KUALA LUMPUR, 26 MAC 2024 - Kisah perjalanan hidup pemain esukan terkemuka negara, Muhammad Faris Zakaria atau lebih dikenali sebagai Soloz, bakal menjadi inspirasi melalui sebuah filem terbaru, Game of Life. Filem tersebut akan membawa penonton menyelami pengalaman Soloz yang menempuh pelbagai cabaran sehingga berjaya menempa nama sebagai antara pemain profesional terkenal dan berjaya dalam arena permainan video mudah alih, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).
Game of Life turut memaparkan persaingan sengit antara TheBoss dengan sebuah pasukan dari Singapura, Vengeance, yang akan mengajar Soloz dan rakan-rakan sepasukannya tentang nilai-nilai persahabatan, semangat kesukanan dan persaingan sihat yang menjadi batu asas kepada kejayaan mereka.
Pelancaran filem terbabit disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato' Kamil Othman dalam satu majlis berbuka puasa dan sidang akhbar yang diadakan di Connexion Conference & Events Centre, Bangsar South hari ini. Turut hadir di majlis yang sama ialah barisan pelakon yang terdiri daripada Hun Haqeem, Ikmal Amry, Jaa Suzuran, Jiha Sham dan Hafeez Mikail.
“Saya yakin filem Game of Life ini mempunyai potensi besar untuk menjadi sebuah filem tempatan yang berjaya," kata Kamil, menyentuh tentang populariti permainan video mudah alih MLBB yang mencatat purata pemain seramai 5.2 juta orang sehari di seluruh dunia. Menurut beliau, Game of Life berpotensi melonjak ke persada antarabangsa berdasarkan jumlah pemain di seluruh dunia yang mencatat purata 85 juta orang setahun dari tahun 2021 hingga 2023, memetik butiran daripada laman esukan Esports GG.
Game of Life akan diarahkan oleh Syafiq Yusof, seorang pengarah yang terkenal dengan karya-karya sebelum ini seperti trilogi Abang Long Fadil dan Polis Evo 3. Diterbitkan oleh Key Bilions Sdn Bhd, filem tempatan pertama yang bertemakan esukan itu dianggarkan akan mengambil masa selama 12 bulan untuk disiapkan dan memakan kos berjumlah sekitar RM8 juta. Turut bekerjasama dalam penghasilan filem tersebut ialah Frame Motion Studio untuk kesan khas manakala Skop Productions memikul tanggungjawab sebagai pengedar rasmi.
Menurut Syafiq, beliau percaya filem ini yang diinspirasikan daripada kisah perjalanan hidup Soloz akan menggamit perhatian anak anak muda dalam bidang gaming dan esukan. MLBB merupakan antara permainan video mudah alih paling popular bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia dengan jumlah muat turun global yang mencecah lebih daripada 1 billion.
Sebuah filem yang akan menelan belanja yang agak tinggi namun di bawah arahan Syafiq Yusof yang menjanjikan satu kelainan dalam karya nya nanti pasti akan memberikan impak yang maksima seperti arahan filem filem yang sebelumnya.
Penghasilan filem Game of Life ini dapat direalisasikan setelah Key Billions memeterai perjanjian penggunaan hak cipta bersama pencipta permainan video mudah alih MLBB.
Menurut Yumi Wong, pemilik bersama Key Billion berkata " kerjasama ini bakal memberikan kefahaman bahawa permainan ESport ini bukan hanya satu permainan bah kan ianya setara dengan apa sahaja permianan berbentuk sukan yang menyihatkan serta menjana pendapatan yang tinggi".
Game of Life dijangka bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada pertengahan Januari 2025.
Mengenai Mobile Legends: Bang Bang
Mobile Legends: Bang Bang adalah permainan Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) mudah alih yang paling popular di seluruh dunia yang membawakan pelbagai komuniti melalui kerjasama dan strategi. Dengan lebih daripada 1.465 bilion pemasangan dan 110 juta pengguna aktif bulanan, permainan yang memenangi pelbagai anugerah ini merupakan antara 10 permainan yang paling banyak dimainkan di lebih daripada 80 negara. Dengan capaian yang meluas di seluruh rantau Asia Pasifik, permainan pelbagai pemain ini tersedia di 139 negara dengan keberadaan di pentas esukan antarabangsa.
Mengenai Mobile Legends: Bang Bang Esports
Dilancarkan pada 2017, Mobile Legends: Bang Bang Esports adalah sebuah platform kepada pemain untuk mencapai cita-cita mereka untuk menjadi atlet esukan atau untuk mencari peluang di dalam ekosistem esukan antarabangsa. MLBB Esports kini telah berkembang kepada beberapa liga, termasuklah siri MPL di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Amerika Latin.
Mengenai MOONTON Games
Ditubuhkan pada 2014, MOONTON Games adalah syarikat penerbitan permainan video yang fokus kepada pembangunan permainan, penerbitan dan esukan. Dengan lebih 1500 pekerja di serata dunia, MOONTON beroperasi di Indonesia, Malaysia, Singapura, Filipina, Amerika Latin, Hong Kong dan Cina. Ia telah berjaya melancarkan beberapa judul permainan telefon berprofil tinggi dan telah membina hubungan jangkamasa panjang Bersama-sama kerajaan dan organisasi esukan di lebih 30 negara serata dunia. Mobile Legends: Bang Bang adalah judul permainan terbesar, dan kini mendahului genre multiplayer online battle arena (MOBA) mudah alih di dunia.
MOONTON Games yang berpangkalan di Shanghai, China. Berdasarkan statistik Esports Charts, MLBB mencatat jumlah penonton melebihi 530 juta orang pada tahun 2023 menjadikannya permainan video mudah alih paling ramai ditonton tahun lepas.
Mengenai Key Billions Sdn Bhd
Key Billions merupakan sebuah pemain dinamik baharu dalam industri pembikinan filem Malaysia. Ditubuhkan oleh pasukan profesional yang berpengalaman, Key Billions menggabungkan perspektif baharu dengan pengetahuan dan pengalaman bersama dalam seni dan perniagaan filem. Komited untuk meneroka dan mencabar batasan-batasan dalam pembikinan karya kreatif berdasarkan penghasilan naratif yang menarik, Key Billions berhasrat untuk menjadi sebuah kuasa besar dalam dunia hiburan.






