Jakarta, Indonesia – 21 Februari 2026 – Selepas hampir 13 tahun menyepi daripada dunia nyanyian, penyanyi dan pencipta lagu Lucky Joe kini kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan single terbaharu berjudul “Senyum Raya”.
Pelancaran rasmi lagu ini menandakan kemunculan semula beliau dalam industri muzik, bertepatan dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-45 pada tahun 2026.
Lucky Joe memulakan perjalanan seni nyanyiannya sejak tahun 2000 hingga 2012 dengan menghasilkan 9 single dalam genre pop, dangdut dan poco-poco. Namun, selepas mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia nyanyian dan lebih aktif di belakang tabir sebagai pengurus artis, penulis skrip drama TV, drama TikTok, sitkom serta terlibat dalam bidang hartanah dan pengurusan penerbitan (event management).
Walaupun menyepi sebagai penyanyi, bakat dan sentuhan kreatifnya tidak pernah terhenti. Sepanjang tempoh tersebut, Lucky Joe banyak mencipta lagu yang dijual kepada beberapa label rakaman. Malah, beberapa artis terkenal pernah merakamkan lagu ciptaannya, walaupun namanya sebagai pencipta tidak selalu dipublikasikan.
Kini, selepas hampir 13 tahun vakum, Lucky Joe memilih bulan kelahirannya sebagai momen istimewa untuk menghadiahkan karya baharu buat diri sendiri dan para peminat. Lagu “Senyum Raya” dilancarkan pada 21 Februari 2026 dan boleh dinikmati di 11 platform muzik digital antarabangsa.
“Senyum Raya” merupakan sebuah lagu raya berkonsepkan pop yang ringkas, segar dan mudah diingati. Lagu ini dicipta dan disiapkan dalam tempoh hanya 20 hari, termasuk proses pengurusan instrumen muzik.
Lucky Joe sengaja menghasilkan lagu raya yang lebih pendek dan sederhana agar mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat – daripada Gen Z hingga golongan dewasa.
“Senyum Ayah Ibu kala bertemu,
Raya tiba bertemu family di kampung…
Jangan bersedih kerana Raya hapuskan dosa,
Saling bermaafan kosong-kosong, Aidilfitri hari mulia.”
Menurut Lucky Joe, lagu ini membawa mesej keceriaan, keikhlasan memohon maaf serta kehangatan suasana Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman. Ia mengangkat nilai kasih sayang, kemaafan dan kesyukuran kepada Yang Maha Esa.
Single ini diterbitkan oleh Mahardika Production, dengan sentuhan susunan muzik (arrangement) oleh Seefar, dan diurus dibawah label independen DragonBeat Records. Ia diedarkan oleh Nadayana Music sebagai music publisher & Rentak Sejuta sebagai rakan promosi.
Lucky Joe menyifatkan kemunculan semula ini sebagai titik baharu dalam perjalanan seninya.
“Ini adalah hadiah untuk diri saya dan juga untuk semua yang merindukan warna muzik yang berbeza di bulan Ramadan dan Syawal. ‘Senyum Raya’ adalah tanda saya kembali berkarya sebagai penyanyi dan pencipta lagu.”
Dengan semangat baharu dan pengalaman luas di dalam dan luar pentas, Lucky Joe bersedia untuk kembali aktif dalam industri muzik dan terus menghasilkan karya yang dekat di hati masyarakat.



