Pemberian duit raya kepada anak-anak di kedua-dua rumah kebajikan ini telah disampaikan Pengurus Kanan Perniagaan Digital dan Komersial Sony Music Malaysia, Puan Aiman Nubailah, Pengurus Kanan Operasi Pusat Beli-belah Aeon Mall, S. Vettrivelu serta Najmi Niery dan Adrianna Cinta.
Bercerita lebih lanjut tentang kisah di sebalik penghasilan single raya, BEST PART OF RAYA ini, Najmi mendedahkan bahawa lagu itu telah ditulis bersama MFMF sekitar October 2025.
“Mula-mula, kita memang tak tahu nak tulis pasal apa. Tapi, setelah berbincang, kita akhirnya mengambil keputusan untuk menulis lagu ini berdasarkan surat cinta di hari raya tapi dalam bentuk lagu.
“Raya merupakan hari kemenangan buat seluruh umat Islam selepas sebulan berpuasa, menahan lapar dan dahaga serta menjauhi segala perkara yang dilarang Tuhan. Ia juga merupakan detik istimewa untuk diraikan bersama insan tersayang.”
“Justeru, lagu ini dihasilkan sebagai sebuah ‘surat cinta’ dalam bentuk lagu, menggambarkan luahan hati sepasang kekasih yang saling merindui dan tidak sabar untuk bertemu pada hari Raya,” jelasnya.
Sementara itu, Adrianna Cinta pula berkata, sebelum ini, dia sudah pernah berjumpa dengan Najmi di beberapa acara nyanyian, namun tidak pernah terfikir bahawa mereka akan bekerjasama dalam sebuah karya lagu.
“Tapi, kami berdua memang memiliki vibes muzik yang sama. Maksud saya, vibes muzik, suara dan nyanyian ala-ala Pop R&B Indonesia.
“Najmi memang ke arah itu dan begitu juga dengan saya. Jadi, apabila kami digabungkan bersama dalam BEST PART OF RAYA ini, ia memang satu kombinasi yang cukup baik dan sesuai,” katanya.
BEST PART OF RAYA yang diterbitkan Naj&Co, Sony Music Entertainment Malaysia serta Malika Entertainment & Management.




