KUALA LUMPUR - ‘Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity’ yang telah berlangsung pada 26 Januari lalu di Zepp Kuala Lumpur memperlihatkan satu persembahan selama 2 jam penuh bertenaga dengan dihadiri lebih dari 2000 peminat menyaksikan kumpulan lagenda Sweet Charity beraksi.
“Saya berasa sangat bangga dan berterima kasih kerana peminat masih setia menyokong kami. Bila orang sebut Sweet Charity, orang ingat PAPA ROCK dan juga anggota kumpulan yang lain.
Barisan utama Sweet Charity yang terdiri daripada vokalis utama Datuk Ramli Sarip, Rosli Mohalim (gitar), Ahmad Jaafar (keyboard/vokalis kedua)dan Rahman Sarbani (dram).
Konsert pada malam itu turut diperkukuhkan lagi dengan pemusik hebat seperti Roza Rasul (keyboard), Din (bass), Riduan Zalani (perkusi) dan Addy Craddle (gitar) yang menjadikan keseluruhan persembahan lengkap dengan tenaga yang penuh energetik disusuli dengan lagu pembuka tirai Hilang Gelap Terbitlah Terang dan juga sebagai penghormatan buat Gaza yang sedang dilanda peperangan.
Sememangnya sebuah kumpulan legenda yang masih lagi unggul setelah 5 dekad di dalam industri muzik tanah air, Sweet Charity tetap memberikan persembahan yang menakjubkan sehingga membuat peminat turut bersama menyanyi.
Konsert Sweet Charity “Semalam Di Malaya” memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan sekaligus mengembalikan nostalgia daripada lagu lagu mereka yang masih lagi menjadi siulan sehinga ke hari ini.
Sweet Charity membawa penonton ke dimensi masa lampau dengan mengalunkan sebanyak 22 buah lagu-lagu nostalgianya seperti Sejuta Wajah, Kamelia, Teratai serta Datang Dan Pergi.
Walaupun lagu-lagu ini pernah dimainkan di konsert-konsert mereka sebelum ini, ia telah membuktikan lagu-lagu Sweet Charity tidak akan pernah pudar ditelan zaman. Begitu juga dengan lagu hit mereka yang masih lagi menjadi siulan peminat seperti Terharu, Zakiah, Jangan Tunggu Lama-lama, Lahirmu Bukan Untuk Dunia, Batu dan Ribut 10:59 Pagi
Lagu yang menjadi tema konsert Sweet Charity berjudul Semalam Di Malaya di dendangkan dengan penuh rasa seakan Ramli Sarip berkongsi cerita kenangannya yang penuh suka dan duka dalam mengharungi perjalanan sebagai anak seni. Beliau juga sempat menitipkan pesanan untuk generasi muda supaya tidak melupakan lagu-lagu Melayu apabila berada di zaman tanpa sepadan ini seusai beliau menyanyikan lagu Apa Khabar Sayang.
“Anak-anak muda yang hadir ramai, walaupun meminati K-Pop dan J Pop, jangan lupa lagu irama Melayu kerana itu akar asal usul kita,” pesannya.
Meskipun usia Paparock Ramli Sarip yang menjangkau 72 tahun, namun beliau tidak banyak berbicara dan fokusnya lebih ke arah menghiburkan peminat Sweet Charity. Pada usia yang sebegini namun stamina Paparock Ramli Sarip cukup mengagumkan apabila masih mampu menyanyikan 22 lagu tanpa sedikit pun ‘terkucil’.
Inilah kehebatan penyanyi lagenda yang seakan tiada noktah demi menghiburkan peminat-peminat Ramli Sarip dan juga Sweet Charity.
Konsert yang dianjurkan oleh Malaysia Shipowner’s Association itu diakhiri dengan persembahan lagu Teratai dirasakan bagai tidak puas sementelah persembahan tersebut hanya berlangsung sekitar lebih dua jam.
Tanpa sedar, masa ibarat berlari pantas apabila persembahan yang bermula pada pukul 8.30 malam itu, dirasakan singkat apabila tanpa sedar, jarum jam mula menginjak ke 11 malam.



























