SOSIAL MEDIA

06 February, 2026

PROGRAM MENARIK SAMBUTAN AIDILFITRI 2026 PASTI MERIAH DENGAN PESTA RAYA TVS


TVS terus memperkukuh komitmennya sebagai penyiar nasional yang dinamik dengan memperkenalkan Pesta Raya TVS serta barisan kandungan khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, merangkumi drama bersiri popular dan program khas yang diraikan bersama penonton di seluruh negara. 


Pengumuman ini dibuat menerusi Sidang Media Rancangan TVS 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur, sekali gus mencerminkan usaha berterusan TVS dalam menyajikan kandungan berkualiti tinggi hasil kolaborasi strategik bersama penggiat seni dan kreatif tempatan, di samping mengetengahkan jalan cerita menarik serta barisan pelakon berkaliber. 


Menurut Ketua Saluran TVS, Encik Mohd Aizal bin Ibrahim, pengenalan kandungan terbaru tahun ini merupakan sebahagian daripada perancangan strategik TVS untuk menawarkan rancangan yang segar, relevan dan dekat di hati penonton pelbagai lapisan masyarakat.


 

TVS sentiasa komited untuk membawakan kandungan yang bukan sahaja menghiburkan, malah bermakna sebagai medium penceritaan yang mencerminkan realiti, nilai kekeluargaan serta kepelbagaian budaya masyarakat,” katanya. 


Antara kandungan utama yang diumumkan ialah drama ikonik Gerak Khas 2.0”, yang bakal bersiaran mulai 23 April 2025. Diterajui oleh Datuk Yusof Haslam, drama ini mengembalikan francais popular tersebut dengan jalan cerita yang lebih banyak aksi  dan mencabar. 

TVS turut memperkenalkan drama “Siti in the City” yang akan mula bersiaran pada 21 April 2025. Dibintangi Sweet Qismina, Adam Lee, Puteri Aisyah, Ameer Dawi, Sharifah Zarina dan Michelle Lungan, drama ini mengangkat kisah kehidupan urban moden dengan sentuhan emosi dan realistik. 

Selain itu, drama “Halalkan Aku”, yang menampilkan Nafiz Muaz, Aniq Durar, Jihaa Sham, Lana Nodin dan Nik Rifaie, yang mengupas konflik keluarga dan perkahwinan tanpa rela turut diperkenalkan. Drama ini akan bersiaran pada Jun 2026. 

TVS juga membawakan drama bersiri “Boneka”, dibintangi oleh Atiq Azman, Marc Benji, Nafiez Zaidi, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Aleeza Kasim, Sera Melissa, Nina Smith dan Rahim Jailani. 

Manakala drama “The Trap”, menampilkan Shaza Bae, Aidit Noh, Ali Reza dan Fian Ali, yang dijangka menarik perhatian penonton menerusi kisah taktik penipuan siber dan jenayah dalam talian. 

 

Pesta Raya & Program Signature Aidilfitri 

Bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri, TVS turut memperkenalkan Pesta Raya TVS yang diserikan dengan pelbagai program khas, antaranya: 


•       3 Mak Dara Musim 2 – dibintangi Raja Azura, Rita Rudaini dan Sharifah Shahora 

•       Inspirasi Duniamu & Pesta Raya  

•       Istimewa Anggun: Seri Aidilfitri 

•       Filem pendek Raya: Raya Paling Epik   

•       MV Raya Paling Epik 

 

Menurut Encik Aizal, barisan program khas ini dirangka untuk mengukuhkan nilai kekeluargaan dan kebersamaan yang menjadi teras sambutan Aidilfitri. 

 

Menerusi Pesta Raya dan program khas ini, TVS berhasrat untuk terus menjadi platform yang menyatukan keluarga dan komuniti, di samping memberi ruang kepada bakat kreatif tempatan untuk terus diketengahkan,” katanya. 

TVS akan terus memperkukuh peranannya sebagai penyiar nasional dengan menampilkan kandungan tempatan berkualiti tinggi, memperluas kerjasama strategik industri serta memanfaatkan platform televisyen dan digital secara menyeluruh demi memenuhi keperluan penonton masa kini. 

-TAMAT-