SOSIAL MEDIA

07 January, 2026

CRADLE: ROCK YANG ENGGAN DISERAGAMKAN

cradle


Dalam landskap muzik tempatan yang semakin dipenuhi formula dan pelabelan genre, Cradle muncul sebagai sebuah entiti yang sukar ditakrifkan secara mudah. Reaksi terhadap muzik mereka juga pelbagai — ada yang teruja, ada yang keliru, malah tidak kurang menyangka Cradle ialah band dari luar negara.


Menurut Addy Rasidi, gitaris utama Cradle, sejak kebelakangan ini beliau menerima banyak mesej peribadi daripada pendengar yang tertarik dengan persona serta bunyi muzik yang dibawa band tersebut.


“Ramai kata sound kami macam band luar negara. Bila kami beritahu ini band lokal, mungkin sebab kami memang banyak dengar muzik luar. Pengaruh itu masuk dalam diri dan akhirnya membentuk bunyi Cradle yang orang rasa ‘lain’,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, 6 Januari lalu.


Cradle diterajui oleh Addy Rasidi (gitar), Eiz Mohd (vokal), Zul Wahab (bass) dan Adha Lizam (dram). Keunikan mereka bukan sekadar terletak pada bunyi, tetapi pada latar belakang ahli yang datang daripada generasi berbeza — satu pertembungan era muzik yang membentuk identiti kolektif Cradle.


“Saya datang daripada era 90-an, umur pun dah 50. Drummer pula dibesarkan dengan muzik tahun 2000-an. Ahli lain pun ada rujukan muzik masing-masing. Gen X, milenial bila semua ini digabungkan, itulah Cradle,” jelas Addy.



Gabungan ini menjadikan Cradle sukar diletakkan di bawah satu acuan genre tertentu. Namun satu perkara kekal jelas: akar mereka tetap rock.


“Nak cakap satu gaya spesifik memang susah. Tapi bau rock itu memang ada. Bunyi gitar, drum itu masih rock. Cuma kami tak mahu kedengaran seperti sesiapa,” katanya.


Bagi Cradle, rock bukan semata-mata distorsi berat atau tempo agresif. Ia lebih kepada karakter bunyi dan kejujuran ekspresi.


“Rock itu tentang gitar, drum dan tenaga. Kalau gitar terlalu ‘clean’, kadang-kadang bunyi jadi kosong. Jadi bagi kami, rock tetap rock cuma versi kami sendiri,” tambah Eiz. Pendekatan ini menjadikan bunyi Cradle hari ini lebih matang dan padat berbanding karya terdahulu. “Sound sekarang lebih ‘compact’. Jauh bezanya,” katanya ringkas.


Sejak album pertama, Cradle sering dilabel sebagai band alternative rock. Namun persepsi itu tidak sepenuhnya mencerminkan niat sebenar mereka.


“Album pertama dulu orang anggap heavy alternative rock. Tapi kalau dengar betul-betul, ia tak fokus ke situ sepenuhnya. Masa itu memang ramai band ke arah sound sama, tapi kami tetap keluarkan lagu seperti Sanubari,” jelas Addy.


Situasi tersebut meletakkan Cradle di persimpangan dilihat sebagai band alternatif, namun menghasilkan lagu yang tidak sepenuhnya menepati jangkaan genre.


“Kami sendiri masa itu agak keliru. Lagu-lagu lain memang lagu kami, tapi orang cuba letakkan kami dalam satu kotak.”



Kini, Cradle lebih yakin dengan arah sendiri. Pemilihan single terbaharu, Ayuh, bukan dibuat secara rawak, sebaliknya sebagai satu pernyataan identiti.


“Kami sendiri tentukan apa yang kami rasa betul. Kami ‘push’ Ayuh sebagai lagu pertama sebab kami tak mahu orang kenal Cradle sebagai band ballad.”


Walaupun tidak menolak elemen balada, Cradle enggan terperangkap dalam persepsi tersebut. “Kami ada lagu ballad, ya. Tapi kami band rock. Rock yang berbeza.”


Dalam industri muzik yang sering menuntut keseragaman demi pasaran, Cradle memilih laluan yang lebih jujur — menjadi diri sendiri walaupun sukar untuk dijelaskan atau dikategorikan.


“Kami tak nak sound macam sesiapa. Kami nak orang dengar dan terus cakap, ‘Oh, ini Cradle.’ Alhamdulillah, itu yang kami cari selama ini.”


Dan mungkin di situlah kekuatan sebenar Cradle sebuah band rock tempatan yang tidak meniru, tidak mengejar label, tetapi membina identiti sendiri melalui gabungan pengalaman, generasi dan keberanian untuk berbeza.



Sebagai bukti kekuatan jenama mereka, album Hela Nafasku kini menjadi rebutan kolektor dan peminat muzik. Dicetak terhad kepada 300 keping dan dijual secara dalam talian, album tersebut kini semakin susut di pasaran.


“Alhamdulillah, sambutan album ini di luar jangka. Insya-Allah kami akan ulang cetak memandangkan siri jelajah Cradle yang dirancang sebelum ini masih belum bermula,” ujar Juria Banding, Pengurus Projek Rasa Music.