SOSIAL MEDIA

10 March, 2026

EBBY YUS, USOP GAHAI DAN FUAD NASIR ‘’JOM BALIK RAYA’’ SUNTIKAN LOGHAT NEGERI SEMBILAN

JOM BALIK RAYA

KUALA LUMPUR – Suasana Aidilfitri tahun ini bakal diserikan dengan kolaborasi istimewa antara pelawak popular, Ebby Yus dan 2 jejaka iaitu Usop Gahai & Fuad Nasir menerusi single terbaharu berjudul ‘Jom Balik Raya’.

Menurut komposer lagu ini, Pakya, idea asal bermula daripada Fuad Nasir dan ianya mendapat sokongan daripada Luncai Emas yang bertindak selaku pengedar digital dan pentadbir hakcipta bagi karya – karya ciptaan Pakya sebagai komposer eksklusif.

“Pihak Luncai Emas memang mahukan saya memperbanyakkan lagu untuk artis komedi. Kebetulan, Usop & Fuad adalah finalis program Mencari Sepahtu Yang Hilang di mana saya bertindak sebagai juri, manakala Ebby Yus pula adalah tenaga pengajar mereka. Jadi, saya gabungkan semula cikgu dan murid ini dalam satu lagu,” jelas Pakya.

Pakya turut mendedahkan sisi tersembunyi Ebby Yus yang mungkin tidak diketahui ramai. “Ramai yang tak tahu Ebby Yus sebenarnya boleh menyanyi dengan merdu, cuma beliau kurang pendedahan dari segi muzik sebelum ini,” tambahnya lagi. 

Bagi Ebby Yus, beliau sangat teruja apabila digandingkan dengan Usop & Fuad kerana keserasian yang sedia ada serta latar belakang mereka yang sama-sama berasal dari Negeri Sembilan.

“Saya seronok dapat bersama mereka. Selain faktor kami orang Negeri Sembilan, saya memang terlibat di belakang tabir sewaktu mereka bermula dulu. Saya rasa sudah tiba masanya dialek Negeri Sembilan diangkat semula memandangkan penyanyi dialek ini sudah semakin tiada,” ujar Ebby.


Sentuhan lirik lagu ini turut dikemaskini secara kolektif oleh Ebby Yus bersama Fuad dan Usop bagi memastikan ia benar-benar mantap dan dekat di hati pendengar.

Fuad Nasir menyifatkan peluang bekerjasama dengan ‘otai’ yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai satu penghormatan besar. Menurutnya, lagu ini sengaja menggunakan loghat 'Nogori' untuk menonjolkan kelainan serta menyuntik elemen nasihat secara bersahaja. Fuad Nasir merupakan seorang content creator terkenal di aplikasi Tiktok.

“Kami mahu angkat budaya bahasa kami supaya nampak lebih menarik. Walaupun melodinya ceria, ada elemen nostalgia dan sedikit nasihat yang disampaikan dalam nada bergurau,” kata Fuad. 

Usop Gahai pula menambah bahawa ilham lirik lagu ini diambil daripada pelbagai ragam perantau yang ingin pulang ke kampung halaman. Beliau juga menegaskan bahawa kehadiran Ebby Yus amat penting dalam memperkukuhkan seni hiburan di persada seni. Usop juga merupakan content creator dan pernah berkolaborasi bersama Fuad Nasir sebelum ini.

“Harapan saya agar lagu ini menjadi siulan semua golongan dan memberi peringatan kepada anak-anak supaya tidak melupakan ibu bapa yang sedang merindu di kampung,” jelas Ebby Yus.

Secara keseluruhannya, ‘Jom Balik Raya’  bukan sekadar lagu bermusim dan bukan sekadar sebuah naskhah hiburan kosong, tetapi ia adalah simbolik kepada kemenangan dan kegembiraan selepas sebulan berpuasa. Melalui gandingan mantap Ebby Yus, Fuad Nasir dan Usop Gahai, lagu ini diharap dapat menyuntik semangat buat seluruh rakyat Malaysia untuk pulang meraikan Syawal dengan penuh kesyukuran.

Bagi peminat yang ingin merasai sendiri kemeriahan dialek 'Nogori' dan kehangatan suasana raya, jangan lepaskan peluang untuk menonton video muziknya di saluran YouTube rasmi bermula 6 Mac ini, manakala lagu ini boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 13 Mac depan. Sama-sama kita jadikan Aidilfitri kali ini lebih bermakna dengan nostalgia dan kasih sayang yang tiada penghujung.