SOSIAL MEDIA

11 March, 2024

KOLABORASI ISTIMEWA VENUS DAN UNIC REGGAE "RIA RAMADHAN"


Kuala Lumpur, 7 Mac 2024 - Satu catatan sejarah industri hiburan tanahair terlakar hari ini dengan pelancaran lagu kolaborasi antara kumpulan VENUS dan UNIC. 

 

Buat julung-julung kalinya, kumpulan pop reggae VENUS bergabung dengan kumpulan nasyid UNIC, untuk penghasilan lagu yang penuh inspirasi, "RIA RAMADHAN". 

 

VENUS dianggotai oleh bakat-bakat yang tidak asing lagi dalam arena muzik Malaysia seperti Adi 6ixthsense sebagai ketua kumpulan dan pemain gitar kedua, Ayoy 6ixthsense sebagai pemain bass, Lan Jinbara sebagai gitaris utama, Apiz sebagai pemain dram, dan Puteri Khareza sebagai penyanyi,  berkolaborasi dengan UNIC, sebuah kumpulan nasyid yang telah bertapak dalam industri muzik tempatan selama 20 tahun.

 


Kolaborasi ini adalah yang pertama dalam sejarah muzik Malaysia antara artis nasyid dan band pop reggae, di mana lagu "RIA RAMADHAN" menyatukan unsur-unsur muzik pop reggae dan burdah. Gabungan ini mencipta satu pengalaman mendengar yang unik dan menyegarkan bagi peminat kedua-dua genre muzik.

 


Adi 6ixthsense selaku ketua kumpulan VENUS berkata, "Kami sangat gembira dapat bekerjasama dengan UNIC dalam projek ini. Kolaborasi ini membuktikan bahawa muzik tidak mengenal sempadan dan dapat menyatukan pelbagai genre muzik". 

 

UNIC pula menyambut baik kolaborasi ini sebagai satu platform untuk menyampaikan muzik nasyid kepada lebih ramai pendengar. "Kami yakin bahawa melalui lagu 'RIA RAMADHAN', mesej-mesej positif dalam muzik nasyid dapat disampaikan kepada lebih ramai orang dari pelbagai lapisan masyarakat," kata wakil dari UNIC. "Lagu 'RIA RAMADHAN' yang dilancarkan hari ini boleh dinikmati oleh peminat muzik di seluruh dunia", tambah beliau lagi. 

 


Ketika majlis pelancaran yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur ini, para hadirin yang terdiri daripada wakil-wakil media, para pengiat industri hiburan dan para tetamu telah diperdengarkan dengan lagu "RIA RAMADHAN"  yang dipersembahkan secara langsung dan rata-rata memberikan maklum-balas yang sangat memberansangkan. 

 

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar kolaborasi yang mengagumkan ini dan terus mengikuti perkembangan terkini mengenai VENUS dan UNIC melalui saluran-saluran media massa dan akaun-akuan media sosial mereka.A