SOSIAL MEDIA

14 January, 2026

“METALVERSE” BAKAL GEMPUR KUALA LUMPUR APRIL INI MENAMPILKAN ANTARANYA MISS MAY I & THE RED JUMSUIT APPARATUS

METALVERSE


Selepas sekian lama menunggu, peminat muzik metal dan punk tempatan akhirnya boleh menarik nafas lega. Malaysia bakal mencatat sejarah baharu apabila Metalverse Music Festival 2026, festival metal antarabangsa pertama berskala besar di negara ini, diumumkan bakal berlangsung selama dua hari pada 30 April dan 1 Mei 2026 di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur.


Bagi komuniti muzik berat yang selama ini bergerak dalam ruang tersendiri, kehadiran Metalverse bukan sekadar sebuah festival, sebaliknya simbol pengiktirafan terhadap budaya yang sudah lama berakar di Malaysia.


Festival sulung ini akan menampilkan enam artis antarabangsa, dengan empat nama besar telah disahkan setakat ini iaitu Miss May I, The Red Jumpsuit Apparatus, Blessthefall dan A Skylit Drive  barisan yang cukup untuk membuatkan peminat genre metalcore dan post-hardcore tidak senang duduk.



Antara yang paling mencuri tumpuan ialah Miss May I, kumpulan metalcore dari Ohio, Amerika Syarikat yang terkenal dengan persembahan bertenaga dan agresif, selain reputasi mereka sebagai band ‘festival-friendly’ yang sering mencetuskan mosh pit tanpa henti.


Tidak kurang hebatnya ialah The Red Jumpsuit Apparatus, band rock alternatif yang mencipta fenomena global menerusi lagu Face Down, sebuah karya berstatus multi-platinum yang sehingga kini kekal relevan dan menjadi siulan peminat generasi berbeza.


Turut memeriahkan pentas ialah A Skylit Drive, kumpulan post-hardcore dari California yang dikenali dengan vokal emosional dan susunan muzik dramatik, selain Blessthefall yang kembali aktif selepas tempoh menyepi, menerusi album kemunculan semula mereka, Return to Form, yang dilancarkan pada September lalu.



Pengasas Vox Nation Live selaku penganjur, Shawn Chang, menyifatkan Metalverse sebagai usaha mengisi kekosongan dalam landskap festival muzik tempatan yang sebelum ini lebih tertumpu kepada genre pop, indie dan elektronik.


“Kita sudah ada pelbagai festival besar seperti Good Vibes Festival, Rock The World dan Housboom. Namun Malaysia belum pernah mempunyai festival metal yang menampilkan barisan artis antarabangsa secara menyeluruh dan berskala besar,” katanya.



Menurut beliau, komuniti metal dan punk tempatan sebenarnya cukup matang, aktif dan setia, namun masih kekurangan platform yang benar-benar memberi fokus kepada genre berkenaan.


“Metalverse diwujudkan bagi mengiktiraf budaya ini, selain menjadi jambatan yang menghubungkan peminat tempatan dengan dunia metal dan punk antarabangsa,” katanya ketika sidang media pengumuman festival itu di Restoran Rebung, Kuala Lumpur, pada 12 Januari lalu.


Pemilihan Mega Star Arena Kuala Lumpur sebagai lokasi penganjuran bukan dibuat secara sembarangan. Menurut Shawn, venue itu menawarkan keseimbangan terbaik dari segi kapasiti, sistem bunyi berkualiti tinggi serta akses mudah kepada peminat dari seluruh Lembah Klang dan luar kawasan.



“Kami mahu peminat menikmati pengalaman festival yang selesa, selamat dan berkualiti tanpa menjejaskan tenaga serta intensiti muzik metal itu sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, Metalverse tidak melupakan akar tempatan. Selain dua kumpulan indie jemputan khas, Midnight Fusic dan Spooky Wet Dreams (Masih dalam perancangan), penganjur turut memberi ruang kepada barisan band tempatan yang akan diumumkan secara berperingkat.


Nama-nama seperti Bunkface, OAG, Massacre Conspiracy, Patriots, SOG, No Time For Silence, Jemson dan beberapa lagi band lain membuktikan bahawa scene muzik berat Malaysia bukan sahaja hidup, malah mempunyai kepelbagaian dan identiti tersendiri.


Kehadiran mereka bukan sekadar sebagai pembuka acara, sebaliknya menjadi sebahagian daripada naratif besar Metalverse dalam mengangkat martabat muzik tempatan ke pentas lebih luas.


Metalverse turut disasarkan untuk menjadi acara tahunan dan platform utama kepada peminat muzik metal dari Malaysia serta rantau ini. Malah, penganjur melihat festival ini sebagai langkah awal untuk meletakkan Malaysia sebagai salah satu hab festival muzik metal dan punk di peringkat serantau.


Bagi peminat, Metalverse membuka peluang menikmati persembahan artis antarabangsa tanpa perlu ke luar negara, sekali gus mengukuhkan ekosistem muzik berat tempatan.


Tiket untuk Metalverse Music Festival 2026 boleh didapati menerusi https://www.ticketmelon.com.