Menjadi penganjur, Qew Communications Sdn Bhd (Qew Comm) selalu punya cara tersendiri untuk ‘memancing’ hati penggemar muzik melalui acara atau konsert yang dibawakan.
Selain mementingkan kualiti, Qew Comm arif mengenai nilai sentimental sekaligus menimbulkan nostalgia dalam setiap bintang yang dihadirkan demi memenuhi dahaga muzik peminat.
Dan kali ini, Qew Comm membuka tahun 2024 dengan buah tangan yang tidak disangka.
Mereka dengan bangga membawa Letto, sebuah kumpulan yang cukup popular dan digemari lewat untaian lagu bersifat ‘tenang’, ‘galau’ dan memberi inspirasi saat kemunculan sekitar tahun 2005 menerusi album Truth, Cry, and Lie, Don't Make Me Sad (2007) dan Lethologica (2009) serta Cinta…Bersabarlah (2011).
Letto 20th Anniversary Live In Kuala Lumpur akan mengisi Ruang Rindu peminat bakal beraksi di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Januari 2024.
Letto dianggotai vokalis, Noe (Sabrang Mowo Damar Panuluh), pemain gitar, Patub (Agus Riyono), pemain bass Cornel (Cornelius Prapaska ), Pemain Keyboard Widi (Tri Widiantoro) dan Dhedot (Dedi Riyono) selaku pemain dram sudah tidak sabar bertemu lalu memperdengarkan lagu-lagu hit mereka termasuk Ruang Rindu, Sandaran Hati, Senyumanmu, Sebelum Cahaya secara langsung selepas lebih 10 tahun tidak beraksi di Malaysia.
“Lamaran daripada Qew Comm umpama mimpi di siang hari buat Letto. Melihat ramai teman lain (band-band) kembali ke Malaysia setelah industri kembali membaik usai pandemik COVID 19 membuat Letto juga sebenarnya rindu untuk menyapa peminat di sini.
“Ternyata ia kemudian menjadi kenyataan setelah Qew Comm hadir, melamar. Apa lagi konsert kali ini adalah untuk merayakan ulang tahun ke-20 Letto. Ada banyak hal menarik yang ingin dikongsi.
“Tentu ia akan menjadi momen yang manis merayakan karier kami bersama peminat di Malaysia yang juga banyak mendukung Letto selama kami menekuni bidang muzik,” ujar Noe.
Menyuntik elemen istimewa, Letto 20th Anniversary Live In Kuala Lumpur akan dibalut dengan nada-nada ‘manis’ dari Gamelan KiaiKanjeng.
“Nah apa yang lebih istimewa pada Letto 20th Anniversary Live In Kuala Lumpur adalah permainan muzik bersama Gamelan KiaiKanjeng. Bagaimana persembahan atau bunyinya nanti, jangan sampai lupa untuk kita bertemu di konsert ini tanggal 12 Januari 2024,” tambah Noe lagi.
Pihak Qew Comm pula menyifatkan persetujuan Letto untuk menjayakan Letto 20th Anniversary Live In Kuala Lumpur sebagai sebuah kolaborasi yang akan penuh dengan nostalgia.
“Seperti kita ketahui Letto sangat popular menerusi lagu seperti Ruang Rindu dan Sandaran Hati selepas memasuki pasaran Malaysia pada 2005.
“Jadi untuk membuka tahun 2024, kami di Qew Comm mencari sebuah kumpulan yang masih mampu menarik minat penggemar sekaligus membawa peminat lama mereka kembali pulang menggamit nostalgia.
“Kami percaya berbekalkan konsistensi dan populariti Letto yang tidak pernah dilupakan, Letto 20th Anniversary Live In Kuala Lumpur akan menjadi konsert pembuka tahun 2024 yang baik bukan hanya untuk Qew Comm tetapi juga rakan penganjur lain,” ujar Datin Rahizahwati, Pengarah Qew Comm.
Untuk itu, jangan sampai terlepas temujanji bersama Letto 20th Anniversary Live In Kuala Lumpur pada 12 Januari 2024 di Zepp KL bermula pukul 8.30 malam.
Harga tiket bermula dari RM159 (Permintaan Hati), RM179 (Ruang Rindu), RM249 (Sebelum Cahaya), RM299, (Senyumanmu) dan RM4,000 (VIP Box) serta RM150 (Meet & Greet) boleh didapati menerusi www.ticket2u.com.my






