5 dekad BLUES GANG membuktikan mereka masih relevan dalam industri musik tanah air. Tanggal 9 Ogos konsert " APO NAK DIKATO " membuktikan mereka masih hebat dalam dunia BLUES mereka.
Semangat mereka memberikan penghormatan kepada legasi musik yang telah mereka bina, bermula dari era kegemilangan hinggalah ke masa kini. Lebih 1,000 peminat setia yang membanjiri lokasi persembahan. Konsert ini merupakan simbolik kepada perjalanan panjang kumpulan Blues Gang dalam dunia muzik selama lima dekad.
Mengambil ilham daripada album ikonik mereka yang dilancarkan 40 tahun lalu, konsert ini turut membawa nama yang sama, “Apo Nak Dikato”. Bagi Blues Gang, ini bukan sekadar sebuah konsert biasa, tetapi satu perjalanan nostalgia dan penghargaan kepada peminat setia yang telah bersama mereka sepanjang 50 tahun ini.
Selain itu, malam tersebut turut menyaksikan gabungan medley lagu-lagu seperti “Jumpo Kawan Lamo”, “Sakit Sakit Sakit”, dan “Cinta Oh Cinta” yang mendapat sorakan gemuruh dari penonton. Persembahan diteruskan dengan lagu-lagu yang tidak kurang hebatnya seperti “Ku Tetap Menanti”, “Ceritaku”, “Panasnya Hari Ini”, dan “Panglima Awang Hitam”.
Apa yang membuatkan malam tersebut lebih istimewa ialah kehadiran Alex Terry, yang terbang khas dari Australia, serta Shasya Zainal, yang turut menyampaikan beberapa lagu dengan penuh bertenaga. Gabungan vokal mereka dengan Blues Gang nyata mencuri tumpuan dan menambahkan kehangatan konsert ini.
Penonton yang hadir bukan sahaja terhibur tetapi juga turut serta bernyanyi bersama, terutama sekali ketika lagu “Apo Nak Dikato” dan “Oh Mak Siti” dimainkan. Aura yang dibawa oleh Blues Gang di atas pentas nyata masih utuh, memberikan persembahan bertenaga yang meninggalkan kesan mendalam kepada setiap yang hadir.
Konsert berakhir dengan penuh gemilang apabila Blues Gang mengajak semua yang hadir untuk menyanyi bersama dalam lagu penutup, “Oh! Mama Saya Mahu Kahwin”. Dengan itu, konsert yang penuh makna ini meninggalkan memori yang pastinya akan dikenang oleh setiap peminat yang hadir, menandakan satu lagi detik bersejarah dalam perjalanan seni kumpulan Blues Gang.



















