Kuala Lumpur, 28 Januari 2026 - Universal Music Malaysia (UMMY), bersama L.Y. Music Factory dan Faithful Music, dengan bangganya melancarkan edisi pertama “Bintang Uni-Verse”. Acara ini dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Binti Azman, menandakan langkah strategik dalam menghubungkan industri muzik dengan pendidikan.
Bintang Uni-Verse merupakan sebuah program pencarian bakat yang menawarkan platform bagi pelajar-pelajar universiti untuk menonjolkan bakat mereka dalam bidang nyanyian. Bukan sekadar program carian bakat, program ini juga bertujuan untuk mendedahkan pelajar-pelajar universiti dengan pengalaman pembelajaran secara langsung dalam industri hiburan tanah air.
Majlis pelancaran yang berlangsung di pejabat Universal Music Malaysia turut menyaksikan penandatanganan kerjasama strategik antara UMMY dan lima universiti terkemuka Malaysia; Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM) & Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Kim Lim, Pengarah Urusan UMMY, berkongsi pandangannya tentang peluang yang ditawarkan oleh program ini, “Peserta akan memperoleh pendedahan, bimbingan, dan pengalaman industri yang sangat bernilai. Ini adalah platform di mana bakat bertemu peluang dan harapan terbesar kami melalui inisiatif ini adalah untuk memperkukuh jaringan strategik antara universiti-universiti awam di Malaysia dengan industri muzik tempatan.”
“Kami berharap Bintang Uni-Verse menjadi batu asas untuk menemui dan membina bakat Malaysia, menginspirasi kreativiti, dan membentuk generasi artis seterusnya, sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa,” tambah beliau.
L.Y. selaku Pengarah Kreatif L.Y. Music Factory juga berkongsi pandangan beliau tentang program ini, “Bintang Uni-Verse bukan sekadar pertandingan. Ia adalah platform yang menemui dan membina generasi profesional muda dengan personaliti kukuh dan potensi jangka panjang. Apa yang menjadikan program ini istimewa ialah elemen pemindahan ilmu, di mana pemain industri berkongsi pengalaman sebenar dengan pelajar. Harapan saya, Bintang Uni-Verse akan menjadi jambatan bermakna antara proses pembelajaran dan pekerjaan sebenar dalam memperkasakan Industri Muzik.”
Acara ini turut dimeriahkan dengan persembahan daripada artis-artis bawah naungan Universal Music Malaysia seperti Nuha Bahrin (EMI), Ismail Izzani (DefJam Malaysia), dan Mohsein Kush (Faithful Music), yang mempamerkan kreativiti serta kecemerlangan muzik tempatan.
Mohsein Kush berkongsi pesanan untuk para peserta, “Untuk semua yang menyertai pencarian bakat Bintang Uni-Verse, berikan 100% usaha dan kerja keras. Sentiasa ada jalan untuk mereka yang tidak pernah berputus asa. Semoga berjaya dan good luck!”
Nuha Bahrin pula menambah, “Harapnya Bintang Uni-Verse boleh menjadi platform yang membantu peserta menunjukkan bakat mereka, meneroka diri sendiri, dan membina keyakinan dalam muzik. Semoga mereka juga dapat memberi impak positif dalam industri kelak.”
Dengan inisiatif ini, Bintang Uni-Verse memperkasakan bakat muda tempatan dengan pengalaman profesional industri, pengiktirafan di peringkat global, dan peluang untuk mewakili Malaysia di pentas serantau dan antarabangsa.
Maklumat lanjut mengenai tarikh uji bakat, jadual jelajah kampus, dan garis panduan penyertaan akan diumumkan tidak lama lagi melalui platform rasmi Universal Music Malaysia.