Margasatwa membuka 2024 dengan single terbaru Kasa Rubia yang ternyata menguatkan lagi signatur bunyian dan muzik Margasatwa yang tersendiri.
Kasa Rubia merupakan single pertama daripada album kedua Margasatwa yang bertajuk Seribudaya yang mengandungi 11 lagu dijangka akan rilis pada pertengahan 2024.
"Sepanjang perjalanan menghasilkan lagu ini ada antara kami yang telah kematian orang yang tersayang. Maka seluruh jiwa dan raga serta air mata kami telah disertakan bersama lagu Kasa Rubia untuk dijiwai semua peminat kami dan seluruh dunia."
Menarik apabila dilihat pada liriknya ada menyebut tentang Kebaya Nyonya yang diperbuat daripada bahan kasa rubia, cucuk sanggul dan kasut manik yang menjadi pelengkap pakaian tradisi bagi masyarakat Peranakan ataupun Baba Nyonya. Unsur dan perincian sebegini jarang diketengahkan dalam lagu Melayu kontemporari namun seakan mudah dihadam dan sangat sesuai apabila dibawakan oleh Margasatwa.
Khairil Ridzwan Anuar atau lebih dikenali sebagai 'Loque' selaku penerbit album berkata bahawa Margasatwa ini ada kelainan dalam lagu mereka. Mereka banyak berbincang dalam mereliasikan album. Selaku penerbit album Loque lebih banyak memberikan pandangan dan kemaskini dalam lagu.
Apabila ditanya mengenai maksud lagu ini, Kimal berkata dia lebih suka jika para pendengar dapat menafsirkannya mengikut kefahaman masing-masing kerana ia akan lebih bermakna. Namun menurutnya jika ada yang boleh dikongsikan, lagu ini menceritakan tentang cinta dan harmoni. "Kehidupan dan muzik punyai persamaan, kedua-duanya perlu kepada harmoni." Jelas Kimal.
Kasa Rubia adalah sejenis kain yang digunakan untuk membuat Kebaya Nyonya, terkadang jarang dan tembus sehingga seakan menampakkan dalaman. Sebagai satu simbolik untuk melihat tembus dari permukaan kehidupan dan keindahan sesuatu perkara atau makhluk untuk mencari yang tersirat.
Single Kasa Rubia kini boleh didengari di semua saluran digital dan pendengar boleh mengikuti laman sosial serta saluran Youtube Margasatwa untuk perkembangan terkini.






