SOSIAL MEDIA

07 November, 2023

MISTERI ROH PULAU PENUNGGU, MENONTON SAMBIL MENDERMA DI ASTRO FIRST DAN MENANG HADIAH


Inilah kelainan yang ditampilkan apabila penonton melanggan telefilem bergenre seram, Misteri Roh Pulau Penunggu yang mula ditayangkan secara eksklusif menerusi Astro First sejak 2 November 2023.

Penonton yang melanggan bukan sahaja berpeluang memenangi hadiah menarik seperti kepingan emas hampir 1 gram, malahan dari setiap langganan mereka juga akan menyumbang kepada Tabung Amanah Anak Palestin Yayasan Nurjiwa.


Penerbit bersama filem ini, Datuk Rosli Bujang Rosli berkata, pihaknya akan mengadakan cabutan bertuah setiap tiga hari sekali bermula 7 November (malam ini) untuk penonton yang melanggan telefilem ini.

Menurutnya, mereka menyasarkan dapat meraih kutipan lebih daripada RM300.000 dan sebahagian daripadanya akan disumbangkan kepada Yayasan Nurjiwa yang dikendalikan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Pelancaran dan sidang bicara media telefilem Misteri Roh Pulau Penunggu berlangsung di Hotel JWW Marriot Kuala Lumpur pada 3 November 2023.


Selain Rosli, ia turut dihadiri oleh rakan kongsinya, Datuk Zamrud Misdi dan barisan pelakon terlibat antaranya Putra Amaris, Keena Mentor, Tom GV9, Erul AF9, Azlee Senario, Faizzal Gegar Lawak dan pengarahnya, Shahridan Popeye.


Filem Misteri Roh Pulau Penunggu terbitan Advance Idea Concept diarahkan oleh Mohamad Saridan Yeop Abd Rahim @ Shahridan Popeye, manakala skrip ditulis oleh Suriana Ab Wahab atau Keena Mentor.



Hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan kepada penonton bertuah adalah sumbangan dari Fingold, Bateriku.com, JWW Marriot dan banyak lagi.



Keena berkata, dia cuba tampilkan kelainan apabila menggabungkan barisan pelakon terdiri daripada peserta program pertandingan realiti TV di negara kita.

"Ketika menulis cerita ini saya memang membayangkan nak mengumpul dan menggabungkan barisan artis program realiti seperti Akademi Fantasia, Gegar Vaganza, Mentor dan program lawak.

“Kerana itu barisan pelakon yang membintangi telemovie ini adalah gabungan peserta-peserta program realiti TV.

"Mereka berbakat besar dan perlu diberi ruang dan peluang dalam industri. Saya harap penonton menyokong usaha ini," katanya.


Barisan pelakon Misteri Roh Pulau Penunggu ialah Mohd Amran Ismail - Putra Amaris, Suriana Ab Wahab - Keena, Khairul Najmuddin Abu Samah - Erul Samah, Mohamad Hezrie Salim - Hezry Gegar Lawak, Raja Farah Afzal Raja Ikram - Tom, Mohammad Nur Farhan Ma'arob - Farhan Maarob, Mohamad Faizzal Abdul Rahman - Faizzal Gegar Lawak, Siti Aida Mohd Sahaharel - Siti Aida Aieril dan Norsuzilawati Sobri.

Seperti kelaziman dalam penghasilan cerita seram, beberapa pelakon antaranya Keena dan Tom turut berdepan kejadian aneh dan pelik sepanjang penggambaran berlangsung.

Sinopsis filem Misteri Roh Pulau Penunggu

Sistematik Kolej Kuala Lumpur adalah sebuah kolej swasta yang menempatkan pelajar-pelajar

dari golongan elit. Pelajar-pelajar yang sangat sosial dan tidak begitu berminat untuk belajar.

Ammar seorang pelajar kolej yang suka mengkaji tentang kewujudan roh, misteri pulau penunggu dan susuk penampakan. Ammar tidak mempercayai tentang kewujudan makhluk-makhluk halus yang sentiasa wujud di sekeliling manusia untuk menyesatkan mereka.

Ekspedisi mencari roh dan penampakan itu mendapat sokongan kawan-kawannya, Johan, Keena, Aida, Hezry, Faizal, Tom dan Farhan.

Mereka kemudian meredah Tasik Banding dan menginap disalah sebuah pulau yang mempunyai rumah banglo lama yang terbiar. Ketika berada di rumah itu bermula lah bermacam peristiwa kerana mereka semua sebenarnya dilarang memijak kaki di Pulau Penunggu yang dipenuhi dengan penunggu, hantu dan juga roh.

Melalui berita mereka menemui misteri pulau penunggu tetapi pelbagai peristiwa pelik berlaku apabila mereka di kuasai hantu dan roh-roh kejam di pulau tersebut. Malah Aida yang suka berselfie sudah merakam satu lembaga putih yang telah merasuknya.


Begitu juga dengan Hezry yang terserempak dengan hantu perempuan mula dikuasai hantu itu yang menganggap dia adalah suaminya. Akhirnya Hezry dibunuh hantu itu yang meratah jasadnya.

Segala peristiwa dan kemunculan roh, bermula apabila Ammar mengajak mereka ke pulau tersebut untuk ekspedisi menyiapkan assignment sejarah di kolejnya .

Tetapi mereka semua tetap melawan roh-roh jahat itu yang akhirnya semua mati dalam keadaan tragis kecuali Keena yang terselamat.

Keena telah mengalami koma dan setelah sedar dari koma baru Keena tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Saksikan kesudahan telefilem menarik ini di saluran Astro First.